Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan

Selasa, 14 Ogos 2012

Samy Salahguna Kuasa Lantik Kroni Urus Projek RM35 Juta

Kredit: TVSelangor/Media Selangorku
Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA, 14 OGOS: Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu didakwa menyalahgunakan kuasa untuk melantik syarikat milik rakannya sebagai perunding satu projek pembinaan Universiti AIMST.

PKR, dalam satu sidang medianya hari ini menjelaskan, syarikat tersebut adalah TMI Nusantara Consultans (M) Sdn Bhd yang dimilik oleh Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim.

“Syarikat ini dibayar RM35 juta untuk perkhidmatannya dengan bayaran bulanan sebanyak RM144, 497 dari mula kerja pembinaan sehinggalah tamat tempoh tanggungan kecacatan bangunan ini.

“Adakah ianya diberikan melalui tender terbuka?” kata Setiausaha Biro Startegi dan Polisi Kebangsaan, S. Gobi Krishnan dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Samy merupakan Pengerusi dan juga Kanselor Universiti AIMST.

Selain itu dalam sidang media sama, Gobi turut mempersoalkan penglibatan Samy dalam isu pemberian pinjaman tanpa faedah sebanyak RM9 juta kepada ahli perniagaan, Tan Sri Hari Narayanan oleh MIED (Maju Institute of Educational Development).

Sama seperti Universiti AIMST, MIED juga dipegerusikan oleh bekas Presiden MIC itu.

Pinjaman tersebut dikeluarkan kepada Hari yang diketahui rakan kepada Samy tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah MIED lain.

* TVSelangor/Media Selangorku

Sabtu, 7 Januari 2012

901: Azmin, PKR keras kepala?

Lazimnya faktor utama yang mendorong kepada kegagalan mencapai persetujuan dalam mana-mana rundingan adalah keengganan kedua-dua belah pihak mengendurkan tuntutan masing-masing. 

Dalam sejarah negara ini juga telah membuktikan kebenaran fakta tersebut apabila Rundingan Baling antara Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Chin Peng dengan delegasi Kerajaaan Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tunku Abd Rahman pada 1955 menemui jalan buntu setelah kedua-dua pihak enggan mengendurkan tuntutan masing-masing.

Bagaimanapun pada tahun 1989 Rundingan Haadyai telah menemui kejayaan dengan termetrainya Perjanjian Perdamaian antara pihak PKM dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaaan Thailand setelah pihak terbabit mengendurkan atau menggugurkan beberapa syarat dalam rundingan tersebut.

Dalam isu Perhimpunan 901 antara YB Azmin Ali dan pihak PDRM yang diwakili oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh, pihak PDRM akhirnya emngendurkan sekatan mereka dengan memberi kebenaran untuk perhimpunan itu diadakan.

Bagaimanapun, 10 syarat susulan yang diberikan oleh PDRM telah mengundang rasa tidak puas hati Azmin dan mengisytiharkan mereka tidak terikat dengan 10 syarat tersebut.

Meskipun tiada pihak yang berhak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Azmin selaku jururunding wajar mengkaji semula 10 syarat yang diberikan  itu sebelum menolaknya mentah-mentah.

Kerjasama pihak PDRM dengan menggugurkan larangan berhimpun itu seharusnya wajar disambut Azmin dengan memberikan kerjasama dengan menggugurkan atau mengikuti kalau tidak semua, mungkin beberapa syarat bersesuaian yang dikemukakan oleh pihak polis.

Selain itu, pihak penganjur perhimpunan kali ini berpeluang membuktikan bahawa demontrasi yang diadakan sebelum ini akan berjalan dengan aman sekiranya tiada tindakan provokasi dari pihak polis.

Lebih penting lagi, dengan mengendurkan beberapa tuntutan yang sesuai, mungkin keselamatan para demonstran lebih terjamin mengelakkan diri daripada tertangkap atau tercedera disebabkan tembakan peluru pemedih mata FRU dan sebagainya.

Sebagaimana pihak PDRM yang menunjukkan sikap sedikit  berlembut dengan mengugurkan halangan yang menjadi isu asas rundingan, Azmin juga wajar menunjukkan sikap yang sama dalam beberapa perkara.

* Beduk Canang
_____________________________________________________________________

901: PKR tak terikat dengan sekatan polis, kata Azmin
Aidila Razak

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini berkata bahawa pihak polis tidak mengenakan sebarang syarat ketika mereka bersetuju membenarkan perhimpunan diadakan Isnin ini.

Oleh itu, katanya, parti itu tidak terikat dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa selepas persetujuan tersebut dicapai.

"Saya ingin menegaskan bahawa KEADILAN menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pada pagi Jumaat 6 Januari 2012.

"Persetujuan itu tidak menyentuh beberapa sekatan yang diumumkan kemudiannya oleh pihak PDRM," katanya dalam satu kenyataan.

"Oleh yang demikian, saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman di negara ini, selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan awam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," tambah Azmin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan di laman Facebooknya semalam 10 syarat bagi perhimpunan tersebut, termasuk larangan membawa sepanduk, pembesar suara atau ucapan awam.

Syarat-syarat tersebut dikenakanoleh polis daerah Sentul, Kuala Lumpur - tempat lokasi Mahkamah Kuala Lumpur.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.

7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.

8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.

9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.

10.  Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

* Malaysiakini

Khamis, 29 Disember 2011

500 ribu ahli PKR sertai Umno diraikan di PWTC

Satu majlis gilang-gemilang telah dilangsungkan di PWTC petang ini bagi meraikan kira-kira hampir 500 ribu ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar parti beramai-ramai untuk menyertai Umno baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, kehadiran 500 ribu bekas ahli PKR yang setiap seorang dibawa menaiki kereta limosin serta sepuluh polis trafik pengiring bermotorsikal turut diraikan dengan acara berjalan atas  karpet merah.

Selasa, 27 Disember 2011

Chegu Bard ditahan polis gara-gara politik fitnah

Oleh Nazli Ibrahim

Pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edyes atau nama sebenarnya Edynoor hari ini mendakwa Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin telah ditahan polis akibat perbuatan khianat pihak dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Menurut beliau dalam blognya, edyesdotcom.blogspot.com, Chegu Bard telah ditahan petang semalam di balai polis Seremban 2 kerana didakwa sebagai pemilik akaun twitter AMK_Rembau yang didapati membuat komen yang menghina Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Sabtu, 17 Disember 2011

Musim memancing selepas pilihan raya

Cuba bayangkan, bagaimana keadaannya sekiranya keputusan Pilihan Raya ke-13 nanti menunjukkan kemenangan tipis bagi parti  pemenang.   

Saya membayangkan sekiranya berlaku senario seperti di atas sudah tentu pada masa itu akan berlaku musim memancing termahal dalam sejarah, bukanlah ikan yang dipancing tetapi orang!

Rabu, 14 Disember 2011

Musang bulu ayam tawar diri jadi calon PKR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika merempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 lalu terpaksa berhadapan masalah mencari calon yang sesuai untuk kawasan yang mereka tandinginya.

Pemimpin-pemimpin pelbagai peringkat ketika itu lebih banyak yang menolak dari yang menerima tawaran untuk dijadikan calon pilihan raya tahun itu.

Isnin, 12 Disember 2011

Kemampuan Chegu Bard patut dipertimbangkan

Tidak dinafikan, Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas boleh dikatakan sebagai salah satu pilihan terbaik yang ada untuk menduduki kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya PR berjaya memenangi negeri itu.

Selain beliau, saya juga melihat satu lagi pilihan dari PKR yang ada iaitu Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Ahad, 11 Disember 2011

Pakatan yakin di Negeri Sembilan, Kamarul disebut bakal calon MB

December 12, 2011
KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Pakatan Rakyat (PR) mempertingkatkan usaha untuk menawan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, sementara pemimpinnya telah mengenal pasti Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas sebagai bakal calon jawatan menteri besar.

The Malaysian Insider difahamkan, wakil rakyat PKR itu telah disenarai sebagai antara calon berpotensi untuk mengetuai jawatan tertinggi negeri jika PR dapat mengatasi kerajaan negeri BN.

Terkenang-kenang PRU-10, 1999..

Saya masih ingat, pada musim PRU-10 tahun 1999, ketika saya masih aktif  dalam Parti Keadilan Nasional, saya telah terlibat secara langsung dengan jentera pilihan raya Barisan Alternatif (BA) bagi Parlimen Batu.

Saya tidaklah pasti adakah masih sama seperti sekarang, ketika itu petugas-petugas pilihan raya BA dari Parti Keadilan Nasional memang tidak dibayar dengan imbuhan wang tunai sebaliknya kami hanyalah disediakan makan dan minum sepanjang kempen berlangsung.

Khamis, 8 Disember 2011

Menduga lubuk Najib di Pekan

Oleh Nazli Ibrahim

Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak berapa lama sahaja lagi dijangka menjadi pilihan raya paling sengit dan tidak mustahil bertukar menjadi medan pertempuran paling kotor dalam sejarah.

Dalam pilihan raya kali ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja perlu membuktikan dirinya diterima sebagai PM apabila buat pertama kali beliau menerajui BN menghadapi PRU.

Jumaat, 18 November 2011

Memoir Syed Husin: Ezam keluar parti kerana wang

Memetik perbualan sepanjang hasil kerjaya politiknya, timbalan presiden PKR menerusi bukunya - Memoir Perjuangan Politik - Syed Husin Ali menceritakan babak-babak yang menyaksikan bekas ketua pemuda parti itu, Ezam Mohd Noor berpaling tadah.

ezam mohd noor at mca functionDalam bab yang dinamakannya, ‘Alasan Ezam keluar parti’ - ahli politik veteran itu berkata, Ezam pernah memberitahunya sebulan sebelum meletakkan jawatan bahawa beliau kesempitan wang dan malu kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya.

“Doktor, sekarang ini saya tiada pekerjaan dan tidak ada sumber pendapatan. Pendapatan saya sebanyak US$3,000 sebulan di Indonesia sebagai pengarah sudah terhenti sejak syarikat itu tutup.

“Sekarang saya terpaksa bergantung hanya kepada pendapatan isterti saja. Malulah, walaupun gajinya besar juga, kira-kira RM8,000. Saya kena cari peluang untuk mendapatkan satu dua jawatan pengarah. Ini boleh hanya jika ada bukti saya sudah meninggalkan parti,” tulisnya dalam buku itu.

Menurut Syed Husin pendedahan itu dibuat oleh Ezam selepas beliau meminta penjelasan berhubung khabar angin bahawa ketua pemuda PKR itu telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada setiausaha PKR Selangor.

NONE"Doktor. Saya berhenti. Sekarang ini musuh saya bukan lagi Azmin. Musuh saya ialah Anwar. Percayalah saya akan melakukan apa saja untuk memusnahkannya,” Ezam didakwa berkata.

Menceritakan reaksinya, Syed Husin berkata beliau tertanya-tanya jika Ezam yang sekarang ini telah dilantik sebagai senator oleh BN sudah berjaya "dibeli oleh pemimpin Umno".

"Aku teringatkan surat daripada Hishammuddin Rais semasa beliau dalam tahanan dulu.

“Aku terperanjat besar. Aku masih tidak faham mengapa Ezam begitu berterus terang sekali,” tulis Syed Husin lagi.

Bagi pemimpin veteran itu, tindakan Ezam cukup mengecewakannya.

“Aku beranggapan beliau mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam parti. Bahkanterlintas juga dalam dalam fikiranku bahawa mungkin beliau boleh dipromosikan untuk menjadi salah seorang calon timbalan presiden pada masa akan datang,” katanya.

* Malaysiakini

Rabu, 9 November 2011

Pihak guna nama Anwar, Azmin dibidas

PETALING JAYA: Pihak yang menggunakan nama pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dibidas.

Menurut seorang aktivis politik yang dianggap sebagai orang lama dalam PKR, kegiatan menggunakan nama pemimpin tertentu untuk mendapatkan kedudukan boleh memberi kesan ke atas prestasi parti itu dalam pilihan raya nanti.

"Mereka ni bila bercakap dengan ahli peringkat cabang, balik-balik kaitkan nama Datuk Seri Anwar, Azmin dan nama pemimpin lain di pusat sebab nak tunjukkan kononnya dia rapat dengan pemimpin tinggi peringkat pusat.

"Walhal, rata-rata ahli akar umbi tak kenal pun mereka sebab sebelum ni tak ada pun nak datang sini, tetapi bila dah dekat nak pilihan raya barulah nampak muka.

"Kami di peringkat cabang sebenarnya meluat tengok perangai orang macam ni," kata beliau kepada FMT.

"Kalau orang yang lima tahun sekali turun ke bawah ini dijadikan calon, saya percaya prestasi parti akan terjejas dalam pilihan raya nanti berbanding calon dari cabang itu sendiri yang dah masak dengan orang-orang di bawah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ijam di kalangan aktivis politik Dun Behrang, Perak turut memberitahu perebutan kerusi calon bagi dun dan parlimen di kawasan itu turut melibatkan persaingan lebih dari tiga penjuru termasuk seorang wanita di peringkat cabang.

"Bukan seorang, dua tetapi lebih, termasuk seorang ahli wanita yang semakin bergiat kempen supaya dicalonkan untuk kerusi parlimen.

"Ada seorang tu pulak, bekas editor sebuah akhbar, datang sini siap dengan makwe dia.

"Bila bercakap, nama Anwar, Azmin memang tak lekang dari bibir sebab nak tunjuk kononnya dia ada pengaruh dengan orang-orang di pusat.

Tiada keyakinan diri

Beliau turut menganggap individu-individu yang menggunakan nama-nama pemimpin peringkat pusat sebagai tiada mempunyai keyakinan diri.

"Biasanya orang macam ini tidak ada keyakinan diri atau biasanya orang anggap dia tiada apa-apa pun.

"Berpengaruh dengan orang bawahan, jauhlah sekali sebab itulah  sampai terpaksa berpaut kepada pengaruh orang-orang tertentu yang ada nama untuk dia bergayut.

"Itu pun kalau betul dia ada pengaruh di peringkat pusat, belum tentu lagi dia berpengaruh di peringkat akar umbi di sini.

"Sebab yang akan bertungkus lumus bekerja dalam  jentera pilihan raya nanti bukannya pemimpin di atas tu, tetapi kami ahli-ahli akar umbi inilah yang akan berkerja keras.

"Yang akan membuang undi pun juga masyarakat akar umbi inilah nanti, bukannya dua tiga kerat pemimpin di atas tu," ujar beliau lagi.

Kesal dengan kenyataan AMK Terengganu

Ijam turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu yang menganggap Pas Terengganu belum bersedia untuk menggantikan Barisan Nasional di negeri itu.

"Saya nak tanya AMK Terengganu, masa Pakatan menang di Selangor, adakah PKR sudah cukup bersedia nak mentadbir Selangor?

"Tapi Alhamdullilah, walaupun tak bersedia masa tu, tetapi dengan adanya permuafakatan rakan-rakan dari Pas dan DAP, PR Selangor dapat juga mentadbir, walaupun ada beberapa kelemahan yang boleh dibaiki.

"Adakah AMK Terengganu fikir, PKR dapat menerajui kerajaan Selangor kalau tidak dibantu dengan kerusi-kerusi Dun yang dimenangi PAS?

"Jadi, bila bercakap tu, ingat-ingatlah dalam PR ni bukan ada PKR sahaja tetapi kita ada rakan-rakan dari parti lain juga samada Pas atau pun DAP, bila sampai masa mereka juga yang bekerja dengan kita nanti," ujar beliau lagi. 

Khamis, 3 November 2011

KDEB, ada kerja kosong tak?

Oleh Nazli Ibrahim

"Kerajaan negeri melantik sebuah syarikat kontraktor secara rundingan terus bagi menjalankan kerja-kerja penyelengaraan yang bernilai RM7.11 juta."

Ungkapan ‘rundingan terus’ dalam petikan di atas memang biasa kita terbaca sebelum ini dan lazimnya terutama bagi penyokong Pakatan Rakyat pasti dapat mengagak petikan ini merujuk kepada kerajaan pusat atau negeri di bawah Barisan Nasional (BN).


Tetapi kali ini anda salah, kerana kali ini ungkapan rundingan terus itu wujud di dalam kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan bukanlah dalam pentadbiran BN.

Saya percaya, kebanyakan penyokong Pakatan lebih-lebih lagi penyokong tegar tentu beranggapan kerajaan negeri Selangor yang ada hari ini akan membuka tender dalam setiap kerja-kerja yang melibatkan perbelanjaan wang kerajaan.

Rupa-rupanya tidak juga, masih ada lagi rundingan terus dan sekaligus membuat saya sendiri tertanya-tanya, syarikat manakah agak- agaknya yang bertuah itu dapat kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan negeri.

Ia juga membuatkan saya tertanya-tanya lagi, agak-agaknya siapalah pemilik dan manusia-manusia di dalam syarikat ini dan mereka ini saudara-mara atau suku-sakat kepada sipolan atau sianu siapa pula?

Kalau tidak, masakan boleh memperolehi kontrak secara rundingan terus begitu sahaja melainkan ada di antara pihak-pihak yang  telah mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu dan lazimnya mempunyai hubungan yang akrab, bukankah begitu?

Meskipun kontrak baru itu lebih baik harganya iaitu RM7.11 juta berbanding RM9.90 juta yang dimeterai oleh kerajaan BN sebelumnya, tetapi wajarkah kaedah rundingan terus ini dijadikan amalan oleh sebuah parti yang mendakwa diri mereka lebih telus?

Tambah menjadikan saya tertanya-tanya lagi, adakah wujud suatu pertikaian disebalik perjanjian itu apabila perjanjian itu tidak pula ditandatangani oleh Exco berkaitan.

Adakah isu rundingan terus ini mempunyai kaitan dengan pihak dan persamaan kisah-kisah mereka di sebalik bill board-bil board di sepanjang jalan raya di sekitar Selangor ini?

Bukankah tidak mustahil, kebarangkalian memperolehi sebut harga lebih baik itu tetap ada sekiranya tender dibuka kepada mana-mana kontraktor di negeri ini yang berminat.

Bayar bonus RM576,563

Bagaimana pula dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menyebut Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang mencatatkan kerugian pada 2009 tetapi tetap membayar bonus berjumlah RM576,563 kepada 30 kakitangannya.

Aduhai, serta-merta hati saya melonjak-lonjak ingin mencari kenalan yang bekerja di syarikat ini sebab manalah tahu kalau-kalau ada kekosongan jawatan, walaupun cuma kerani rendah pun tidak kisahlah.

Cuba bayangkan dengan pengiraan mudah, RM576,563 dibahagikan 30 orang, secara purata setiap seorang memperolehi RM19,218.67 dalam bentuk bonus tahunan.

Kalau pun kemungkinan kakitangan rendah memperolehi kurang dari jumlah yang disebutkan di atas ekoran bahagian lebih besar disapu oleh kepala-kepala di atas, sekurang-kurangnya cecah angka RM10,000 agak pasti, tetapi itu pun cuma congakan saya.

Agaknya congak kepala-kepala di atas itu pula, tidak kisahlah walaupun syarikat rugi dan mesyuarat yang sepatutnya diadakan cuma empat kali setahun pun kantoi, tetapi bab bonus jangan sesekali kantoi dan pastikan lumayan.

Bagi orang yang terkais-kais seperti saya, kalaulah dapat RM10,000 memang sudah cukup besar dan dah kira patut buat majlis kenduri kesyukuran!

Itu baru dua, belum lagi sebut tentang jumlah hasil dan pelaburan menurun, jualan Kumpulan Harta Selangor Berhad (KHSB) tidak ikut pasaran semasa dan beberapa perkara lain yang juga disentuh dalam LKAN.

Kepada pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya dari PKR, kalau mahukan sepenggal lagi, tidak usahlah memuji tinggi melangit akan pencapaian kerajaan Pakatan negeri Selangor yang juga ada terkandung dalam LKAN.

Sebaliknya adalah lebih baik sekiranya teguran dan tumpuan diberikan untuk memperbaiki kelemahan prestasi pengurusan kerajaan negeri yang ada pada masa sekarang.

Ingat, para pengundi di Selangor sedang memerhatikan anda dan jangan sampai mereka kesal dengan pilihan mereka pada pilihan raya 2008 lalu kerana milihat anda yang sama sahaja seperti ‘penunggu mahligai RM24 juta’ dan kuncu-kuncunya sebelum ini.

* Free Malaysia Today

Paparan Halaman