Gambar Hiasan: Kredit wehadjoy.blogspot.com |
Oleh Beduk Canang
Pagi itu seperti biasa, Abang Solleh masih berkain batik, bergumpal di bawah selimut hapaknya. Kesejukan yang dibawa oleh angin dari penyejuk udara di bilik itu menggigit hingga ke tulang-temulangnya.
Abang Solleh membuka sedikit matanya, kelihatan Kak Ijat masih lagi sedang menonyohkan lipstik merah pekat-mekat itu ke bibir mungilnya itu. Abang Solleh sedikit geram tetapi ditahankannya.
Sedang asyik Abang Solleh memerhatikan bibir mungil Kak Ijat, tiba-tiba isteri kesayangannya itu berpaling cepat memerhatikannya. Lalu cepat-cepat Abang Solleh memejamkan matanya rapat-rapat.
"Bang, bang! bangunlah bang, ada banyak kerja di dapur tu, saya nak pergi kerja cepat ni sebab ada mesyuarat penting kat office hari ini," kata Ijat kepada suaminya itu sambil menepuk-nepuk punggung Abang Solleh.
Hari ini mesyuarat untuk membincangkan penganugerahan sebuah projek ternakan lembu kepada sebuah syarikat yang tidak pernah didengarinya akan diadakan. Dia perlu cepat sebelum 'big bos' sampai dahulu.
Abang Solleh masih buat endah tak endah sahaja, semakin mengerekot dalam selimut dan berterusan berpura-pura tidur.
Bosan dengan tindak balas sang suami, Kak Ijat bingkas meninggalkan Abang Solleh yang masih mengerekot dan bergumpal dalam selimut hapaknya di kamar tidur itu.
Tatkala terdengar sahaja deruman kereta Kak Ijat meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat itu, umpama spring, Abang Solleh bingkas melompat dan menuju ke bilik mandi.
Selesai mandi, sepantas kilat Abang Solleh mengenakan pakaian lazimnya setiap kali keluar ke tempat rutin hariannya itu.
Selepas itu Abang Solleh berlari pula ke dapur dan bergegas menyiapkan tugasan yang diberikan Kak Ijat pagi tadi.
Dia perlu bertindak cepat dan cermat. Tugasan rumah perlu diselesaikan dan bukti harus dibersihkan sebelum dia boleh meninggalkan rumah kalau tidak mahu kegiatannya dapat dihidu Kak Ijat.
Sudah lama Abang Solleh berjaya merahsiakan kegiatannya dari pengetahuan Kak Ijat. Abang Solleh perlu bertindak cepat dan lebih teliti dari biasa.
Kecuaian seperti semalam tidak boleh terjadi sekali lagi.
Semalam seperti selalu Abang Solleh perlu tiba dahulu ke rumah sebelum Kak Ijat pulang. Seperti biasa juga dia tergesa-gesa mengenakan semula kain batik lusuhnya bagi mengelakkan Kak Ijat mengesyaki kegiatannya keluar rumah setiap hari.
Entah macamana semalam Kak Ijat pulang lebih awal dari biasa. Dia bernasib baik. Mujurlah anaknya terlebih dahulu mengetahui Kak Ijat akan pulang awal hari itu.
Kelam kabut anak lelakinya itu menghubunginya. Dalam keadaan tergesa-gesa itulah, tanpa disedarinya secalit tahi lembu telah terpalit di tangan kanannya.
Sepulangnya Kak Ijat, rumah mereka bertukar menjadi kecoh dengan pertanyaan bertalu-talu Kak Ijat.
"Baik abang beritahu saya betul-betul, apa yang abang buat masa saya tidak ada di rumah," bentak Kak Ijat.
Maka jenuhlah Abang Solleh meyakinkan Kak Ijat bau busuk yang dihidu Kak Ijat tatkala bersalam dan mencium tangannya tadi adalah bau tahi kucing peliharaan mereka, bukanlah tahi lembu.
Walaupun pada awalnya Kak Ijat tidak mempercayainya, akhirnya setelah diyakinkan dia mengalah juga.
Terbayang-bayang di kepala Abang Solleh, kemesraan dua lembu betinanya, Wan dan Menerung yang manja itu mengesel-geselkan tubuhnya ketika dia sibuk bercakap di telefon.
"Mungkin ketika itulah tahi lembu kesayangannya itu terpalit di tangan kanannya yang akhirnya melekat di batang hidung Kak Ijat. Entahkan tahi milik Wan, entahkan milik Menerung," desis hati Abang Solleh sendiri.
Di pagi yang lain, di kamar Kak Ijat, seperti biasa Abang Solleh mengelupur bersiap untuk menemui lembu-lembunya.
"Biarlah rahsia ini kekal rahsia," bisik hati Abang Solleh taktkala sedang menyeka rambut ikal di atas kepala yang hampir menyerupai landasan kapal terbang itu.
Tiba-tiba Abang Solleh tersenyum lebar, semakin lebar dan akhirnya dia ketawa terkekeh-kekeh di hadapan cermin di kamarnya itu.
"Sepandai-pandai Ijat mengelentong di luar sana, akhirnya bodoh-bodoh ajer kena kelentong dengan aku," kata hatinya lagi sambil tersenyum puas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan