Rabu, 19 Januari 2011

PAS hadapi laluan sukar tetapi mampu beri kejutan di Tenang

Jika kenyataan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas lawatan kerja sehari beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang semalam, umumnya menampakkan keyakinan beliau bahawa BN berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil itu.

Jika bacaan mudah berdasarkan fakta prestasi BN dalam pilihan raya lalu di DUN ini dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang membabitkan kawasan felda semenjak PRU-12 lalu diambil kira, memang wajar Najib mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memenangi PRK kali ini.

Malah kemenangan BN di DUN Tenang nanti bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan sejarah DUN tersebut tidak pernah dikuasai oleh parti lain selain BN.

Apatah lagi, dalam keadaan BN memerlukan kemenangan moral sebelum menghadapi PRU-13 yang tentunya tidak teragak-agak menggunakan 'kuasa tawar-menawar' yang ada padanya kepada pengundi-pengundi di DUN terbabit.

Malahan perkembangan terkini dalam PRK ini, semalam Najib telah mula memberikan beberapa tawaran kepada pengundi-pengundi DUN Tenang, startegi yang sama dilakukan dalam kebanyakkan PRK sebelum ini dan tampak berkesan di kawasan felda dan majoritinya Melayu.

Berdasarkan situasi di DUN Tenang, perbandingan boleh dibuat dengan beberapa PRK yang pernah diadakan semenjak PRU-12 Mac 2008 lalu yang melibatkan kawasan-kawasan felda dalam beberapa PRK sebelum ini.

Ketika pertembungan PKR dan BN bagi Parlimen Kuala Selangor tahun lalu, jentera PR ketika itu pada awalnya menampakkan keyakinan tinggi untuk menang dengan menaikkan isu yang berkait rapat dengan peneroka felda secara langsung.

Apatah lagi faktor Selangor yang kini dikuasai oleh PR, kedudukan mempertahankan kemenangan di kerusi yang sama dan kewibawaan calonnya Datuk Zaid Ibrahim telah memberi banyak kelebihan PR ketika itu.

Bagaimanapun faktor kelebihan tersebut dan isu yang dimainkan oleh PR ketika itu gagal memberi impak yang berkesan kepada pengundi-pengundi kawasan felda di parlimen itu apabila hampir semua saluran undian di felda-felda dikuasai oleh BN.

Mood kemenangan yang mula terasa di kalangan penyokong PR dari semenjak awal kempen bermula akhirnya dinoktahkan dengan kekecewaan apabila tewas di hari pembuangan undi.

Dalam PRK tersebut calon BN, P Kamalanathan telah berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor dengan majoriti 1,725 undi berbanding sebelumnya hanya 198 undi majoriti yang dimenangi oleh Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR.

Dalam pada itu, menurut beberapa sumber ketika itu, antara faktor lain yang turut meyumbang kepada kekalahan Zaid apabila wujudnya perbuatan sabotaj dari kalangan pemimpin PKR sendiri.

Sebelum itu, ketika PRK DUN Bagan Pinang yang turut melibatkan jumlah pengundi di kalangan peneroka felda yang agak tinggi, sekali lagi kemenangan berpihak kepada calon BN.

Ketika itu Tan Sri Isa Samad berjaya mempertahankan kerusi DUN terbabit dengan pertambahan majoriti sebanyak 5,435 setelah memperolehi 8,013 undi berbanding pencabarnya daripada PAS, Zulkefly Mohd Omar dengan 2,578 undi.

Seperti mana di PRK Kuala Selangor, undi-undi dari peneroka di beberapa tanah rancangan felda dalam DUN Bagan Pinang juga telah memihak kepada BN.

Walaupun kemenangan BN di Bagan Pinang ini dianggap dengan adanya bantuan bilangan pengundi pos yang tinggi, namun jika jumlah pengundi pos ini tidak diambil kira, kemenangan masih berpihak kepada BN dengan kelebihan lebih 2,000 undi.

Walaupun begitu, BN tentunya tidak mampu untuk terus bersentimental dengan rekod kemenangan BN di negeri Johor dan DUN Tenang dalam pilihan raya lalu apatah lagi hakikatnya negeri kubu kuat Umno ini masih belum teruji semenjak PRU-12 lalu.

Dianggarkan, sekitar 4,000 lebih pengundi berdaftar dagi DUN Tenang merupakan peneroka di felda-felda sekitar Tenang sekaligus memberi kelebihan kepada BN.

Dalam pilihan raya umum 2008, Datuk Sulaiman Taha mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS, dengan kelebihan 2,492 undi.

Bagaimanapun, kemampuan PAS tidak boleh dipandang ringan kerana masih memberikan kejutan kepada BN atau sekurang-kurangnya mengecilkan majoriti yang dimenangi oleh BN dalam PRU-12 lalu dengan isu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pengundi di situ.

Isu utama ketika ini yang sudah pasti digunakan dalam kempen-kempen PAS nanti adalah peningkatan harga barangan keperluan utama sekaligus meningkatkan kos sara hidup masyarakat umum.

Isu yang memberi kelebihan kepada PAS ini dijangka mampu mempengaruhi pengundi-pengundi dalam PRK itu nanti.

Selain itu, isu pembangunan di kawasan terbabit yang dianggap berkembang dengan tidak sekata dengan meninggalkan kawasan-kawasan felda dan pendalaman berbanding kawasan-kawasan di Pekan Labis juga memberi sedikit kelebihan kepada PAS.

Keadaan yang telah berlarutan semenjak 53 tahun ini telah memaksa penduduk-penduduk di beberapa felda terpaksa menunggang motorsikal sejauh 20km semata-mata untuk membeli petrol dan beberapa barangan keperluan lain yang tidak terdapat di kedai-kedai runcit di felda terbabit.

PAS juga boleh mengharapkan bantuan daripada DAP dan PKR untuk mendapatkan sokongan daripada 38.24 peratus pengundi-pengundi Cina, soal kebajikan peneroka felda, isu penipuan Felda, soal generasi ke dua felda dijangka turut mendapat perhatian pengundi di sana nanti.

Walaupun PRK kali ini tidak melibatkan parlimen, selain isu-isu tempatan, isu nasional seperti ketirisan, skandal rasuah dan sebagainya masih boleh digunakan untuk serangan terhadap BN.

Bagaimanapun isu yang melibatkan kes peribadi seperti yang dihadapi oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu, bagi beberapa penganalisa politik tanah air pula, percaya keputusan PRK DUN Tenang ini bakal memberikan pedoman kepada PM bagi menentukan tarikh sebenar PRU-13.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman