Pendapat segelintir rakyat Malaysia hari ini bahawa masalah rasuah, ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam kerajaan hari ini tidak memberi apa-apa kesan terhadap kehidupan mereka harus diperbetulkan. Masalah-masalah tersebut yang telah menyebabkan negara kehilangan kira-kira RM28 bilion setahun bakal menyebabkan kerajaan terpaksa mencari alternatif lain bagi menyelamatkan semula wang negara yang lesap.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini dilihat cenderung untuk mengalihkan tanggungan bebanan kerugian tersebut kepada rakyatnya. Antara alternatif yang bakal dilaksanakan untuk meminimumkan kerugian tersebut ialah dengan kaedah mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta memansuhkan subsidi barangan keperluan dan juga kadar tol.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) – sebuah badan yang ditubuhkan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan menyatakan subsidi petrol, gas, barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan sebagainya, perkhidmatan perubatan, elektrik dan tol bakal dihapuskan bagi menyelamatkan negara dari muflis.
Langkah terdesak kerajaan tersebut dilihat amat bertentangan sekali dengan dakwaan pertumbuhan ekonomi negara semakin memberangsangkan. Langkah yang dinamakan sebagai rasionalisasi subsidi itu antara lain akan menaikkan harga petrol 15sen seliter pada peringkat permulaan tahun ini dan seterusnya diikuti dengan 10sen seliter bagi setiap enam bulan. Bagi mewajarkan langkah tersebut, rebat tunai sebanyak RM126 kepada pemilik motokar di bawah 1,000cc dan RM54 kepada pemilik motorsikal di bawah 200cc diberi.
Sungguhpun begitu, jumlah rebat yang diberi tersebut adalah terlalu kecil untuk menampung kenaikan berbanding dengan tambahan kos sara yang berlipat kali ganda sekaligus ia dilihat sebagai amat tidak berbaloi kepada rakyat. Kumpulan sasar yang layak menerima rebat yang hanya terdiri dari pemilik motokar di bawah 1,000cc juga turut tidak terkesan apa-apa dari rebat RM126 tersebut berbanding peningkatan beban tanggungan lain. Malah pengguna motokar 1,000cc hingga 1,600cc yang dipinggirkan dari kelayakan menerima rebat juga kebanyakan terdiri dari mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Barangan dan perkhidmatan lain yang turut tersenarai ialah diesel, dinaikan 10sen seliter setiap enam bulan selama lima tahun, gula (20sen–1kg), tepung gandum (25sen-1kg), minyak masak (15 peratus-1liter bagi dua tahun, diikuti 5 peratus hingga 2014), tol lebuh raya, perubatan dan elektrik.
Akibat dari pemansuhan subsidi tersebut bukan sahaja bakal menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bersubsidi yang terlibat sahaja tetapi akan menaikan hampir kesemua barangan keperluan dan perkhidmatan lain termasuklah tmbang pengangkutan awam yang berada di pasaran sekaligus bakal membuatkan kos sara hidup rakyat akan naik berlipat kali ganda. Keadaan ini akan diburukkan lagi apabila langkah kerajaan untuk melaksanakan GST dilaksanakan yang bermakna masyarakat negara ini akan menghadapi dua pertambahan kenaikan bebanan kos sara.
Poket rakyat akan menjadi lebih koyak lagi apabila tidak cukup dengan tekanan dari dasar GST dan rasionalisasi subsidi bahkan setelah hampir dua tahun Kerajaan Pusat BN yang dipimpini oleh Najib Razak yang terkenal dengan slogan 1 Malaysia - rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan itu, masih tidak menampakan usaha bersungguh-sungguh lagi realistik untuk meningkatkan pendapatan perkapita rakyatnya melainkan retorik-retorik yang enak didengar dan dibaca di atas kertas semata-mata.
Ekoran kenyataan Idris Jala itu, kemungkinan besar akan mendapat reaksi bantahan keras dari masyarakat umumnya dan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah khususnya. Terdapat desas-desus mengatakan bahawa masyarakat dari pelbagai lapisan dan golongan telah bersedia untuk membentuk sebuah gerakan bagi membantah cadangan yang tidak menguntungkan rakyat itu. Bantahan tersebut bakal disalurkan samada melalui saluran rasmi mahupun terpaksa sekali lagi turun berdemontrasi di jalan raya.
Tinjauan rambang mendapati, rata-rata berpendapat kerajaan seharusnya mengutamakan memerangi secara menyeluruh gejala rasuah, ketirisan dan pembaziran kerajaan dalam berbelanja terlebih dahulu bagi menyelamatkan wang negara sekaligus mengelakan negara dari muflis. Bukannya menjadikan rakyat sebagai korban untuk membayar harga kecuaian dan ketamakan mereka.
Namun begitu timbul pula persoalan bolehkan rakyat negara ini mengharapkan kepada sebuah kerajaan yang pemimpin-pemimpinnya yang juga korup untuk membasmi gejala-gejala yang disebutkan tadi? Jesteru itu, tanggungjawab tersebut kembali kepada rakyat Malaysia untuk menukar kerajaan korup yang ada. Selamatkan Malaysia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan