Memaparkan catatan dengan label rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rasuah. Papar semua catatan

Khamis, 29 Mac 2012

Projek Wahyu, Jual Tanah Rizab Melayu Gegar Sidang DUN

Oleh Nazli Ibrahim

ULASAN Sidang DUN kali ini melihatkan bukan sahaja lagi dedahan tentang salahlaku Umno-BN tetapi usaha pentadbiran Pakatan Rakyat yang baru untuk memperbaiki kelemahan dan ketirisan era sebelumnya.

Dua amalan yang menimbul banyak persoalan adalah amalan kerajaan Umno-BN yang menganugerahkan projek kerajaan secara rundingan terus dan penjualan tanah rizab Melayu.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pentadbiran Umno-BN telah membelanjakan RM759 juta dalam tempoh tiga tahun (2005-2007) dalam kontrak-kontrak yang dianugerahkan terus kepada syarikat tertentu.

Manakala kerajaan di bawah Pakatan Rakyat (PR) hari ini, hanya membelanjakan RM116.2 juta sahaja dalam empat tahun (2008-2011), suatu perbezaan yang amat ketara.

Tetapi ramai yang menyoal tentang kepentingan fakta tersebut dan apa makna dan kaitannya dengan kehidupan seharian orang ramai?

Ramai juga yang kurang faham dengan takrifan kontrak yang diberi secara rundingan terus berbanding yang diberi mengikut tender terbuka.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, rundingan terus mengundang pelbagai risiko yang mampu menyebabkan pihak pemberi projek mengalami kerugian.

“Rundingan terus akan menimbulkan risiko antaranya, ketirisan, pembaziran, terlebih pembayaran dan terbagi kontrak kepada syarikat yang tak layak atau tak berkemampuan.

“Semua risiko yang saya sebutkan tadi boleh berlaku berbanding tender terbuka.”

Di dalam proses tender terbuka, kerajaan akan menjemput syarikat untuk mengemukan cadangan bagi melaksana projek.

Setiap syarikat yang layak akan mengemukan permohonan yang lengkap tentang bagaimana ia akan menyiapkan projek termasuk kos yang akan ditanggung.

“Dalam cadangan itu juga kita dapat tahu jenis bahan dan berapa banyak bahan mentah yang terlibat, kita tahu berapa banyak yang kita kena belanja,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor pagi tadi.

Kata Azrul lagi, tender terbuka mengelakkan pembaziran dan amalan kroninisme.

“Kaedah terbaik yang boleh jamin ketelusan, akauntabiliti dan integriti hanyalah melalui tender terbuka.

“Kalau rundingan terus biasanya tentulah kroni atau pihak yang rapat dengan orang yang membuat keputusan biasanya akan dapat projek.

Pokoknya, tender terbuka dapat memastikan yang duit rakyat dimanfaatkan dengan berkesan dalam perlaksanaan projek.

Isu hak milik tanah rizab Melayu muncul di dalam perbahasan apabila ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali memberitahu sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN.

Tanah tersebut diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.

Selain Azmin, ADUN Sri Muda Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendedahkan salah laku berkaitan rizab Melayu yang dilakukan pentadbiran Umno-BN.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lama bergelumang dengan  isu tanah rizab Melayu berkata Umno tidak pernah menjaga tanah milik komuniti itu.

“Semenjak bila Umno dah tak gadai tanah Melayu? Dari sebelum merdeka lagi sampai sekarang tanah milik orang Melayu semakin terhakis tetapi apa yang Umno buat. Jawabnya, tiada, sebabnya merekalah yang menggadainya.

“Umno gunakan isu Melayu untuk perangkap pihak lain tetapi mereka tak pernah pertahankan hak Melayu seperti tanah Melayu, tanah rizab Melayu dan saham-saham Melayu,” beliau berkata ketika dihubungi.

Belia mendakwa selama 54 tahun parti nasionalis Melayu itu memerintah Malaysia keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar berbanding 300 hektar pada awal kemerdekaan.

Bagaimanapun setelah Pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Abdul Khalid mengambil keputusan merampas kembali kesemua tanah rizab di parlimen Gombak yang diberi ke syarikat Triumph City Development Sdn Bhd.

Abdul Khalid juga menolak permohonan yang dibuat oleh Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya  terdiri dari bukan bumiputera.

* Media Selangorku

Sabtu, 31 Disember 2011

Lambaian seorang selebriti di mahkamah

Aksi 'Datuk NFC' di mahkamah. Sumber dari TMI
Setiap kali saya menonton berita tentang kes-kes yang dibicarakan di mahkamah, pelbagai reaksi para tertuduh yang menarik perhatian saya.

Antaranya, apabila melibatkan seseorang penjawat awam berpangkat rendah, penjawat awam tersebut   seboleh-boleh menyorokkan mukanya dari lensa kamera media yang sedia mengambil peluang untuk merakam wajah tertuduh ini.

Selasa, 27 Disember 2011

Pemegang amanah PERKIM dah kena, pemegang amanah zakat bila lagi?

Gambar hiasan dipetik dari blog Ensiklopedia Muslim

Baru-baru ini tiga pemegang amanah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Damansara Utama (PDU) termasuk dua yang bergelar Datuk telah dituduh pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan di baca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabtu, 19 November 2011

Bekas perajurit dakwa nyawa dipertaruh kerana rasuah

Beberapa bekas anggota tentera, yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, tampil dan mendakwa gejala rasuah dalam Kementerian Pertahanan telah meletakkan nyawa mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

3 man jungle patrol teamSeorang daripada mereka, semasa forum mengenai rasuah dalam industri pertahanan, memberitahu Malaysiakini, bahawa tindakan itu telah menyaksikan beberapa rakannya menjadi ‘kudung’ dan sebahagian besar mereka "menderita secara senyap".

Lelaki yang enggan namanya didedahkan itu kerana khuatir akan dikenakan tindakan tatatertib berkata, pegawai bukan tentera telah menolak cadangan pihak ketenteraan dan sebaliknya membeli peralatan kurang bermutu yang mempertaruhkan nyawa perajurit negara.

"Kita beli mesin gun AK 33 yang selepas tembakan sebanyak tiga pusingan akan tersekat. Ini memaksa askar mencampangkan senapang itu dan berjuang menggunakan parang,” katanya merujuk kepada satu operasi yang tidak dinamakannya.

military tentera askar soldier malaysia 260307 mobile artilleryContoh lain, katanya, sekitar tahun 1970-an, kaki askar-askar dijangkiti sehingga ada yang terpaksa dipotong kerana but yang dibekalkan mereka karat. Ini kerana but yang dibekalkan itu diperbuat daripada kepingan zink dan bukannya aluminium seperti yang sepatutnya.

But berkenaan bertujuan melindungi kaki askar dari pancang perangkap samar yang tersembunyi ketika peperangan gerila di hutan. Namun, katanya, ia gagal untuk berbuat demikian kerana senang berkarat ketika askar-askar meredah hutan ketika hujan lebat.

Beliau turut memberi contoh, bagaimana, poncho atau baju hujan yang berkualiti rendah itu seringkali menyaksikan perajurit basah kuyup setiap kali hujan.

"Saya dalam kesejukan berada di hutan sedangkan seseorang telah mendapat habuan besar dan berseronok di tempat lain," katanya pada majlis anjuran Transparency International di Subang.

military malaysia army tentera 131106 jungleLelaki itu juga mendakwa mutu makanan yang berkualiti rendah dibekalkan kepada pasukan tentera dan sekiranya pegawai mereka membuat bantahan, mereka pula akan dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.

"Mereka tidak peduli. Saya percaya ia masih berterusan. Askar-askar kita  yang menderita,” rintihnya lagi.

* Malaysiakini

Sabtu, 29 Oktober 2011

Perangi Rasuah: Adakah PR boleh diharapkan?

Nazli Ibrahim

Bukanlah sesuatu yang asing atau pelik apabila wujud tanggapan sesetengah penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri bahawa kerajaan yang mereka sokong itu telah dijangkiti wabak rasuah yang maha kronik.


Bagaimanapun bagi mereka ini, isu rasuah bukanlah suatu penghalang untuk mereka terus memberikan sokongan kepada parti itu di atas kepercayaan tiada parti lain yang mampu menerajui negara ini sebaik BN.

Kebanyakan di antara mereka ini berpendapat, amalan penyelewengan secara ‘berpada-pada’ (asalkan tidak tamak) itu boleh diterima sebagai ‘upah penat’ lebih-lebih lagi ketika proses melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat.

Jesteru itu, pada tanggapan golongan ini, samada baik atau buruk BN, inilah sahaja pilihan yang ada dan untuk mengalihkan sokongan kepada pilihan lain adalah sesuatu yang mustahil.

Umumnya, kebanyakan golongan yang dianggap sebagai penyokong tegar BN ini terdiri daripada pengundi senior dan juga pengundi-pengundi di luar bandar.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat (PR) pula, tentulah tidak berasa sangsi lagi bahawa kerajaan BN yang ada sememangnya semakin tenat dimamah sel barah rasuah dan tidak mampu diselamatkan lagi.

Lazimnya, mereka ini dapat memahami dengan baik bahawa isu rasuah ini bukan sekadar berputar sekitar melanggar undang-undang negara, soal moral dan etika si pelaku sahaja, malah lebih jauh lagi ialah malapetaka terhadap ekonomi negara dan rakyat.

Bagi mereka, satu-satunya jalan yang ada ialah dengan menukar parti peneraju kerajaan yang sedia ada dalam pilihan raya yang dijangkakan bakal diadakan pada tahun hadapan.

Namun begitu, adakah jaminan bahawa satu-satunya pilihan yang ada iaitu PR, bersih dari gejala rasuah seperti yang didakwa sedang berlaku sekarang.

Jawapannya tentulah tiada sesiapa yang mampu memberikan jaminan bahawa PR bersih dari gejala rasuah sekiranya mereka berjaya menubuhkan kerajaan, walau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun.

Golongan kapitalis

Golongan kapitalis yang sebelum 2008 begitu dingin dengan pemimpin parti pembangkang, hari ini sudah mula cuba merapati pemimpin-pemimpin PR, lebih-lebih lagi di negeri yang dikuasai PR.

Melalui usaha berterusan golongan kapitalis ini, mampukah tembok pertahanan diri bakal pemimpin-pemimpin kerajaan ini bertahan atau turut runtuh sama seperti pemimpin-pemimpin dalam kerajaan sebelumnya? Sama sekali tidak mustahil.

Apatah lagi bagi mereka tiada mempunyai daya ketahanan melawan godaan umpama pesakit Aids yang tidak mempunyai ketahanan melawan penyakit, tentulah lagi mudah tergoda.

Terutama sekali bagi politikus-politikus yang dahulunya berasal dari sebahagian jaringan sistem korup yang kini kononnya mereka perangi.

Meskipun sehingga hari ini masih belum ada mana-mana pemimpin-pemimpin kerajaan di negeri yang diterajui PR didakwa atas tuduhan rasuah, ia masih belum menjamin mereka ini bersih seratus peratus dari penyelewengan.

Kecuali kes dua bekas Exco Kerajaan PR Negeri Perak yang terpalit dengan dakwaan rasuah seks tiga tahun lalu yang menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat negeri itu menerusi pilihan raya tumbang begitu sahaja.

Namun begitu secara umum kes yang berkait rapat dengan krisis perlembagaan negeri itu akhirnya lebih banyak mempertontonkan permainan kotor BN untuk mengembalikan kuasa mereka di negeri itu.

Akhirnya kes tersebut tidak banyak menggugat kepercayaan golongan yang bersedia mengundi PR ini bahawa dengan mewujudkan kerajaan baru dalam penggal akan datang sekurang-kurangnya ia lebih boleh diharapkan untuk memerangi rasuah.

Tambah pula, walaupun usia kerajaan negeri PR dikatakan masih mentah namun Laporan Ketua Audit Negara membuktikan kemampuan mereka mengurus kewangan negeri jauh lebih baik berbanding negeri di bawah BN.

Anggapan sikap tidak mesra penguatkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap bakal pemimpin kerajaan ini akan berterusan berbanding layanan mesra terhadap BN juga menambah keyakinan mereka untuk memberi undi kepada PR.

Lebih memburukkan imej BN apabila adanya pendedahan bahawa kerajaan BN di peringkat pusat yang masih di takuk lama dengan mengamalkan pembaziran dan penyelewengan demi mengekalkan gaya mewah mereka khasnya PM sendiri dan isteri.

Maka bagi golongan yang bersedia memberikan undi kepada PR ini, percaya seperti mana negara yang lebih demokratik dan masyarakatnya lebih liberal, mereka juga mempunyai keberanian yang sama untuk menukar kerajaan walaupun cuma sepenggal.

Bagi mereka, walaupun mereka akur bahawa tiada jaminan seratus peratus pilihan mereka iaitu PR bebas dari rasuah, namun jauh lebih boleh diharapkan berbanding BN yang ada sekarang.

* Free Malaysia Today

Selasa, 25 Oktober 2011

Tahniah Dan Terima Kasih SPRM

Oleh Nazli Ibrahim



Dalam pergolakan politik tempatan, umum mengetahui wujud usaha bersungguh-sungguh Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan pengaruh Pakatan Rakyat (PR) di mata masyarakat.


Lebih-lebih lagi pengaruh kuat beberapa pemimpin utama PR terhadap masyarakat negara ini, termasuklah sekadar menyebut beberapa nama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng.

Ia bukanlah sesuatu yang patut dianggap pelik, malah di pihak PR juga turut menjalankan usaha-usaha untuk melemahkan pengaruh BN bagi persediaan menghadapi pilihan raya nanti.

Bagaimanapun bagi sesetengah masyarakat negara ini percaya rancangan BN untuk menjerat PR dijalankan secara bersepadu yang melibatkan badan penguatkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain.

Malahan banyak pendapat yang bersetuju bahawa rancangan yang dijalankan oleh BN dikatakan turut mempergunakan kuasa politik mereka untuk mencengkam  dan sekaligus mempengaruhi institusi perundangan negara.

Walaupun penafian terus dibuat oleh institusi-institusi ini dan pemimpin BN, namun persepsi ini semakin kuat apabila sesetengah isu yang berlaku dilihat serba tidak kena dan menyerlahkan kepincangan yang ketara dalam mengendalikan sesuatu isu.

Situasi ini, sekaligus mendorong umum menganggap BN merupakan sebuah parti politik yang memiliki kuasa mutlak sehinggakan mempunyai kawalan terhadap institusi-institusi yang sepatutnya bebas dari pengaruh politik.

Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila persepsi masyarakat negara ini bahawa pemimpin BN memiliki kuasa yang mampu menentukan siapa patut didakwa, siapa perlu diselamatkan dan juga menentukan perjalanan perbicaraan sesuatu kes.

Walaupun PR merupakan pihak yang tertekan dengan situasi ini, mereka wajar berbangga kerana dengan kuasa mutlak yang dimiliki BN, lawan mereka masih gagal membawa sebarang kes rasuah ke mahkamah terhadap mana-mana pemimpin negeri PR.

Rekod Anwar dikorek


Adalah dalam pengetahuan umum bahawa gerak-geri Anwar sentiasa diperhatikan oleh pihak tertentu sambil mengharapkan beliau tersalah langkah dan akhirnya terjerat.

Malah, umum juga yakin bahawa rekod kerja Anwar sepanjang beliau di dalam kabinet dahulu telah dikorek dan dikaji dengan teliti bagi mengesan sebarang penyelewengan.

Ini tidaklah menghairankan bagi umum mempunyai tanggapan demikian memandangkan musuh politik beliau memiliki kuasa mutlak dan menampakkan kecenderungan dan kebarangkalian yang amat tinggi untuk bertindak demikian.

Bagaimanapun, setelah lebih 13 tahun Anwar dipecat dari kerajaan tetapi masih belum ada kes penyelewengan yang melibatkan penyelewengan material kecuali tuduhan musuh politik beliau yang masih tidak ke mana-mana.

Walaupun sebelum ini Anwar pernah disabitkan kesalahan rasuah tetapi ianya membabitkan isu salahguna kuasa apabila beliau mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan berkaitan penerbitan buku 50 dalil.

Adakah kegagalan usaha bersungguh-sunguh bagi mengaitkan Anwar dengan kes rasuah material ketika dalam kerajaan menandakan sikap anti rasuah yang ditunjukkan beliau bukanlah sekadar retorik semata-mata.

Persepsi umum bahawa SPRM meletakkan tahap kesiapsiagaan tertinggi di negeri bawah PR khususnya di Selangor dan Pulau Pinang berbanding negeri lain dalam membongkar kes rasuah juga tentu sukar disangkal SPRM.

Tindakan ‘terpuji’ serbuan SPRM ke atas pejabat-pejabat exco, ‘soal siasat intensif’ yang mampu melemaskan saksi dan pelbagai kaedah-kaedah lain jelas membuktikan kesungguhan SPRM memerangi rasuah di negeri bawah PR.

‘Malu-malu kucing’


Sebaliknya di negeri-negeri di bawah pentadbiran BN atau di peringkat kerajaan pusat pula, SPRM kelihatan agak ‘malu-malu kucing’ untuk memulakan siasatan.

Logiknya, kepekaan ‘radar’ SPRM di negeri-negeri di bawah PR ini tentulah menyebabkan hatta penyelewengan beberapa ratus ringgit sekalipun pasti berhadapan risiko untuk ‘terkantul’ berbanding negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Namun, setelah lebih tiga tahun pentadbiran empat buah negeri jatuh ke tangan kepada PR, SPRM yang begitu agresif bertindak di negeri-negeri terbabit gagal menemukan walaupun satu kes kukuh untuk diheret ke mahkamah.

Ini tidaklah termasuk kes tuduhan rasuah seks bekas dua Exco PR di Perak, Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi pada 2008 yang dianggap sesetengah pihak ‘diselamatkan’ di saat akhir apabila tertuduh terbabit berpaling tadah dari PR kepada BN.

Maka, jika anda merupakan pemimpin mahupun sekadar penyokong PR, anda mempunyai beberapa sebab untuk mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada SPRM.

Pertama, sebagai pembayar cukai di negeri di bawah PR, nescaya tindakan agresif SPRM sedikit sebanyak berjaya ‘menakutkan hantu raya’ di negeri terbabit sekaligus menyelamatkan wang cukai dari diselewengkan.

Kedua, bagi penyokong tulen PR, tentulah mengharapkan agar ‘hantu-hantu raya’ di dalam kem PR dapat dikenal pasti agar dapat dipancung segera.

Ketiga, tindakan agresif SPRM sedikit sebanyak dapat meyakinkan anda bahawa pilihan anda mengundi PR dalam pilihan raya lalu, kalaupun tidaklah seratus peratus tepat ia masih merupakan pilihan yang betul.

Keempat, bagi pemimpin PR, ia sebagai motivasi kepada pengundi mereka untuk sekali lagi memberikan kepercayaan mereka dalam PRU akan datang atau sekurang-kurangnya inilah sahaja pilihan yang pengundi ada.

Sekurang-kurang empat alasan di atas sahaja sudah cukup untuk dijadikan sebab mengapa PR wajar untuk mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada SPRM!

* Free Malaysia Today

Ahad, 23 Oktober 2011

Amalan Rasuah Semakin Membudaya Dalam Masyarakat Kita

Oleh Nazli Ibrahim

Samada kita sedar atau tidak, gegala rasuah telah menjadi satu budaya yang membentuk satu sistem yang semakin dapat diterima dan telah berfungsi dalam masyarakat negara kita hari ini.


Walaupun kita mungkin menunjukkan sikap penentangan terhadap gejala rasuah pihak lain, tetapi seringkali kita mengambil sikap berbeza apabila menghadapi situasi sama yang melibatkan kepentingan sendiri atau pihak yang mempunyai kaitan dengan kita.

Banyak terdapat tanda rasuah di negara ini telah mula diterima dalam masyarakat sebagai satu sistem dan tanda-tanda ini dapat dilihat di mana-mana sahaja tidak mengira samada di kalangan masyarakat bandar atau pun luar bandar dan tidak mengenal taraf kehidupan.

Sebagai pengguna jalan raya, tentu anda pernah terserempak dengan adegan seorang pesalah trafik sedang ditahan oleh anggota keselamatan di tepi sebatang jalan raya.

Secara spontan apakah perkara yang mula-mula sekali yang mungkin terlintas dalam fikiran anda ketika itu?
Mungkin ramai yang dengan secara spontan akan berkata di dalam hati, “padan muka kau, inilah akibatnya memandu tak ikut peraturan, kan dah kena saman.”

Namun ramai juga di antara kita yang dengan spontan akan terdetik di hatinya, “ini tak lain nak ‘pau’ duit kopilah ni!” iaitu merujuk kepada perbuatan meminta suapan sebagai balasan tidak mengenakan saman.

Walaupun ianya hanyalah merupakan satu tanggapan anda, tetapi ianya semakin diyakini serta dipercayai di kalangan masyarakat kita dan persoalannya pula mengapa persepsi ini boleh wujud.

Sebagai anggota masyarakat yang mengaku ‘anti rasuah’ tentulah anda membenci perlakuan anggota keselamatan dan pesalah trafik tadi yang sama-sama menjalankan urusan rasuah tadi.

Tetapi apakah reaksi anda pula apabila terpaksa berhadapan situasi sama, adakah anda bersedia menolak ‘tawaran lebih menarik’ yang mungkin serendah RM30 bergantung kepada kepandaian tawar menawar anda berbanding kompaun minima RM300.

Saya percaya ramai di antara kita bersedia menimbangkan tawaran menarik yang diberikan itu, lebih-lebih lagi apabila memikirkan tekanan kos sara hidup yang semakin melambung pada hari ini.

Ketika itu anda mungkin akan melupakan seketika prinsip penentangan anda terhadap gejala rasuah yang sudah pun membentuk satu sistem yang diterima di negara ini sekaligus menjerumuskan diri anda dalam sistem yang anda sendiri tentang itu.

‘Kabel’ dalam jabatan kerajaan

Mungkin anda sendiri pernah diberitahu oleh seorang rakan dengan nada bangga beliau mempunyai seorang kenalan yang mempunyai kedudukan di dalam sesebuah jabatan bagi membolehkan anaknya mengisi jawatan kosong di jabatan tersebut.

Walaupun situasi ini mungkin tidak melibatkan pemberian apa-apa hadiah atau wang namun ia tetap merupakan salah satu perbuatan rasuah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Apatah lagi jika melibatkan penggunaan kuasa oleh orang dalam yang dianggap ‘kabel kuat’ bagi membolehkan kenalannya memperolehi sesuatu projek di jabatan tadi.

Ketika saya tamat pelajaran di awal 90an dahulu dan berkira-kira untuk mencari pekerjaan di daerah kelahiran saya yang agak kecil, saya pernah diberitahu oleh bapa saudara saya bahawa jangan berharap untuk dapat kerja di pejabat-pejabat kerajaan di daerah itu kalau tidak ada mengenali orang dalam.

Walaupun persepsi beliau ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, persepsi yang seperti ini tentulah tidak datang dengan tiba-tiba melainkan datangnya dari pengalaman beliau dan cerita-cerita pengalaman pihak lain yang pernah didengarinya sebelum itu.

Semakin hari penggunaan orang dalam atau yang juga digelarkan sebagai ‘kabel’ ini telah menjadi lumrah dan boleh diceritakan secara terbuka tanpa wujud rasa malu-malu apatah lagi bersalah.

Semakin besar ‘kabel’ semakin cerahlah harapan seseorang itu untuk memperolehi sesuatu projek atau mendapatkan tempat untuk anak kesayangan bekerja di sesebuah jabatan itu.

Demikian juga kita kerap mendengar ‘bayaran tambahan’ yang dikenakan untuk mempercepatkan sesuatu proses atau ‘potong queue’ seperti untuk mendaftarkan kenderaan baru misalannya.

Kerana tidak sabar untuk memandu kenderaan baru, ramai yang tidak keberatan untuk menghulurkan sedikit saguhati melalui jurujual kenderaan untuk pegawai bertanggungjawab memproses pendaftaran kenderaan baru.

Keengganan bakal pembeli untuk bekerjasama kadangkala hanya menyebabkan pembeli tertekan dan diakali dengan terpaksa menanti kenderaan baru dalam satu tempoh panjang yang luar biasa.

Ada sesetengah pihak berpendapat, rasuah yang berlaku di kalangan golongan berpendapatan rendah disebabkan keadaan yang memaksa demi untuk kelangsungan hidup, sebaliknya bagi golongan bertaraf tinggi yang telibat dengan rasuah pula untuk meneruskan kehidupan mewah mereka.

Walaupun mungkin kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai satu kenyataan yang cuba menghalalkan perbuatan rasuah dalam masyarakat, tetapi setelah direnung-renungkan memang ada kebenarannya di mana golongan bawahanlah yang akhirnya semakin tertekan dan tertindas.

Ini belum lagi diambil kira rasuah-rasuah di kalangan mereka yang berjawatan tinggi hingga ke taraf pemimpin negara yang melibatkan jumlah wang yang bukan sedikit dan mampu menjejaskan kepentingan negara.

Permainan berskala besar di kalangan penjawat jawatan tinggi bukan sahaja melibatkan rasuah secara sembunyi malahan turut melibatkan rasuah secara terangan-terangan lagi ‘halal’ yang melibatkan pembayaran berpuluh-puluh atau ratusan juta ringgit kononnya atas nama ‘komisyen’.

Rasuah berprofail tinggi

Satu lagi tanda kita mula menerima budaya rasuah sebagai satu sistem kehidupan apabila mula wujud pendapat bahawa bukan sesuatu yang pelik apabila seseorang pemimpin yang mengambil keuntungan sejuta, dua dari puluhan atau ratusan juta ringgit projek prasarana yang diusahakan untuk kemudahan rakyat jelata.

Bagi mereka ini, apalah salahnya mengambil ‘sedikit’ keuntungan berbanding penat lelah setelah pemimpin terbabit bekerja dan berusaha keras menghadapi pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempohi untuk menyiapkan projek yang memberi kemudahan untuk rakyat akhirnya.

Selain itu, pendapat lain yang dianggap sebagai tanda rasuah semakin diterima, apabila ada yang boleh menerima perbuatan rasuah seseorang pemimpin sekiranya nilainya berpada-pada asalkan tidaklah berlebihan atau tamak sehingga menjejaskan piawaian struktur binaan projek yang dibina.

Hari ini, bagi individu yang berhadapan dengan dakwaan isu rasuah mungkin tidaklah perlu rasa malu selagi tidak dikaitkan dengan skandal seks walaupun kedua-dua tuduhan itu sama-sama memalukan.

Saya percaya, maka sebab itulah terdapat pihak yang lebih gemar menyerang musuh politik mereka dengan menggunakan isu skandal seks berbanding skandal rasuah yang sudah dianggap merupakan sebagai satu perkara biasa sahaja.

Mungkin juga sebab itulah ada pihak tidak teragak-agak melafazkan sumpah laknat bagi menjerumuskan pihak tertentu dalam skandal seks berbanding isu yang membabitkan skandal rasuah kerana rasuah di negara ini tidak lagi dianggap sesuatu yang begitu memalukan.

Ya benar, rasuah sudah pun menjadi budaya kerja dan diterima sebagai satu sistem di dalam carta organisasi-organisasi di negara ini.

Walau pun realiti ini sedaya upaya dinafikan oleh para datuk-datuk menteri dalam kerajaan mahupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri dengan saban tahun mengeluarkan indeks yang sedap didengar, tetapi inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.

Free Malaysia Today

Paparan Halaman