Ahad, 6 Jun 2010

10 Tahun politik Malaysia: Era Reformasi 1998 - Tsunami politik 2008 (5)



Bahagian 5

Fasa kedua: Kesedaran dan kebangkitan anak muda

Pada kesempatan BN mula kehilangan sokongan rakyat, parti-parti pembangkang bijak mengambil peluang terhadap keadaan ini. Lebih-lebih lagi apabila keputusan Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat 1998 pada 2004. Pembebasan Anwar Ibrahim setelah enam tahun di penjara itu merupakan titik tolak terpenting terhadap kesepakatan semula parti-parti pembangkang. Pembebasan Anwar pada 2004 tersebut, telah memberikan masa yang secukupnya untuk beliau mengatur semula pakatan pembakang.

Dalam menghadapi PRU-12, Anwar Ibrahim dengan gigih berusaha telah berjaya menyatukan parti-parti pembangkang ini dalam satu pakatan untuk berhadapan BN. Kesepakatan awal yang berjaya dicapai ialah menetapkan satu lawan satu di setiap kerusi yang Parlimen dan DUN. Jesteru itu, sebagaimana yang telah dijelaskan awal tadi, Anwar sebagai pemangkin kepada era kebangkitan reformasi 1998, dalam menghadapi PRU-12 sekali lagi beliau menjadi pemangkin terhadap kebangkitan rakyat dalam fasa kedua ini.

Tetapi harus diingat, pemangkin yang disebutkan tadi adalah alat yang membangkitkan kesedaran massa. Seandainya peranan pemangkin tadi gagal untuk membawa kebangkitan kepada massanya ia tidak membawa apa-apa makna. Dalam konteks ini adalah jelas bahawa rakyat terbanyak paling penting dalam sesebuah kebangkitan atau pun mana-mana revolosi.

Dalam kebangkitan massa fasa kedua ini, generasi mudalah yang paling dominan sekali. Berbanding fasa pertama melalui gerakan reformasi 1998. Kesedaran golongan ini adalah faktor usia dan bukan lagi faktor reformasi yang digagaskan oleh Anwar Ibrahim. Perkembangan golongan pro reformasi 1998 pada ketika ini telah berada di paras statik jumlah sokongannya. Malah dalam sesetengah keadaan ada di kalangan reformis ataupun pengundi BA pada PRU-10 tahun 1999 lalu yang masih berterusan tidurnya dan ada juga yang telah berjaya ‘dipulihkan’ semula oleh BN.

Generasi liberal

Manakala golongan rakyat yang mewakili kebangkitan rakyat fasa kedua yang didominasi generasi muda ini pula akan berterusan bertambah dari tahun ke tahun. Semakin ramai anak-anak muda melepasi umur kelayakan mengundi, semakin kuatlah sokongan yang diperolehi oleh parti-parti pembangkang.

Gaya pemikiran generasi muda yang dilihat lebih liberal, tidak terikat kepada permainan politik tradisi generasi-generasi terdahulu. Golongan ini lebih memahami hak mereka di negara demokrasi seperti Malaysia berbanding generasi terdahulu dan ini menyebabkan mereka tidak terikat dengan sentimen terhutang budi kepada BN. Malah mereka juga cenderung mengkaji dan mentafsirkan sejarah daripada perspektif yang berbeza dari yang sering dihidangkan di dalam buku-buku teks sejarah.

Generasi bermaklumat

Selain itu kemunculan pelbagai media-media baru atau alternatif yang tidak terhad membolehkan mereka menerima pelbagai maklumat dari banyak perspektif dan tidak lagi bergantung harap kepada satu sumber. Adanya sumber maklumat dari media-media alternatif ini, sedikit demi sedikit golongan ini mula menghidu propaganda dan menyedari bagaimana media arus perdana memanipulasikan maklumat demi kepentingan BN. Mereka ini sukar untuk dibohongi. Akhirnya maklumat yang disampaikan oleh media-media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3 misalnya, ditolak oleh generasi ini malah dianggap sebagai berita sampah.

Walaupun adakalanya maklumat yang disampaikan oleh sesetengah pengamal-pengamal media alternatif ini juga turut kurang tepat, namun generasi ini tetap cenderung untuk mendapatkan maklumat dari sumber tersebut. Kehilangan kepercayaan mereka terhadap media-media perdana ini berlaku disebabkan oleh media-media arus perdana yang dianggap gemar membodek kerajaan, laporan berat sebelah dan memutar belitkan fakta demi menyebarkan propaganda kerajaan BN.


Sambungan bahagian 6:

PRU 12: Tsunami politik 2008.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman