Pengiktirafan kepada pejuang, tidak harus bersandar kepada idelogi fahaman politik seseorang pejuang itu sendiri. Apatah lagi anutan ugama atau bangsanya. Juga tidak wajar pengiktirafan hanya disandarkan kepada haluan kiri atau kanannya. Sewajarnya pengiktirafan harus diberikan kepada sesiapa sahaja yang telah telah memainkan peranan demi membebaskan negara dari cengkaman penjajah British.
Antaranya, termasuklah gerakan-gerakan kiri dalam perjuangan kemerdekaan. Malang sekali, apabila British meletakan label pengganas kepada mereka, kita turut sama menuruti penjajah dengan menuturkan gelaran yang sama kepada mereka. Sedangkan pada masa itu kita amat memahami British menamakan pejuang kiri tersebut sebagai pengganas disebabkan sikap tegar enggan berkompromi serta penentangan mereka terhadap British.
Hari ini, dalam dokumen rasmi sejarah negara masih lagi memberitahu generasi hari ini akan keganasan ‘pengganas’ tersebut. Walaupun pengorbanan mereka untuk mencapai kemerdekaan jauh lebih dahsyat berbanding kita, kita masih enggan mengiktiraf mereka juga adalah warga negara yang berjuang untuk merdeka disebabkan fahaman idealogi politik mereka yang tidak sama dengan kita.
Dokumen sejarah adalah sesuatu yang boleh diolah-olah dan disesuaikan mengikut kehendak mana-mana pihak, menggelapkan yang terang dan menerangkan yang gelap. Berbeza dengan erti sejarah itu sendiri, sejarah adalah sesuatu peristiwa lalu yang tidak boleh diubah-ubah.
Walaupun peristiwa yang cuma baru sedetik tadi berlalu, ia tetap telah berlaku dan tidak boleh diundurkan semula sedetik itu. Lantas, peristiwa yang sedetik lalu itu dinamakan sejarah sekaligus tidak boleh diubah lagi. Cuma kita boleh sahaja menulis (mendokumenkan) cerita peristiwa sedetik lalu itu mengikut selera atau kemahuan kita sendiri.
Dalam perjuangan haluan kanan, mereka berkorban apabila terpaksa terbang jauh meninggalkan anak-anak, isteri dan menginap di hotel mewah serta layanan VIP di Kota London demi rundingan mencapai kemerdekaan. Pada masa yang sama di tanah air ini, rata-rata pejuang-pejuang kiri pula, tidak kurang juga berkorban menginap di sel sempit bertirai besi British atau menginap di hutan belukar dan sentiasa pula diburu peluru-peluru raifel British.
Tanggal 31 Ogos 1957, ribuan umat berhimpun meraikan kegembiraan di Stadium Merdeka dengan melaungkan merdeka! merdeka! merdeka! Pesta meraikan kemerdekaan diadakan di merata-rata tempat dengan penuh meriah dan bergermelapan sekali. Alangkah indahnya apabila bumi yang dipijak kembali menjadi milik sendiri.
Pada masa yang sama ketika laungan merdeka! merdeka! merdeka! sedang bergema, di celah-celah hutan belantara, di sudut sel kecil bertirai besi warisan British, susuk-susuk tubuh pejuang kiri tersenggut-senggut, air matanya mengalir, tangannya diangkat tinggi, memanjatkan kesyukurannya. Kegembiraan mereka juga adalah kegembiran yang sama seperti mana kegembiraan kita semua iaitu kerana bebas dari penjajahan. Malahan, mereka lebih memahami erti perjuangan dan menjiwai erti sebuah kemerdekaan berbanding kebanyakan kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan