Jumaat, 7 Januari 2011

Surat terbuka Tun Mahathir kepada Tunku Abd Rahman

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampai ucaptamanya pada Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semalam berkata orang Melayu hari ini perlu bersatu seperti mana ketika menentang Malayan Union dahulu.

“Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, perlu kembali berpegang kepada semangat perpaduan tulen seperti mana berlaku sewaktu menentang gagasan Malayan Union tajaan British pada tahun 1940-an,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengulas kerjasama parti pembangkang hari ini dengan berkata mereka akan memberikan keutamaan kepada merit dan sudah pasti kaum lain meninggalkan kaum Melayu dan akhirnya Melayu akan terpinggir dan ditindas seperti yang terjadi di Singapura.

“Bukan mahu mengatakan orang Melayu ini tidak berkeupayaan, tetapi kalau nak lihat orang Melayu kita jadi macam di Singapura, undilah parti lawan,” katanya dengan nada sinis.

Daripada ucapan Dr Mahathir itu, apakah yang tersirat di sebalik seruan beliau yang mahukan Melayu bersatu? Adakah ianya berkisar kepada penyatuan Melayu semata-mata atau memperalatkan Melayu demi mempertahankan kerajaan Umno dan BN yang ada sekarang?

Persoalan yang lebih penting lagi, secara tidak langsung adakah Dr Mahathir cuba memberitahu kaum bukan Melayu dalam negara ini adalah musuh kepada kaum Melayu.

Umum mengetahui pendirian Dr Mahathir yang mempunyai hubungan intim dengan sebuah NGO, Perkasa yang dianggap sebuah pertubuhan yang tegar dengan semangat keMelayuan sekaligus dianggap sebagai pertubuhan rasis.

Pada 1969 dalam satu surat terbuka Dr Mahathir kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman menjelaskan lagi pendirian Mahathir yang tidak berubah semenjak dahulu lagi. Jadi tidak menghairankan apabila beliau turut menyinseng lengan bersama Datuk Ibrahim Ali dalam Perkasa.

Antara sedutan surat terbuka Dr Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman bertarikh 17 Jun 1969.

Perenggan 3 dan 4

‘Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakan rusohan kaum dengan menahan hukum bunoh yang dijatohkan kepada sabelas orang subversib China. Sabenarnya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.’

‘Tunku selalu ‘bertolak ansur’ ia-itu memberi kepada orang-orang China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu. Orang2 China pula manganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari.’

Tuduh Tunku gemar bermain poker dengan rakan Cina

Perenggan 7 dan 8

‘Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenalkan sebagai ‘The Happy Prime Minister’ walaupun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku menggunakan kenderaan dan eskot Polis untuk bermain poker’

‘Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku ‘naïve’ dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang ta’ dapat patek sebutkan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hingga China becha.’

'Dua sudu darah Pakistani dalam tubuh patek'

Perenggan 13

Patek di-beri tahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak percaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahankan Tunku apabila orang2 PAS kata Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahankan patek walau pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tuboh badan patek.

Berdasarkan petikan di atas, harus diingatkan bahawa ini adalah surat terbuka yang dapat dibaca oleh masyarakat pada masa itu. Selain tindakan beliau yang membuat tuduhan terbuka gemar bermain poker terhadap bapa kemerdekaan itu yang tentu memalukan Tunku, surat beliau ini turut mengandungi perasaan prejudis terhadap kaum Cina di negara ini.

Dalam surat beliau itu juga, beliau turut mengakui masih mempunyai 'dua sudu' darah Pakistani dalam tubuh badannya.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman