Hari ini, Jumaat, 11.11.11, adalah tarikh yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak dengan penuh debaran dengan bermacam-macam alasan.
Mungkin ada yang memilih tarikh ini untuk melangsungkan perkahwinan, pertunangan dan bermacam lagi mengambil sempena angka-angka tarikh hari ini yang dianggap unik.
Dalam arena politik tanah air juga tidak ketinggalan apabila perhatian mula terarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak samada beliau akan membubarkan parlimen pada hari ini atau sebaliknya.
Saya sendiri yang menjangkakan pembubaran hanya akan dibuat pada tahun hadapan pun tidak dapat menahan diri dari mencari-cari sumber terkini mengenai pembubaran parlimen kalau ada.
Walhal kita mengetahui bahawa parlimen masih lagi belum selesai bersidang dan Bajet 2012 juga masih belum diluluskan sekaligus tiada memungkinkan pembubaran parlimen dibuat.
Bagaimanapun, ketika perhatian mula menjurus kepada PM Najib, tanpa disangka-sangka ada pula kumpulan lain yang popularitinya mendadak naik secara tiba-tiba semenjak kebelakangan ini.
Bahkan populariti yang diraih oleh kumpulan terbabit hari ini dipercayai lebih tinggi berbanding PM sendiri, mahupun isterinya atau pun Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Sebenarnya fenomena ini mula meletus semenjak beberapa hari sebelum umat Islam menyambut perayaan Aidil Adha baru-baru ini apabila kumpulan ini sering menjadi sebutan dikalangan penganut agama itu.
Projek feedlot atau projek idiot?
Selepas itu, populariti kumpulan ini terus mencanak naik apabila dikaitkan pula dengan apa yang didakwa sebagai skandal satu projek yang namanya saya sedikit keliru, entahkan projek feedlot, entahkan projek idiot.
Tambah beruntung lagi, disebalik populariti yang dikecapi mereka, kumpulan ini juga dikatakan diberikan tempat tinggal bernilai RM9.8juta berupa sebuah kondominium mewah di Bangsar yang mungkin sampai mati pun saya hanya mampu berangan-angan sahaja.
Lainlah kalau ada diantara pemilik kediaman mewah seperti itu yang buang tabiat mewasiatkan harta mereka itu kepada saya walaupun saya bukanlah darah daging mereka.
Atau pun sekurang-kurangnya ada yang sudi mengambil saya berkerja sebagai pembantu rumah dan tinggal bersama, setidak-tidaknya dapat juga merasa bagaimana rasanya tidur di kediaman orang-orang kaya.
Pihak lain berkorban untuk kumpulan terbabit
Namun, tahukah kita bahawa disebalik populariti dan keselesaan yang dikecapi secara tiba-tiba oleh kumpulan ini ada pihak lain 'tidak berdosa' terpaksa menanggung beban dan akhirnya terkorban demi kumpulan itu.
Ya, setelah banyak di antara anggota kumpulan ini dikorbankan ketika Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini, kini sampai masa kumpulan ini pula mengambil giliran untuk mengorbankan pihak lain pula.
Berita terakhir dari 'mangsa korban' kumpulan terbabit yang saya terima, masa depan 'mangsa korban' itu mulai goyah dan kelihatan semakin samar-samar.
Sudahlah lembah ragutnya yang dahulu dikuasai mereka telah jatuh ke tangan orang lain semenjak tiga tahun lalu, malah juga dikhabarkan peluang untuk mendapat tempat dan merebut kembali kuasa di lembah itu juga semakin tipis.
Menurut satu perkhabaran lain pula, telah ada laporan dibuat yang menyebabkan projek yang saya masih keliru entahkan feedlot atau idiot itu dan juga kediaman RM9.8 juta disiasat oleh satu pihak yang saya masih tidak pasti tahap keberanian mereka untuk menyiasat.
Mungkin inilah takdir yang terpaksa ditanggung 'mangsa korban' kumpulan ini setelah tersalah sangka kumpulan yang lemah dan tidak berakal ini boleh dikorbankan demi mengejar kekayaan, tetapi akhirnya mereka dijadikan korban oleh kumpulan yang semakin glamour ini.
* Free Malaysia Today
* Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan