Selasa, 3 November 2009

Stamina Politik Anwar Ibrahim

Dalam saya memerhatikan pergolakan politik tanah air muktahir ini, saya amat tertarik dengan semangat juang yang ditunjukan oleh Dato Sri Anwar Ibrahim. Bukan sahaja semenjak PRU 12 tahun lalu. Malah perjuangan dan semangatnya telah tertonjol semenjak beliau memimpin gerakan pelajar ketika beliau muda lagi. Saya kira ramai yang juga tentu sedar akan kekentalan beliau memperjuangkan setiap apa yang beliau yakini.

Kalaulah ada senarai 50 atau 100 pemimpin politik seluruh dunia yang paling bersemangat kental, ‘berstamina politik’ di era moden ini, saya pasti akan menamakan Anwar Ibrahim di antaranya. Bukan mahu memuja insan bernama Anwar Ibrahim ini. Tetapi inilah hakikatnya. Baik kawan mahupun lawan, akan akur pendapat ini (bagi lawan yang ego, sekurang-kurangnya di dalam hati) Kenapa saya berpendapat demikian?

Semangat juang yang ada padanya tidak ubah seperti sistem antibodi manusia yang sihat. Sebagai contoh, katakanlah apabila seseorang yang normal kesihatannya tadi diserang demam. Semasa dia demam, sistem pertahanan badan akan melawan virus demam tersebut. Setelah demam tersebut kebah, sistem pertahanan badan yang terdapat di dalam tubuh badan manusia yang sihat tadi akan turut meningkat. Begitulah juga dengan manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini. Setiap kali dia tersembam, terjatuh, dilontarkan dengan kecaman-kecaman hebat dan pelbagai nista terhadapnya, dia akan melawan dan setelah itu bangun semula dengan lebih gagah dan semangat yang lebih kental dari sebelumnya.

Ambil contoh lain yang mudah, mampukah seseorang ahli politik selain Anwar bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah termasuk meliwat? Lihat sahaja orang kuat Anwar pada masa itu, Zahid Hamidi. Baru dua bulan diasak di dalam ISA, keluar sahaja terus jadi ‘neutral.’ Saya percaya kebanyakan ahli politik lain kalaulah terpaksa melalui ranjau politik seperti Anwar, pasti selepas itu bagaikan harimau kehilangan taring. Malah bunyi ngauman sang belang akan bertukar menjadi ‘meow,’ lunak dan manja sahaja bunyinya minta nyawa, minta diusap, belai dan disuapkan makanan. Layak dijadikan harimau sarkas. Tetapi ini tidak berlaku terhadap Anwar. Bukan sekali beliau merengkok terpenjara.

Bahkan ramai percaya, Anwar pasti tidak perlu menghadapi semua itu sekiranya dia akur dengan kehendak bosnya ketika itu yang mahukan dia meletak jawatan. Tetapi demi prinsip dan percaya dengan apa yang diperjuangkannya, dia sanggup menghadapi risiko. Walaupun pada akhirnya beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah persekutuan atas tuduhan liwat, tetapi beliau telah merengkok di penjara selama enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa. Itu bukanlah kali pertama beliau dipenjarakan. Semasa beliau memimpin pergerakan mahasiswa, beliau turut ditahan di bawah Akta ISA selama dua tahun. Tetapi tiada perkataan serik di dalam kamus insan seperti beliau.

Anwar mempunyai stamina berpolitik yang tinggi. Memang ramai ahli politik lain yang telah menceburi politik dalam jangka masa yang panjang. Namun tidaklah mereka terpaksa mengerah kederat yang banyak seperti Anwar. Tetapi mereka boleh diumpakan berkereta BMW melalui lebuh raya yang panjang tetapi selesa perjalanannya. Berlainan pula bagi Anwar. sudahlah berbasikal, jalan yang dilalui pula tidak ubah seperti trek mountain bike yang berbukit, berbatu tajam, meretasi sungai berarus deras, gaung-gaung curam di kiri kanan dan jauh pula perjalannya. Walaupun ketika melaluinya beberapa kali beliau tersembam, tetapi beliau tetap gagahkan diri untuk bangun semula. Bagi sesiapa yang tidak tertahan oleh ranjau rintangan tersebut, pastinya tidak akan terdaya menjejaki langkah beliau. Mereka inilah yang akhirnya pencen politik. Walaupun masih yakin akan perjuangan Anwar Ibrahim, mereka tidak mampu untuk meneruskan mengikuti jejak langkahnya. Atau ada juga yang akhirnya mengalah, dan memilih untuk melalui lebuh raya yang tentunya lebih mudah dan selesa. Pokoknya cuma sediakan kenderaan, duit petrol dan duit tol.

Selain faktor-faktor lain yang mendorong kemerosotan kerusi BN di parlimen selepas PRU 12, tidak dapat dinafikan ianya juga antara kesan impak pengaruh Anwar. Sememangnya Anwarlah yang berjaya menyatukan PR yang hakikatkannya berlainan ideologi. Walaupun para pemimpin Umno agak sinis dengan kenyataan ini, hakikatnya di dalam kem Umno akan kelam kabut setiap kali Anwar membuat sesuatu tindakan terbaru. Pendek kata apabila Anwar keluar rumah sahaja, mereka sudah mulai resah dan di dalam hati mereka, akan berfikir apa lagi yang akan dibuat oleh Anwar kali ini. Walaupun mungkin pada masa itu Awar sekadar keluar untuk membawa isteri tercintanya bersiar-siar! Begitulah fobia mereka.

Ingat tak, agenda 16 September Anwar? Saya rasa sungguh lucu sekali apabila buat julung-julung kalinya Kelab Penyokong BN mengadakan ‘lawatan sambil belajar’ ke Taiwan untuk ahli-ahli parlimen mereka. Mereka bermati-matian menyangkal dakwaan bahawa tujuan sebenar adalah untuk menjauhkan orang-orang mereka dari bertemu Anwar. Mungkin bagi mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik di kampung-kampung akan percaya (sekurang-kurangnya ada yang percaya!). Mereka ini, yang bahan bacaan mereka ialah akhbar milik Umno dan tontonan mereka juga stesen tv milik Umno tentunya percaya apa sahaja yang dilakukan oleh Umno tiada yang tidak baik melainkan yang baik-baik belaka. Manakala PR pula bagi mereka, tiada yang baik melainkan yang menjahanamkan belaka. Pendek kata apa yang dibuat Umno semuanya betul, apa yang dibuat oleh PR semuanya salah. Kiranya Umno itu semacam maksum!

Sekali lagi, pemimpin-pemimpin Umno akan berlagak seperti kenyataan ini cuma lawak kosong. Sebenarnya tidaklah susah mana untuk mengukur kerisauan hati pemimpin-pemimpin Umno terhadap pemimpin-pemimpin PR. Baca sahaja akhbar-akhbar atau media lain milik Umno terutama pada musim pilihan raya. Baik individu, mahupun parti yang sering diserang mereka, sebenarnya orang itulah yang paling ditakuti Umno. Selain Tok Guru Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin PR yang lain, lihat bagaimana Anwar diserang oleh media-media ini. Dari semua arah, peluru-peluru menghujani beliau. Bukan dari media yang mereka kuasai sahaja, malahan jabatan-jabatan kerajaan turut menjadi mangsa. Misinya, melumpuhkan pergerakan lawan mereka.

Antara serangan terbaru terhadap beliau ialah ‘pengkhianat bangsa’ oleh TPM Muhyiddin Yassin. Sebenarnya di negara ini, tuduhan sebegini bukanlah perkara baru. Bukan sahaja bagi Anwar, sesiapa yang pernah menentang Umno atau pemimpin Umno akan merasainya. Tidak terkecuali Tun Musa Hitam. Dalam satu kenyataan beliau ketika Anwar baru dipecat dari jawatan TPM. Pada masa itu Anwar dilabel agen kuasa asing (boneka Amerika) oleh media arus perdana. Beliau berkata, pada masa beliau berada di dalam Team B yang menentang Team A pada tahun 1987, beliau juga dicap seperti itu. Ini menunjukan ayat agen asing atau pengkhianat bangsa memang ada tersenarai di dalam manual bertajuk ‘panduan cara-cara hendak menjatuhkan musuh politik.’ Sayangnya kebanyakan panduan di dalamnya kebanyakan adalah ‘idea basi’ belaka.

Tetapi seperti mana yang sudah-sudah, insan bernama Anwar Ibrahim ini menjadi semakin imun terhadap serangan seperti ini sekaligus menjadikan daya tahan beliau semakin meningkat. Saya yakin, sekiranya ada lagi seorang yang berpengaruh, secekal, setangkas dan berstamina berpolitik laksana harimau bertaring yang mengaum ini, pasti selepas PRU 13 nanti, harimau-harimau sarkas yang bunyinya “meow” akan bertempiaran lari masuk ke sangkar masing-masing!

Tiada ulasan:

Paparan Halaman