Oleh Nazli Ibrahim
"Namun zaman sudah jauh berubah dan kini orang kampung Telaga Tunggal tidak lagi bergantung harap kepada air dari telaga Tok Jib itu."
"Namun zaman sudah jauh berubah dan kini orang kampung Telaga Tunggal tidak lagi bergantung harap kepada air dari telaga Tok Jib itu."
“Jangan ada sesiapa yang cuba mengkhianati parti keramat kita kerana kelak musibah yang melanda,” ucap lelaki segak itu dengan penuh bersemangat lalu disambut tepukan gemuruh oleh audien yang sebangsa dengannya.
Hari ini sekali lagi di dalam dewan besar serba mewah dan canggih itu, dia tersenyum bangga dan hatinya sungguh puas apabila pada hari ini dia masih lagi berdiri di atas pentas sebagai seorang presiden partinya itu.
Suatu masa dahulu…..
Di suatu masa dahulu dan di tempat yang lain iaitu di pinggir sebuah hutan yang tidaklah diketahui di negeri mana, terdapat sekumpulan peneroka hutan sedang bekerja keras membina penempatan mereka di situ.
Di kalangan mereka itu, termasuklah seorang lelaki pertengahan umur, Tapa, juga sedang bekerja keras menyiapkan tempat untuk keluarganya berteduh dari hujan dan panas nanti.
Selang beberapa hari kemudian, beberapa rumah yang dibina dengan ala kadar itu pun siaplah dan bersedia untuk menerima penduduk awal kampung itu.
Bagaimanapun, tentulah mustahil sekiranya rumah di kampung yang baru dibina itu tidak dilengkapi kemudahan asas yang penting iaitu sumber air sebagai minuman dan lain-lain kegunaan.
Apatah lagi, jarak sungai dengan kampung itu pula agak jauh dan tentulah berjurai-jurai peluh jantan anak lelaki di kampung itu untuk mengandar buyung dan tempayan berisi air setiap hari.
Maka Tapa dan orang kampung yang lain pun mulalah menggali telaga di kawasan rumah masing-masing bagi mendapatkan sumber bekalan air.
Malangnya dari banyak-banyak telaga yang digali itu, hanya satu sahaja yang mengeluarkan air iaitu telaga yang digali oleh Tapa di kawasan rumahnya.
Maka setelah berbincang sesama mereka akhirnya Tapa bersetuju untuk membenarkan penduduk lain mengambil air dari telaga yang digalinya itu dengan beberapa syarat.
Tapa, ketua kampung pertama
Antara syarat yang dikenakan Tapa, hendaklah beliau diisytiharkan sebagai ketua kampung pertama di kampung yang mereka namakan Kampung Telaga Tunggal itu.
Tapa, ketua kampung pertama
Antara syarat yang dikenakan Tapa, hendaklah beliau diisytiharkan sebagai ketua kampung pertama di kampung yang mereka namakan Kampung Telaga Tunggal itu.
Bukan itu sahaja, Tapa juga mahukan agar ketua-ketua kampung selepas itu hendaklah dari kalangan mereka yang mewarisi telaga yang dibinanya itu.
Meskipun syarat yang dikenakan itu tidaklah berapa dipersetujui orang-orang kampung, tetapi disebabkan keutamaan untuk mendapatkan bekalan air melebihi dari segala-galanya akhirnya mereka terpaksalah bersetuju.
Maka semenjak hari itu, bermulalah kehidupan di Kampung Telaga Tunggal dengan diketuai ketua kampungnya yang pertama, Tapa.
Setelah beberapa generasi mereka mendiami kampung itu, pewaris telaga di rumah Tapa turut bertukar ganti dari seorang ke seorang.
Namun disebabkan telaga itu terletak di dalam kawasan tanah rumah Tapa, maka tentulah dengan sendirinya telaga itu berterusan diwarisi oleh keturunan-keturunannya, dari anak ke cucu, cucu ke cicit, cicit ke piot dan begitulah seterusnya.
Seperti mana syarat perjanjian orang kampung dengan Tapa ketika Kampung Telaga Tunggal mula-mula dibuka maka secara automatis juga jawatan ketua kampung itu terus diwarisi keturunan Tapa juga.
Masa terus berlalu hingga tibalah giliran ketua kampung yang ada sekarang Tok Jib dan isterinya, Mak Temah yang mewarisi telaga moyangnya itu dan sekaligus memegang jawatan ketua Kampung Telaga Tunggal.
Bagaimanapun situasi yang dihadapi oleh Tok Jib amatlah jauh berbeza dengan moyangnya Tapa, datuknya dan juga bapanya.
Bekalan air paip
Bekalan air paip
Kini rumah-rumah orang Kampung Telaga Tunggal itu telah disalurkan bekalan air paip dan tidak lagi bergantung harap kepada telaga yang diwarisi Tok Jib itu.
Keadaan ini telah membuatkan orang-orang kampung mula berani menyanggah kata-kata Tok Jib.
Padahal pada sebelumnya, tiada siapa pun orang kampung itu yang berani membantah samada kata-kata Tok Jib mahupun ketua-ketua kampung sebelumnya.
Dahulu pernah berlaku, disebabkan membantah kata-kata ketua kampung, beberapa orang kampung terpaksa berulang-alik mengandar tempayan air yang diambilnya dari sungai apabila mereka dan ahli keluarga mereka tidak dibenarkan mengambil air dari telaga itu.
Semenjak peristiwa itulah tiada lagi orang-orang Kampung Telaga Tunggal yang berani membantah atau menentang setiap keputusan ketua kampung.
Namun zaman sudah jauh berubah dan kini orang kampung Telaga Tunggal tidak lagi bergantung harap kepada air dari telaga Tok Jib itu.
Cuma kadang-kadang setahun sekali apabila berlaku gangguan bekalan air paip, barulah telaga itu kembali dikunjungi orang-orang kampung itu.
Keadaan itu telah menyebabkan orang-orang kampung terutama golongan muda yang tidak bersetuju dengan cara Tok Jib mentadbir kampung itu mula berani menentang Tok Jib secara terang-terangan.
Jumlah yang berani menentangnya pula semakin hari semakin bertambah terutama sekali di kalangan anak-anak muda kampung itu.
Akan datang (bahagian 2): Telaga Tok Jib ada keramat!
* Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan