Sabtu, 29 Oktober 2011

Perangi Rasuah: Adakah PR boleh diharapkan?

Nazli Ibrahim

Bukanlah sesuatu yang asing atau pelik apabila wujud tanggapan sesetengah penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri bahawa kerajaan yang mereka sokong itu telah dijangkiti wabak rasuah yang maha kronik.


Bagaimanapun bagi mereka ini, isu rasuah bukanlah suatu penghalang untuk mereka terus memberikan sokongan kepada parti itu di atas kepercayaan tiada parti lain yang mampu menerajui negara ini sebaik BN.

Kebanyakan di antara mereka ini berpendapat, amalan penyelewengan secara ‘berpada-pada’ (asalkan tidak tamak) itu boleh diterima sebagai ‘upah penat’ lebih-lebih lagi ketika proses melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat.

Jesteru itu, pada tanggapan golongan ini, samada baik atau buruk BN, inilah sahaja pilihan yang ada dan untuk mengalihkan sokongan kepada pilihan lain adalah sesuatu yang mustahil.

Umumnya, kebanyakan golongan yang dianggap sebagai penyokong tegar BN ini terdiri daripada pengundi senior dan juga pengundi-pengundi di luar bandar.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat (PR) pula, tentulah tidak berasa sangsi lagi bahawa kerajaan BN yang ada sememangnya semakin tenat dimamah sel barah rasuah dan tidak mampu diselamatkan lagi.

Lazimnya, mereka ini dapat memahami dengan baik bahawa isu rasuah ini bukan sekadar berputar sekitar melanggar undang-undang negara, soal moral dan etika si pelaku sahaja, malah lebih jauh lagi ialah malapetaka terhadap ekonomi negara dan rakyat.

Bagi mereka, satu-satunya jalan yang ada ialah dengan menukar parti peneraju kerajaan yang sedia ada dalam pilihan raya yang dijangkakan bakal diadakan pada tahun hadapan.

Namun begitu, adakah jaminan bahawa satu-satunya pilihan yang ada iaitu PR, bersih dari gejala rasuah seperti yang didakwa sedang berlaku sekarang.

Jawapannya tentulah tiada sesiapa yang mampu memberikan jaminan bahawa PR bersih dari gejala rasuah sekiranya mereka berjaya menubuhkan kerajaan, walau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun.

Golongan kapitalis

Golongan kapitalis yang sebelum 2008 begitu dingin dengan pemimpin parti pembangkang, hari ini sudah mula cuba merapati pemimpin-pemimpin PR, lebih-lebih lagi di negeri yang dikuasai PR.

Melalui usaha berterusan golongan kapitalis ini, mampukah tembok pertahanan diri bakal pemimpin-pemimpin kerajaan ini bertahan atau turut runtuh sama seperti pemimpin-pemimpin dalam kerajaan sebelumnya? Sama sekali tidak mustahil.

Apatah lagi bagi mereka tiada mempunyai daya ketahanan melawan godaan umpama pesakit Aids yang tidak mempunyai ketahanan melawan penyakit, tentulah lagi mudah tergoda.

Terutama sekali bagi politikus-politikus yang dahulunya berasal dari sebahagian jaringan sistem korup yang kini kononnya mereka perangi.

Meskipun sehingga hari ini masih belum ada mana-mana pemimpin-pemimpin kerajaan di negeri yang diterajui PR didakwa atas tuduhan rasuah, ia masih belum menjamin mereka ini bersih seratus peratus dari penyelewengan.

Kecuali kes dua bekas Exco Kerajaan PR Negeri Perak yang terpalit dengan dakwaan rasuah seks tiga tahun lalu yang menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat negeri itu menerusi pilihan raya tumbang begitu sahaja.

Namun begitu secara umum kes yang berkait rapat dengan krisis perlembagaan negeri itu akhirnya lebih banyak mempertontonkan permainan kotor BN untuk mengembalikan kuasa mereka di negeri itu.

Akhirnya kes tersebut tidak banyak menggugat kepercayaan golongan yang bersedia mengundi PR ini bahawa dengan mewujudkan kerajaan baru dalam penggal akan datang sekurang-kurangnya ia lebih boleh diharapkan untuk memerangi rasuah.

Tambah pula, walaupun usia kerajaan negeri PR dikatakan masih mentah namun Laporan Ketua Audit Negara membuktikan kemampuan mereka mengurus kewangan negeri jauh lebih baik berbanding negeri di bawah BN.

Anggapan sikap tidak mesra penguatkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap bakal pemimpin kerajaan ini akan berterusan berbanding layanan mesra terhadap BN juga menambah keyakinan mereka untuk memberi undi kepada PR.

Lebih memburukkan imej BN apabila adanya pendedahan bahawa kerajaan BN di peringkat pusat yang masih di takuk lama dengan mengamalkan pembaziran dan penyelewengan demi mengekalkan gaya mewah mereka khasnya PM sendiri dan isteri.

Maka bagi golongan yang bersedia memberikan undi kepada PR ini, percaya seperti mana negara yang lebih demokratik dan masyarakatnya lebih liberal, mereka juga mempunyai keberanian yang sama untuk menukar kerajaan walaupun cuma sepenggal.

Bagi mereka, walaupun mereka akur bahawa tiada jaminan seratus peratus pilihan mereka iaitu PR bebas dari rasuah, namun jauh lebih boleh diharapkan berbanding BN yang ada sekarang.

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman