Jumaat, 25 November 2011

Muhyiddin cuba bodohkan rakyat Kelantan?

Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin terdesak bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU-13 sehingga tidak teragak-agak melakukan ugutan seperti mana yang pernah mereka lakukan dalam pilihan raya sebelumnya.

Kali ini, giliran Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin pula mengambil giliran mengugut rakyat Kelantan agar memberikan kemenangan BN di Kelantan jika mahukan masalah air di Kelantan diselesaikan.

Bagaimanapun, di sebalik janji manis TPM itu, rakyat Kelantan harus sedar, di negeri-negeri yang sekian lama dikuasai oleh BN sendiri pun keadaan bekalan airnya bukan sahaja menyedihkan malah mengenakan tarif yang tinggi terhadap masyarakat negeri terbabit.

Bekalan air negeri simpanan tetap BN sendiri tidak terurus

Mengambil negeri Sabah sebagai contoh yang diketahui dilabelkan oleh Umno sendiri sebagai negeri 'simpanan tetap BN', bekalan air di negeri di bawah bayu itu hanya meliputi 75 peratus sahaja dari keseluruhan negeri itu.

Bayangkanlah, jika negeri Sabah yang dianggap kubu kuat BN atau dalam erti kata yang lain 'anak angkat' kepada BN pun masih lagi mengharapkan bekalan air dari paip air graviti yang dipasang pada tahun 70an dahulu oleh kerajaan Parti Bersatu Sabah, bagaimana rakyat Kelantan boleh mengharapkan Umno dan BN untuk menyelesaikan masalah air di sebuah negeri yang diketahui tidak disenangi oleh Umno dan BN?.

Di Sabah, seperti mana dalam entri bertajuk 'Bekalan air Sabah tidak cukup, tercemar tetapi tarif tinggi' sebelum ini, rakyat negeri itu bukan sahaja tidak menerima bekalan air yang mencukupi, malah kualiti air yang dibekalkan turut diragui dan tarif yang dikenakan pula merupakan yang tertinggi dalam negara ini.

Dalam bahasa yang lebih mudah, pengguna negeri Sabah terpaksa membeli barangan tidak bermutu dan memudaratkan kesihatan mereka sendiri dengan harga yang mahal.

Kenyataan Muhyiddin untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan ini juga sekaligus sesuatu yang ironik dengan situasi di negeri Sabah yang dikuasai oleh BN semenjak berpuluh tahun lalu.  

Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Muhyiddin jalan penyelesaian masalah air yang ditawarkan oleh kerajaan Umno dan BN, sama seperti yang berlaku di Sabah yang dikuasai mereka semenjak berpuluh tahun lalu.  

Selain itu, kenyataan Muhyiddin Yassin ini juga dengan sendirinya memberitahu bahawa kerajaan pusat hari ini sememangnya mampu melakukan sesuatu bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah air tetapi dalam konteks negeri Kelantan, ianya tidak berlaku disebabkan perbezaan idealogi politik.
Jesteru itu, rakyat Kelantan dan Sabah harus bijak agar tidak terpedaya dengan  janji-janji kosong Muhyiddin ini dan bersedia untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) menerajui bukan sahaja di peringkat negeri malah juga di peringkat pusat.

Kemenangan PR di kedua-dua peringkat negeri dan pusat amatlah penting supaya membolehkan peruntukkan, bantuan, pembangunan dan sebagainya kepada masyarakat marhaen di peringkat akar umbi dapat disalurkan dengan licin dan berkesan.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman