Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan

Khamis, 9 Ogos 2012

PRU selepas penggal penuh, senarai calon BN masih disusun, kata sumber

Oleh Jahabar Sadiq
Editor

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Barisan Nasional (BN) mungkin memanggil pilihan raya selewat-lewatnya tahun depan oleh kerana Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menyelesaikan senarai calon-calon dan sedang berurusan dengan penyandang yang enggan memberi laluan kepada muka baru, kata sebuah sumber kepada The Malaysian Insider.

Minggu lalu, Perdana Menteri (PM) bertemu dengan pegawai-pegawai UMNO pada majlis berbuka puasa di seluruh negara, termasuk di Terengganu malam tadi, memberi taklimat mengenai persiapan pilihan raya dan berkata beliau yakin BN dapat kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Isunya sekarang adalah senarai calon.

“Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sedang menyelesaikannya.

“Pilihanraya tidak akan dipanggil selagi senarai calon belum selesai,” kata seorang ahli Umno yang menghadiri salah satu program berbuka puasa tersebut.

The Malaysian Insider sebelum ini telah melaporkan bahawa rancangan untuk membubarkan Parlimen pada bulan ini telah ditangguhkan selepas dua ahli parlimen Sabah keluar BN dan memberikan sokongan kepada musuh ketat, Pakatan Rakyat (PR).

Laporan penuh:

Khamis, 12 Januari 2012

Umno jadikan politik negara dibayangi Anwar

Oleh Nazli Ibrahim

Tindakan kawan dan lawan terhadap Anwar hanya mewujudkan persepsi seolah-olah politik negara hanya berlegar di sekitar manusia bernama Anwar Ibrahim ini sahaja.
Tidak ragu-ragu lagi, percambahan benih gelombang kebangkitan golongan masyarakat yang menolak Barisan Nasional (BN) hari ini adalah dari hasil gelombang reformasi 1998 yang disemai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas difitnah dan dipecat.

Maka, tidaklah menghairankan apabila Anwar diangkat sebagai wira nombor satu yang berjaya mengembeleng kebangkitan rakyat dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan yang diterajui oleh Umno-BN.
Sebaliknya bagi pemimpin dan penyokong BN pula, Anwar lebih dianggap sebagai musuh dan pengkhianat nombor satu paling dibenci mereka dan riwayat politiknya harus dipadamkan segera.
Bagaimanapun semua tanggapan ini hanya menjadikan Anwar sebagai pemain yang paling dominan dalam arena politik negara.
Tindakan-tindakan politik oleh kawan mahupun di pihak lawan terhadap Anwar hanya mewujudkan persepsi seolah-olah politik negara hanya banyak berlegar-legar di sekitar manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini sahaja.
Meskipun tanggapan ini hanya menimbulkan rasa meluat dikalangan penyokong Umno-BN khususnya bagi pembenci Anwar, hakikatnya tindakan mereka sendiri sudah cukup menggambarkan senario ini.

Media Umno obses terhadap Anwar

Meskipun banyak juga publisiti yang diberikan ini bersifat negatif terhadap imej Anwar khususnya dari media kawalan kerajaan, tetapi ia hanya menampakkan sikap obsesi mereka untuk menjatuhkan Anwar.
Gara-gara terlalu banyak lambakan isu negatif terhadap Anwar, akhirnya hanya meningkatkan ‘antibodi’ Anwar yang semakin imun (lali) dengan tuduhan-tuduhan terhadapnya sekaligus menjadikan semakin kurang kepercayaan masyarakat terhadap isu yang dibawakan musuhnya itu.
Lebih teruk lagi, liputan negatif secara besar-besaran terhadap Anwar dalam beberapa isu kerap kali menenggelamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama gagasan 1Malaysianya sekali.
Mungkin menyedari senario yang merimaskan Umno-BN ini, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dalam sebuah akhbar tempatan semalam turut menggesa agar masyarakat melupakan Ketua Pembangkang itu berikutan terlalu banyak publisiti yang diberikan oleh media tempatan dan antarabangsa terhadap beliau.
Selain itu, kenyataan beliau yang menganggap sebarang keputusan perbicaraan liwat 2 yang membabitkan Anwar tidak akan menjejaskan Umno dan BN lebih dilihat sekadar satu kepura-puraan untuk menutup rasa rimas beliau.
Hakikatnya Maslan sendiri mengetahui, umpama gelagat sesetengah duda atau janda tidak dapat melupakan bekas pasangan sentiasa cuba mengintip pergerakan bekas pasangannya untuk mencari kesalahan, begitulah juga Umno-BN yang tidak akan membiarkan dan melupakan Anwar begitu sahaja.
Tindakan-tindakan mereka ini cukup untuk memberikan gambaran bahawa Anwar Ibrahim telah membayangi arena politik tempatan kita hari ini, satu kesimpulan yang amat meluatkan Umno-BN.

* Free Malaysia Today

Sabtu, 7 Januari 2012

901: Azmin, PKR keras kepala?

Lazimnya faktor utama yang mendorong kepada kegagalan mencapai persetujuan dalam mana-mana rundingan adalah keengganan kedua-dua belah pihak mengendurkan tuntutan masing-masing. 

Dalam sejarah negara ini juga telah membuktikan kebenaran fakta tersebut apabila Rundingan Baling antara Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Chin Peng dengan delegasi Kerajaaan Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tunku Abd Rahman pada 1955 menemui jalan buntu setelah kedua-dua pihak enggan mengendurkan tuntutan masing-masing.

Bagaimanapun pada tahun 1989 Rundingan Haadyai telah menemui kejayaan dengan termetrainya Perjanjian Perdamaian antara pihak PKM dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaaan Thailand setelah pihak terbabit mengendurkan atau menggugurkan beberapa syarat dalam rundingan tersebut.

Dalam isu Perhimpunan 901 antara YB Azmin Ali dan pihak PDRM yang diwakili oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh, pihak PDRM akhirnya emngendurkan sekatan mereka dengan memberi kebenaran untuk perhimpunan itu diadakan.

Bagaimanapun, 10 syarat susulan yang diberikan oleh PDRM telah mengundang rasa tidak puas hati Azmin dan mengisytiharkan mereka tidak terikat dengan 10 syarat tersebut.

Meskipun tiada pihak yang berhak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Azmin selaku jururunding wajar mengkaji semula 10 syarat yang diberikan  itu sebelum menolaknya mentah-mentah.

Kerjasama pihak PDRM dengan menggugurkan larangan berhimpun itu seharusnya wajar disambut Azmin dengan memberikan kerjasama dengan menggugurkan atau mengikuti kalau tidak semua, mungkin beberapa syarat bersesuaian yang dikemukakan oleh pihak polis.

Selain itu, pihak penganjur perhimpunan kali ini berpeluang membuktikan bahawa demontrasi yang diadakan sebelum ini akan berjalan dengan aman sekiranya tiada tindakan provokasi dari pihak polis.

Lebih penting lagi, dengan mengendurkan beberapa tuntutan yang sesuai, mungkin keselamatan para demonstran lebih terjamin mengelakkan diri daripada tertangkap atau tercedera disebabkan tembakan peluru pemedih mata FRU dan sebagainya.

Sebagaimana pihak PDRM yang menunjukkan sikap sedikit  berlembut dengan mengugurkan halangan yang menjadi isu asas rundingan, Azmin juga wajar menunjukkan sikap yang sama dalam beberapa perkara.

* Beduk Canang
_____________________________________________________________________

901: PKR tak terikat dengan sekatan polis, kata Azmin
Aidila Razak

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini berkata bahawa pihak polis tidak mengenakan sebarang syarat ketika mereka bersetuju membenarkan perhimpunan diadakan Isnin ini.

Oleh itu, katanya, parti itu tidak terikat dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa selepas persetujuan tersebut dicapai.

"Saya ingin menegaskan bahawa KEADILAN menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pada pagi Jumaat 6 Januari 2012.

"Persetujuan itu tidak menyentuh beberapa sekatan yang diumumkan kemudiannya oleh pihak PDRM," katanya dalam satu kenyataan.

"Oleh yang demikian, saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman di negara ini, selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan awam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," tambah Azmin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan di laman Facebooknya semalam 10 syarat bagi perhimpunan tersebut, termasuk larangan membawa sepanduk, pembesar suara atau ucapan awam.

Syarat-syarat tersebut dikenakanoleh polis daerah Sentul, Kuala Lumpur - tempat lokasi Mahkamah Kuala Lumpur.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.

7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.

8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.

9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.

10.  Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

* Malaysiakini

Ahad, 18 Disember 2011

Patung menyerupai Anwar pula dikafankan

Siapakah yang bertanggungjawab dan sanggup bersusah payah 'mengkafankan Anwar Ibrahim' ini semata-mata untuk memalukan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu?

Lazimnya pihak yang melakukan perbuatan seperti ini menyedari  bahawa tindakan mereka tidaklah membawa sebarang manfaat kepada diri mereka kecuali perasaan seolah-olah merasakan cukup puas apabila melakukannya dan memperlihatkan kebodohan sendiri.

Jumaat, 16 Disember 2011

Adakah PR berkerjasama dengan Pakatan Pembangkang Borneo?


Datuk Dr Jeffrey Kitingan semalam mengumumkan pembentukan perikatan Sabah dan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak dikenali sebagai Pakatan Borneo Bersatu yang akan memberi cabaran kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 adalah sesuatu yang baik untuk rakyat kedua-dua negeri itu.

 

Bukan itu sahaja, parti-parti tersebut juga mewakili kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak secara terus dan tidak bergantung kepada parti-parti dari Semenanjung Malaysia.

 

Sabtu, 10 Disember 2011

Negara Berkebajikan: PAS tawar 10 agenda, janji tunai penggal pertama kerajaan

December 11, 2011
KUALA LUMPUR, 11 Dis ― PAS yang akan melancarkan dokumen Negara Berkebajikan petang ini, dengan 10 agenda utama merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial, berjanji akan melaksanakannya pada penggal pertama pemerintahan jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat.

Parti Islam itu dilihat melancarkan dokumen itu, susulan ucapan dasar muktamar presidnnya Jun lalu, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13. Selain PAS, Pakatan Rakyat dianggotai DAP dan PKR.

Jumaat, 25 November 2011

Muhyiddin cuba bodohkan rakyat Kelantan?

Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin terdesak bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU-13 sehingga tidak teragak-agak melakukan ugutan seperti mana yang pernah mereka lakukan dalam pilihan raya sebelumnya.

Kali ini, giliran Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin pula mengambil giliran mengugut rakyat Kelantan agar memberikan kemenangan BN di Kelantan jika mahukan masalah air di Kelantan diselesaikan.

Bagaimanapun, di sebalik janji manis TPM itu, rakyat Kelantan harus sedar, di negeri-negeri yang sekian lama dikuasai oleh BN sendiri pun keadaan bekalan airnya bukan sahaja menyedihkan malah mengenakan tarif yang tinggi terhadap masyarakat negeri terbabit.

Bekalan air negeri simpanan tetap BN sendiri tidak terurus

Mengambil negeri Sabah sebagai contoh yang diketahui dilabelkan oleh Umno sendiri sebagai negeri 'simpanan tetap BN', bekalan air di negeri di bawah bayu itu hanya meliputi 75 peratus sahaja dari keseluruhan negeri itu.

Bayangkanlah, jika negeri Sabah yang dianggap kubu kuat BN atau dalam erti kata yang lain 'anak angkat' kepada BN pun masih lagi mengharapkan bekalan air dari paip air graviti yang dipasang pada tahun 70an dahulu oleh kerajaan Parti Bersatu Sabah, bagaimana rakyat Kelantan boleh mengharapkan Umno dan BN untuk menyelesaikan masalah air di sebuah negeri yang diketahui tidak disenangi oleh Umno dan BN?.

Di Sabah, seperti mana dalam entri bertajuk 'Bekalan air Sabah tidak cukup, tercemar tetapi tarif tinggi' sebelum ini, rakyat negeri itu bukan sahaja tidak menerima bekalan air yang mencukupi, malah kualiti air yang dibekalkan turut diragui dan tarif yang dikenakan pula merupakan yang tertinggi dalam negara ini.

Dalam bahasa yang lebih mudah, pengguna negeri Sabah terpaksa membeli barangan tidak bermutu dan memudaratkan kesihatan mereka sendiri dengan harga yang mahal.

Kenyataan Muhyiddin untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan ini juga sekaligus sesuatu yang ironik dengan situasi di negeri Sabah yang dikuasai oleh BN semenjak berpuluh tahun lalu.  

Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Muhyiddin jalan penyelesaian masalah air yang ditawarkan oleh kerajaan Umno dan BN, sama seperti yang berlaku di Sabah yang dikuasai mereka semenjak berpuluh tahun lalu.  

Selain itu, kenyataan Muhyiddin Yassin ini juga dengan sendirinya memberitahu bahawa kerajaan pusat hari ini sememangnya mampu melakukan sesuatu bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah air tetapi dalam konteks negeri Kelantan, ianya tidak berlaku disebabkan perbezaan idealogi politik.
Jesteru itu, rakyat Kelantan dan Sabah harus bijak agar tidak terpedaya dengan  janji-janji kosong Muhyiddin ini dan bersedia untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) menerajui bukan sahaja di peringkat negeri malah juga di peringkat pusat.

Kemenangan PR di kedua-dua peringkat negeri dan pusat amatlah penting supaya membolehkan peruntukkan, bantuan, pembangunan dan sebagainya kepada masyarakat marhaen di peringkat akar umbi dapat disalurkan dengan licin dan berkesan.

Paparan Halaman