Rabu, 26 Januari 2011

PRU, PR Sarawak serentak-Apa pilihan Najib?

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Pengaruh semasa Barisan Nasional (BN) Sarawak dianggap sebagai salah satu faktor penentu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji samada membubarkan Dewan Parlimen serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jika kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Haji Mohd Naroden Majais baru-baru ini diambil kira, gambaran dapat dibuat bahawa BN Sarawak ketika ini tidak berada di kedudukan terbaiknya di mata masyarakat Sarawak hari ini dan memaksa Najib mengadakan pilihan raya serentak.

Keadaan ini dapat dilihat apabila beliau memberitahu antara manfaat mengadakan pilihan raya umum (PRU) dan Negeri Sarawak serentak dapat mengurangkan asakan pemimpin pembangkang ke atas BN Sarawak.

“Bererti (kalau serentak), tumpuan parti pembangkang ke Sarawak dapat dikurangkan kerana sibuk berkempen untuk kawasan Parlimen dan Dun di negeri masing-masing,” katanya baru-baru ini.

Sarawak sebuah negeri yang dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN, sebelum ini pilihan raya negerinya diadakan lebih awal berbanding pilihan raya umum sekaligus dianggap sebagai permulaan momentum sokongan kepada BN di Sarawak dan seterusnya membadai ke pilihan raya umum di negeri lain-satu kelebihan buat BN.

Berbanding Najib ketika ini, PM terdahulu dengan berbekalkan keyakinan tinggi, tidak pernah gusar akan kekuatan BN Sarawak bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan terlebih dahulu.

Bagi PM terdahulu mencari 'ilham' untuk menetapkan tarikh pembubaran parlimen, bukanlah suatu perkara merumitkan seperti yang dialami oleh Najib kini.

Keputusan pilihan raya Sarawak yang sentiasa memihak kepada BN dengan majoriti tinggi menjadi pemangkin kepada PM terdahulu dan BN untuk terus meraih sokongan daripada pengundi dalam pilihan raya umum di Semenanjung dan Sabah kemudiannya.

Namun sebaliknya, Najib kini kelihatan teragak-agak untuk memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan dahulu sebelum pilihan raya umum menyusul selewat-lewatnya pada 2013.

Najib hidu masalah di Sarawak?

Keadaan ini seolah membawa petanda Najib telah terhidu masalah di Sarawak sehingga memaksa beliau mengambil langkah mengadakan pilihan raya umum dan negeri Sarawak serentak bagi mengurangkan risiko terhadap negeri 'simpanan tetapnya' itu.

Jika perkiraan mudah dengan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun 2006 dijadikan ukuran, BN dengan kemenangan 62 daripada 71 kerusi DUN adalah sesutu yang hampir mustahil bagi PR menawan DUN Negeri Sarawak.

Meskipun imej Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud pada ketika ini dikatakan merudum akibat dikaitkan dengan pelbagai skandal, namun perkembangan teknologi maklumat khususnya di kawasan pendalaman yang ketinggalan berbanding Semenanjung memberi kelebihan kepada BN.

Pada masa ini, masyarakat luar bandar di Sarawak masih kekurangan akses kepada maklumat alternatif lain kecuali maklumat yang disalurkan oleh media-media arus perdana pro kerajaan.

Berdasarkan perkiraan di atas, logiknya ia tidak mengusarkan Najib untuk memberi laluan kepada pilihan raya Sarawak diadakan terlebih dahulu dan jauh sekali mengambil risiko awal dengan mengadakan PRU seawal dua tahun sebelum tamat penggal.

Jangka hayat karier politik dan pentadbiran Najib

Tambahan pula, Najib dengan langkah mempercepatkan pilihan raya umum dua tahun lebih awal sebelum tamat penggal, perkiraan ke atas risiko jangka hayat karier politiknya dan pentadbirannya di Putra Jaya tentunya menjadi perkiraan yang lebih utama.

Satu-satunya pilihan yang ada buat Najib bagi memastikan jangka hayat politik dan kedudukan BN di Putra Jaya berpanjangan bukanlah sekadar perlu menang dalam pilihan raya tetapi harus menang dengan majoriti lebih selesa berbanding sekarang.

Kegagalan BN memperolehi mandat lebih selesa daripada yang ada ketika ini bakal membuka ruang bukan sahaja ancaman daripada pihak pembangkang di luar Umno, malahan turut membuka ruang ancaman dari dalam Umno sendiri seperti mana yang dialami oleh mantan PM, Tun Abdullah Badawi.

Sekiranya Najib masih mahu mengadakan pilihan raya Umum serta DUN Sarawak serentak dan kemudiannya BN gagal memperolehi majoriti lebih baik, sudah tentu banyak tangan akan menundingkan kesalahan ke arah Najib selaku pihak yang mengilhamkan tarikh pilihan raya serentak ini.

Unjuran penganalisis politik

Menurut seorang penganalisa politik terkenal, Nobisha dalam blognya telah mengunjurkan pertambahan kerusi bagi PR dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak paling tinggi tidak lebih daripada 13 kerusi berbanding sekarang, sembilan kerusi yang mampu dimenangi oleh PR.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik dari Sarawak mempertikaikan unjuran beliau itu apabila mengatakan unjuran tersebut terlalu tinggi.

Bagi kerusi parlimen pula, unjuran yang beliau berikan hanyalah pertambahan satu kerusi daripada dua kerusi termasuk Parlimen Sibu yang dimenangi DAP dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Jika unjuran ini dijadikan ukuran dan Najib memutuskan untuk mengadakan pilihan umum dan DUN Sarawak secara berasingan, pertambahan walaupun satu kerusi pembangkang di negeri 'simpanan tetap' BN itu sudah cukup untuk dianggap sebagai isyarat yang tidak memihak kepada BN dalam PRU-13 nanti.

Tambahan pula, kedudukan kerusi parti-parti politik di DUN mampu mempengaruhi corak undian pengundi ketika mengundi bagi kerusi parlimen untuk menentukan kerajaan pusat.

Kesemua risiko ini tentunya telah dinilai sedalam-dalamnya oleh Najib berbanding semata-mata kemahuan yang meluap bagi mendapatkan mandat baru yang pertama miliknya sebagai PM.

Jelas senario politik negara ketika ini tidak memberikan sebarang jaminan untuk Najib meneruskan tradisi PM sebelumnya yang menerima mandat yang cemerlang tatkala mengadakan pilihan raya pertama dalam era pentadbiran masing-masing.

PM sebelum ini, termasuk Abdullah sebelum PRU-12 pada 2008 lalu, ketika mendapat 'ilham' tarikh pilihan raya mereka tidak berada dalam keadaan sesukar Najib hari ini.

Mengadakan pilihan raya umum dan Negeri Sarawak serentak antara pilihan yang mampu memberi kelebihan kepada BN Sarawak, tetapi secara keseluruhannya ianya tidak menjamin apa-apa kelebihan kepada Najib dan BN di peringkat pusat.

* Sumber Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman