Bahagian 4
BN mula hilang sokongan rakyat
Akibat kemenangan selesa BN pada PRU-11, telah menyebabkan kerajaan BN semakin angkuh dan berani menjalankan dasar-dasar yang merugikan atau membebankan rakyat. Pada congakkan mereka pada masa itu, majoriti rakyat tetap akan menyokong BN walaupun tindakan mereka menekan rakyat.
Kerajaan BN pimpinan Abdullah ketika itu telah gagal mendapatkan maklum balas yang jelas atau tepat berhubung tindakan-tindakan kerajaan. Antaranya, Gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh beliau yang tidak diterima dengan baik khususnya golongan yang bukan beragama Islam.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dikatakan berperanan secara berlebihan dalam kerajaan turut memberi sumbangan melemahkan imej ‘Mr Clean’ bapa mertuanya itu hingga mendapat kritikan keras dari bekas PM, Dr Mahathir dengan mengelarkannya sebagai ‘kerajaan anak beranak.’ Ketika itu Khairy telah diberikan tempat di Jabatan Perdana Menteri bersama beberapa rakan-rakannya, walaupun beliau bukanlah seorang Ahli Parlimen apatah lagi untuk memegang sebarang port folio di dalam kabinet.
Gelagat-gelagat pemimpin-pemimpin BN khususnya dari Umno, juga semakin memualkan rakyat. Antaranya gelagat Mohd Said Yusof, ketika itu sebagai Ahli Parlimen Jasin di Dewan Rakyat dengan tanpa segan silu menyatakan betapa keinginannya untuk memiliki kereta mewah Mercedes Compressor ketika berbahas di Dewan Rakyat berhubung isu PA kenderaan import.
Beliau juga seolah-olah menjadi simbol kepada sikap tidak acuh ahli-ahli Parlimen BN terhadap masalah-masalah yang ditanggung rakyat kebanyakan apabila lebih gemar berkonfrontasi dengan pihak Kastam dan berhujah mewakili kepentingan diri sendiri dan syarikat miliknya dalam isu import kayu bergergaji oleh syarikatnya.
Tindakan Hishamuddin Tun Hussein menjulang keris pada setiap kali Persidangan Pemuda Umno juga tidak menggembirakan parti-parti komponen BN lain, parti-parti pembangkang dan masyarakat bukan Melayu negara ini. Walaupun beliau tidak memaksudkan perbuatan itu sebagai mencabar mana-mana kaum lain di negara ini, namun ia cukup untuk menunjukan sikap kurang kepekaan beliau terhadap hubungan kaum negara ini.
Keputusan kerajaan dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan umum mahupun kepentingan startegik negara seperti isu jambatan Johor-Singapura telah memberi lebih banyak peluru kepada pengkritik-pengkritik kerajaan BN. Isu lain seperti isu rakaman video VK Linggam juga turut memainkan peranan melemahkan imej BN.
Keputusan kerajaan dalam Belanjawan 2008 apabila mengumumkan tiada bonus pada penghujung 2007 sedikit sebanyak membuatkan golongan ini merajuk untuk terus memberikan sokongan mereka kepada Kerajaan BN. Kenaikan kos sara hidup yang menjerut khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana semakin menghakis kepercayaan rakyat terhadap kemampuan BN membela nasib mereka.
Sebenarnya banyak isu lain yang menyebabkan selepas PRU-11, BN dan Umno mulai beransur-ansur lemah. Kebanyakan isu tersebut didasari perasaan angkuh pemimpin-pemimpin BN setelah mencapai kemenangan besar pada PRU-11, khususnya Umno dengan mengandaikan bahawa rakyat tetap akan menyokong mereka walau apa pun tindakan mereka. Hinggakan menjadi satu jenaka kepada pemimpin Umno, jika BN meletakan tunggul kayu sekalipun untuk bertanding dalam pilihan raya, tunggul kayu tersebut akan menang.
Bersambung ke bahagian 5:
Mulanya fasa ke 2 kebangkitan rakyat: Kesedaran dan kebangkitan anak muda
1 ulasan:
Aku pun bebulu masa Yb Said asyik bertelagah dengan kastam. Lepas tu ex pulak nak pakai mercedes compressor
Catat Ulasan