Selasa, 15 Jun 2010

Pertumbuhan ekonomi: Najib cuma mahu rakyat bersorak


Pada 14 Mei baru-baru ini, hampir kesemua akhbar-akhbar kawalan kerajaan memaparkan berita KDNK suku pertama tahun ini sebanyak 10.1 peratus sebagai tajuk utama mereka. Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Najib Razak itu mengambarkan ekonomi negara kini berada dalam landasan yang baik dalam memacu pertumbuhan ekonominya.

Sebelum itu pada 14 April dalam satu kenyataan Kenanga Research, mata wang Ringgit Malaysia kini berada di paras yang kukuh dan trend ini dijangka akan beransur-ansur meningkat kepada 3.05 bagi setiap Dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun hadapan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik. Dalam perkembangan berkaitan, Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz berkata pengukuhan nilai mata wang ringgit tersebut akan menyebabkan kuasa membeli pengguna di Malaysia bertambah.

Itu adalah teori-teori ekonomi di atas kertas. Hakikat di sebalik pengumuman tersebut, adakah kesan-kesan pertumbuhan ekonomi yang dilaungkan mampu memberi impak positif kepada kos sara hidup rakyatnya khusus kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang mungkin kurang mengambil tahu akan teori-teori ekonomi tersebut.

Dalam satu kenyataan akhbar Jabatan Perangkaan 22 Mei lalu, indeks harga pengguna (IHP) untuk bulan April tahun ini meningkat sebanyak 1.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas. Perbandingan tahun ke tahun, indeks makanan dan minuman bukan alkohol dan indeks bukan makanan masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 1.2 peratus, kata jabatan itu. Kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah makanan dan minuman bukan alkohol (1.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus); dan pengangkutan (0.7 peratus).

Namun berita perkembangan ekonomi negara yang semakin meningkat dan mata wang Ringgit yang berada pada paras kukuh tidak akan memberi apa-apa makna jika rakyatnya terus bergelut dengan kadar inflasi yang tinggi. Kekayaan negara tentunya tidak memberi apa-apa makna jika masih ramai rakyatnya yang berada di bawah paras kemikinan. Apatah lagi bagi Malaysia yang masih belum mencapai status negara maju.

Adakah rakyat boleh bersorak dengan pengumuman pertumbuhan KDNK 10.1 peratus dan pengukuhan nilai Ringgit di pasaran tersebut jika kadar inflasi masih naik mencanak dan menjerut sekaligus mengurangkan kuasa membeli pengguna khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Apakah yang dapat mereka nikmati dari kesan pengumuman tersebut? Adakah pada hari ini rakyat terbanyak telah mula merasai sedikit kelegaan apabila dikatakan kuasa membeli mereka bertambah? Adakah kuantiti sebuku roti atau berat timbangan tepung dan gula hari ini bertambah dengan jumlah nilai wang sama yang dibayar pada sebelumnya. Atau kerajaan memang hanya mengharapkan rakyatnya sekadar bersorak kosong walaupun tahu rakyatnya terus terhimpit?

Pengumuman tersebut tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat jika harga beras, gula, tepung, roti dan lain-lain barangan keperluan masih kekal tinggi di tahap yang sedia ada. Malahan harga barangan yang bukan di bawah harga kawalan berterusan mencanak naik dan ura-ura berlakunya kenaikan harga barangan kawalan pula semakin bertiup kencang.

Pertumbuhan KDNK 10.1 peratus tidak memberi apa-apa makna jika rakyat semakin ditekan apabila lebuh raya yang dibina untuk kemudahan rakyat dikenakan tol dan usaha-usaha untuk cuba menswastakan perkhidmatan kepada rakyat masih dijalankan. Jadi, apa yang hendak disorakan jika kehidupan rakyat semakin terbeban?

Mampukah pengumuman pertumbuhan ekonomi dan paras nilai mata wang Ringgit Malaysia tersebut membuatkan para petani, nelayan, kerani, pengawal keselamatan dan lain-lain melonjak dan bersorak gembira? Adakah pengumuman tersebut menyebabkan para petani dapat menjual hasil pertanian dengan harga yang lebih baik? Rata-rata bagi rakyat berpendapatan sederhana rendah, pengumuman tersebut tidak ada maknanya melainkan jika pengumuman tersebut mampu menambah pendapatan mereka atau menurunkan harga-harga barang keperluan di pasaran.

Memang tidak dinafikan kecekapan menguruskan ekonomi untuk mengkayakan negara memang penting. Namun ia bukanlah sekadar kecekapan bagaimana pemerintahnya berjaya meningkatkan pendapatan negara tetapi adalah penting juga bagaimana kekayaan yang ada itu dapat diagih-agihkan dan dinikmati dengan dimanfaatkan untuk semua lapisan masyarakatnya.

Apa yang jelas, pengumuman tersebut sekadar menyerlahkan kelaziman sikap Kerajaan BN yang gemar menyuapkan berita-berita yang sedap untuk di dengar dan seterusnya menghamburkan puji-pujian kepada diri sendiri. Apa yang penting bagi mereka, pengumuman tersebut bertujuan memberitahu kepada rakyat akan kononnya mereka cekap menguruskan ekonomi negara.


Tiada ulasan:

Paparan Halaman