Sabtu, 29 Januari 2011

PRU-13: Najib perlu majoriti besar elak kedudukan terancam


Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Menang dengan bergaya satu-satunya jalan yang ada buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan agar tidak dinyahkan dari kerusi Presiden Umno dan PM yang disandangnya kini sekaligus mencipta rekod PM paling pendek perkhidmatnya.

Sekadar kemenangan BN yang tidak lebih baik dari apa yang ada sekarang bukan sahaja bermakna kedudukan BN tidak selesa di parlimen, malahan kedudukan beliau sendiri sebagai Presiden Umno dan PM turut terancam seperti mana yang telah menimpa mantan PM, Tun Abdullah Badawi sebelum ini.

Berbanding ancaman dari luar, ancaman penolakkan dari dalam Umno sendiri lebih berpotensi, lebih-lebih lagi pemilihan Umno yang ditangguhkan sebelum ini lambat laun pasti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Najib sendiri tentunya menyedari bahawa timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pemimpin Umno yang mempunyai potensi paling besar untuk memberikan ancaman terhadap kedudukannya sebagai Presiden Umno sekaligus sebagai PM.

Tambahan pula, keberanian Muhyiddin menjolok sarang tebuan ketika era Tun Abdullah sebagai PM tentunya sentiasa segar diingatan Najib.

Ungkapan Muhyiddin yang mengakui bahawa beliau lebih mementingkan kesetiaan kepada parti berbanding batang tubuh seseorang pemimpin sedikit sebanyak menambahkan cemas Najib.

Bagi sesetengah pemerhati menjangkakan, Muhyiddin dengan bantuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir sebagai orang di belakangnya tidak akan teragak-agak untuk mengambil peluang menurunkan Najib dari 'tahkta' sekiranya Najib gagal membawa majoriti yang lebih baik bagi BN dalam PRU-13 nanti.

Ketika Muhyiddin cuba mara untuk mendekati kerusi Presiden Umno, Zahid mula akan mengambil tempat sebagai Timbalan Presiden sambil dicabar oleh regu Najib, Datuk Seri Tun Hishammuddin.

Bagaimanapun Najib dijangkakan tidak akan mudah mengalah seperti mana Abdullah, sebaliknya samada cuba meyakinkan pihak penentangnya agar berundur atau pertahankan kedudukkannya habis-habisan dalam pemilihan Umno nanti.

Muhyiddin-Zahid regu serasi

Bagi sesetengah pihak, sebelum ini lagi telah menyedari Muhyiddin dan Zahid sebagai sebuah regu serasi yang telah mula berkompromi semenjak awal lagi ketika Zahid memberi laluan kepada Muhyiddin dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden yang lalu.

Keserasian gandingan mereka ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru apabila kedua-duanya sebelum ini merupakan pihak di dalam kem yang sama-sama mendukung Dato Sri Anwar Ibrahim ketika masih di dalam Umno dahulu.

Selain itu, seperti juga Anwar, Muhyiddin dan Zahid turut memiliki persamaan apabila dianggap sebagai politikus yang mempunyai keberanian menongkah arus dalam Umno berbanding pemimpin Umno lain.

Jika Muhyiddin Yassin dengan keberaniannya mengkritik PM Abdullah secara terbuka hingga membawa pengunduran beliau, Zahid pula ketika sebagai Ketua Pemuda Umno satu ketika dahulu juga membuat kritikan terbuka terhadap dasar kerajaan era Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap mengamalkan kronisma dan nepostima.

Kritikan Zahid dalam ucapannya dalam persidangan Pemuda Umno itu telah menimbulkan kemarahan Mahathir dan diikuti pendedahan besar-besaran senarai penerima projek-projek kerajaan di mana turut mengandungi nama Zahid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BSN Commercial Bank.

Serangan terhadap imej Najib

Semenjak dari itu, spekulasi di dalam Umno terus bertiup bahawa kerjasama antara kedua mereka ini terus berjalan dengan beberapa kali melakukan tindakkan membaling batu sembunyikan tangan terhadap imej Najib.

Antara yang diperkatakan ialah apabila misteri silap mata kehilangan dua buah enjin pesawat pemintas F-5E TUDM ketika Najib sebagai Menteri Pertahanan terbongkar kepada media setelah selama lebih dua tahun berjaya 'diselamatkan' dari pengetahuan media.

Namun kejadian yang berlaku ketika era Najib sebagai Menteri Pertahanannya itu secara tiba-tiba bocor kepada pengetahuan akhbar berbahasa Inggeris The Star setelah jawatan tersebut disandang oleh Zahid.

Kejadian yang berjaya disimpan rapi oleh dua orang Menteri Pertahanan sebelumnya, Najib dan Abdullah ini akhirnya telah mencalarkan imej Najib sebagai Menteri Pertahanan ketika kejadian itu.

Tidak berapa lama selepas itu, Zahid sekali lagi membuat pendedahan lain apabila mendakwa terdapat pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan yang mendedahkan rahsia pertahanan negara kepada duta-duta asing yang juga dikatakan berlaku sebelum Abdullah menduduki Kementerian Pertahanan.

Selain itu, Zahid turut membuat keputusan 'turning over' apabila membatalkan keputusan Najib ketika sebagai Menteri Pertahanan yang mahukan pesawat tempur MIG-29 ditamatkan tauliahnya dan digantikan dengan pesawat baru.

Walaupun menurut Zahid, ianya disebabkan keadaan ekonomi yang meleset, namun keputusan Zahid itu turut memberi persepsi keputusan serampang dua mata untuk mencalarkan imej Najib dengan seolah-olah memberi tanggapan Najib gemar berbelanja boros.

Jika diteliti paten serangan terhadap Najib ini menyerupai keadaan ketika Abdullah diasak agar turun dari kerusi PM dan Presiden Umno di mana serangan ketika itu datangnya daripada salah seorang Naib Presiden Umno iaitu Muhyiddin bagi membuka jalan kepada Najib. Sementara Najib ketika itu lebih banyak mendiamkan diri.

Ketika ini paten serangan yang sama dipraktikan dan startegi yang sama juga bakal dipraktikkan apabila serangan terbuka dilancarkan nanti.

Najib, Hishammuddin lwn Muhyiddin, Zahid?

Bagaimanapun Najib yang dikatakan telah menyedari situasi ini juga telah mula mengatur perancangan dengan menyediakan sepupu beliau, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk dinobatkan sebagai timbalannya sekaligus melangkaui Muhyiddin.

Dari segi rekod karier poitik Hishammuddin sebelum ini, beliau tidak menunjukkan sebarang potensi untuk memberikan ancaman terhadap kedudukkan Najib.

Sepertimana Muhyiddin dan Zahid yang mempunyai persamaan, Najib dan Hishammuddin juga turut mempunyai beberapa persamaan bagi membolehkan mereka berada di dalam kem yang sama.

Selain hubungan pertalian kekeluargaan, Najib dan Hishammuddin sama-sama merupakan anak kepada PM kedua dan ketiga negara ini.

Mereka juga dianggap mempunyai pendekatan politik yang sama iaitu dengan sentiasa memilih jalan selamat (play safe) dengan mengelakkan konfrantasi dengan mana-mana pihak dalam Umno khususnya pemimpin lebih tinggi kedudukannya.

Ketika ini, bagi kedudukkan menteri penuh, Hishamuddin juga diberikan peluang untuk menduduki kementerian lebih kanan, Kementerian Dalam Negeri berbanding timbalannya, Muhyiddin di Kementerian Pelajaran.

Malahan, Hishamuddin turut mendapat kelebihan apabila tidak berapa lama dahulu Najib mengumumkan menambah peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri termasuk kenaikan gaji dan elaun pegawai-pegawai dan anggota PDRM.

Pada masa yang sama, peruntukan bagi Kementerian Pelajaran di bawah Muhyiddin dan Kementerian Pertahanan di bawah Zahid telah dipotong atas alasan kemelesetan ekonomi satu tindakan Najib yang mendatangkan perasaan kurang senang kedua-dua mereka.

Bagaimanapun penentangan terhadap Najib dijangkakan tidak akan berlaku sekiranya Najib berjaya membawa kemenangan besar kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

* Sumber Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman