Rabu, 25 November 2009

Perjuangan Dan Pengorbanan

Perjuangan para nabi dan rasul, perjuangan ibu dan bapa, perjuangan seorang pendidik, perjuangan seorang pejuang kemerdekaan, perjuangan para mujahid, perjuangan seorang soldadu, perjuangan kemerdekaan era moden, perjuangan seorang penulis dan banyak lagi perjuangan yang akan terus berdenyut nadi di seluruh pelusuk dunia. Pejuang akan mati apabila sampai masanya, namun perjuangan tidak akan mati. Perjuangan akan terus hidup berkesinambungan dari satu generasi ke generasi dan selagi itulah tidak akan putus-putus menuntut PENGORBANAN.

Jasad pejuang boleh dipenjarakan, namun roh perjuangan tetap melangkaui tembok setinggi mana pun, tetap merentasi sempadan, tetap merentasi perbedaan warna kulit. Di mana pun pejuang itu, apa pun warna kulitnya, tidak dapat lari dari PENGORBANAN. Lari dari PENGORBANAN erti lari dari perjuangan.

Manusia mampu menipu. Hakikatnya sejarah tidak menipu. Sejarah adalah kejadian yang telah terjadi masa lalu dan tidak boleh diubah. Dokumen sejarah atau buku sejarah ditulis oleh manusia, boleh diolah-olah, disesuaikan, menerangkan atau menggelapkan mana-mana bahagian sejarah.

Malangnya setelah 52 tahun merdeka, apabila banyak nama-nama pejuang kemerdekaan telah digelapkan. Khususnya pejuang kemerdekaan berhaluan kiri. PENGORBANAN mereka ini bukan sedikit. Dokumen sejarah menjadi alat propaganda mengaibkan. Bahkan Dokumen sejarah melabel mereka ini sebagai pelampau. Hakikatnya PENGORBANAN mereka jauh lebih sengsara berbanding pejuang-pejuang arus perdana. Perjuangan dan PENGORBANAN mereka tidak perah diiktiraf dan berterusan dinafikan.

Teman-teman, dalam hidup kalian tentunya ada yang kalian perjuangkan. Teruskanlah perjuangan yang kalian yakini benar dijalanNya meskipun tiada nama dicatat dalam mana-mana dokumen sejarah. Semakin besar perjuangan kalian, semakin besarlah PENGORBANAN yang dituntut. Jangan undur!

Akhir kata... kepada teman-teman, SELAMAT HARI RAYA QURBAN.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman