Rabu, 9 Jun 2010

10 tahun politik Malaysia: Era reformasi 1998 - Tsunami politik 2008 (bhg 6)

PRU-12: Politik Malaysia selepas Tsunami Politik 2008

Akhirnya pada malam 8 Mac 2008, menyaksikan satu persatu kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di negeri-negeri yang dimenangi oleh BN sebelumnya tumbang di tangan parti pembangkang. Malah, satu demi satu kerajaan negeri telah beralih tangan dan BN turut kehilangan majoriti dua pertiganya di Parlimen.

Ketika itu, BN seolah-olah baru tersedar dari keseronokan bulan madu yang panjang. Dalam bedah siasat BN, pelbagai fakta yang dikemukakan. Antara yang paling lantang sekali ialah, Dr Mahathir Mohammad yang secara terbuka meletakan tanggungjawab ke atas PM Abdullah Badawi.

Selepas PRU-12 itu juga PM Abdullah Badawi terpaksa menerima asakan politik yang kuat. Asakan itu bukan sahaja datang dari parti-parti pembangkang, malah dari dalam BN sendiri dan tidak ketinggalan pihak istana beberapa negeri turut memberi tekanan politik kepada beliau.

Tekanan dari dalam Umno sendiri yang paling terbuka sekali datangnya dari Muhyiddin Yassin yang kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Selain itu, peristiwa penting lain ialah tindakan Mahathir Mohamad keluar dari parti Umno sebagai tanda protes beliau terhadap Presiden parti itu. Akibat tekanan politik dari dalam dan luar BN, akhirnya Abdullah Badawi meletakan jawatannya dan pada 3 April 2009 timbalannya Najib Razak mengangkat sumpah di hadapan DYMM Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke enam yang baru.

Sepanjang lima tahun, lima bulan dan tiga hari Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden Umno dan Pengerusi BN beliau telah mencatat dua rekod untuk BN dalam siri pilihan raya di Malaysia iaitu rekod kemenangan BN paling cemerlang dalam PRU-11 tahun 2004 dan juga rekod prestasi BN paling buruk dalam PRU-12 tahun 2008.

Walaupun sepanjang beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, pretasi beliau dikatakan agak lemah oleh para pengkritiknya, namun berbanding Mahathir dan Najib, beliau lebih menampakan kesungguhan dalam memerangi isu rasuah dan cuba mengamalkan dasar kerajaan yang lebih terbuka.

Kemungkinan disebabkan faktor kemenangan bergaya BN dalam PRU-11 tahun 2004 yang mendorong Abdullah Badawi untuk mengamalkan dasar kerajaan yang lebih terbuka. Pada perkiraan beliau selepas kemenangan besar BN pada masa itu, gerakan pembangkang semakin lemah dan lebih mudah dijinakan.

Bahagian 7: Najib mengambil alih tampuk kuasa





Tiada ulasan:

Paparan Halaman