Meramalkan politik Malaysia hari ini tidaklah semudah ketika sebelum berlakunya tsunami politik sebelum PRU-12 pada Mac 2008. Kadangkala apa yang cuba diramalkan memang benar menjadi, tetapi ada masanya apa yang berlaku adalah di luar jangkaan.
Contohnya, walaupun banyak sumber termasuklah dari kaji selidik dari sebuah badan penyelidikan bebas meramalkan peluang PR untuk menang pada PRK di Hulu Selangor adalah 60/40 berbanding BN. Namun sebaliknya saya menjangkakan peluang PR untuk menang dalam PRK Parlimen Hulu Selangor adalah 50/50.
Ternyata pada malam keputusan PRK Parlimen Hulu Selangor diumumkan, walaupun jangkaan saya boleh dikatakan mengena, tetapi keputusan tersebut agak mengecewakan. Sebaliknya pada PRK Parlimen Sibu, saya tidak meletakan sebarang harapan untuk PR memenangi PRK tersebut, keputusannya mengejutkan tetapi memberansangkan.
Begitulah sedikit antara contoh-contoh senario politik negara masa kini, ia sukar dijangkakan dan kadang-kala perubahan dari satu plot ke satu plot lain begitu cepat berlaku. Ada pula di kalangan pemain-pemainnya juga, mampu bertukar watak dengan tiba-tiba.
Ini semua adalah dari kesan kesedaran dan kebangkitan rakyat Malaysia akan hak mereka memenuhi tuntutan demokrasi sebuah negara walaupun sesetengah tuntutan demokarasi mereka itu dinafikan atau gagal dipenuhi demi menyelamatkan kuasa yang masih ada di tangan. Kesan kesedaran dan kebangkitan rakyat Malaysia hari ini berlaku dalam dua fasa iaitu fasa pertama era reformasi 1998 dan era kebangkitan generasi muda kini.
Fasa Pertama – Era gerakan reformasi 1998
Tidak dapat dinafikan, Anwar Ibrahim adalah pemangkin kepada kebangkitan fasa pertama ini. Setelah beliau difitnah dan dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, beliau telah menlancarkan reformasi ke seluruh negara. Walaupun hanya tidak berapa lama kemudian beliau telah ditahan, gerakan reformasi tetap diteruskan dengan dipimpini oleh isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kesan gerakan reformasi
Kesan dari gerakan reformasi yang dilancarkan itu, masyarakat khususnya di kawasan-kawasan bandar mulai sedar akan bermacam kepincangan dalam banyak sistem termasuk sistem kehakiman yang ada di dalam negara ini telah dan sedang berlaku. Bermula dari situlah golongan ini mula berani memprotes tindakan-tindakan kerajaan secara terbuka.
Demontrasi jalanan diadakan
Suasana di bandar-bandar besar terutama sekali ibu negara Kuala Lumpur yang begitu lama agak asing dengan kejadian demontrasi, secara tiba-tiba di jalan-jalan rayanya menyaksikan rally demontrasi setiap minggu. Ia adalah sejarah negara yang tidak wajar dipadamkan dan secara peribadi penulis pula, ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Demontrasi terbesar
Pada ketika itu jugalah telah berlaku sebuah demontrasi yang dianggap paling besar pernah diadakan dalam sejarah negara pada 20 September 1998. Demontrasi tersebut telah dimulakan dengan ucapan Anwar Ibrahim dari anjung Masjid Negara dan kemudiaannya rally tersebut diteruskan dengan perarakan ke Dataran Merdeka.
Setibanya di Dataran Merdeka Anwar Ibrahim sekali lagi telah memberikan ucapan bersemangatnya. Tetapi sayangnya ucapan beliau itu tidak dapat didengari oleh semua yang hadir disebabkan pada ketika itu pembesar suara yang digunakan hanyalah sekadar sebuah heller sedangkan massa yang hadir ketika itu lautan manusia.
Demontrasi tersebut ditamatkan dengan perarakan dari Dataran Merdeka menuju ke Jalan Raja Laut dan bersurai di hadapan Bangunan KWSP. Demontrasi ini juga adalah demontrasi terakhir yang dikepalai Anwar Ibrahim sebelum beliau ditahan pada malamnya di kediaman beliau di Bukit Damansara.
Tanpa ragu, demontrasi yang berlaku pada 20 September 1998 itu adalah demontrasi terbesar pernah diadakan di negara ini. Juga tanpa ragu, kalaulah Umno mampu mengumpul kehadiran orang ramai secara sukarela seramai ini, pastinya ia akan dicatat di dalam buku Malaysia Book of Records.
Akhbar-akhbar ketika itu, baik akhbar tempatan mahu pun antarabangsa melaporkan anggaran jumlah pendemo yang berbeza-beza. Seperti lazimnya, bagi media-media pro-BN, mereka akan memberikan angka anggaran sekecil yang boleh. Utusan Malaysia dan Berita Harian melaporkan anggaran jumlah yang menyertai demontrasi tersebut sekitar 100,000 orang manakala sebuah media asing melaporkan anggaran jumlah tertinggi iaitu 500,000 orang.
Selain itu, jumlah kehadiran di Stadium Mohammad ke-1V, Kota Bahru, Kelantan ketika Anwar Ibrahim dalam siri jelajahnya ke serata negara juga telah mencatat tidak kurang 100,000 orang yang menghadirinya. Antara faktor terpenting yang berjaya menarik begitu ramai khalayak untuk menyertai demontrasi dan ceramah-ceramah umum ini ialah aura yang ada pada Anwar Ibrahim itu sendiri.
Bersambung ke bahagian dua: Kesan gerakan reformasi dalam PRU-10, 1999
Tiada ulasan:
Catat Ulasan