Sabtu, 29 Mei 2010

Rasionalisasi subsidi: Rakyat korban kecuaian, ketamakan BN

Pendapat segelintir rakyat Malaysia hari ini bahawa masalah rasuah, ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam kerajaan hari ini tidak memberi apa-apa kesan terhadap kehidupan mereka harus diperbetulkan. Masalah-masalah tersebut yang telah menyebabkan negara kehilangan kira-kira RM28 bilion setahun bakal menyebabkan kerajaan terpaksa mencari alternatif lain bagi menyelamatkan semula wang negara yang lesap.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini dilihat cenderung untuk mengalihkan tanggungan bebanan kerugian tersebut kepada rakyatnya. Antara alternatif yang bakal dilaksanakan untuk meminimumkan kerugian tersebut ialah dengan kaedah mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta memansuhkan subsidi barangan keperluan dan juga kadar tol.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) – sebuah badan yang ditubuhkan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan menyatakan subsidi petrol, gas, barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan sebagainya, perkhidmatan perubatan, elektrik dan tol bakal dihapuskan bagi menyelamatkan negara dari muflis.

Langkah terdesak kerajaan tersebut dilihat amat bertentangan sekali dengan dakwaan pertumbuhan ekonomi negara semakin memberangsangkan. Langkah yang dinamakan sebagai rasionalisasi subsidi itu antara lain akan menaikkan harga petrol 15sen seliter pada peringkat permulaan tahun ini dan seterusnya diikuti dengan 10sen seliter bagi setiap enam bulan. Bagi mewajarkan langkah tersebut, rebat tunai sebanyak RM126 kepada pemilik motokar di bawah 1,000cc dan RM54 kepada pemilik motorsikal di bawah 200cc diberi.

Sungguhpun begitu, jumlah rebat yang diberi tersebut adalah terlalu kecil untuk menampung kenaikan berbanding dengan tambahan kos sara yang berlipat kali ganda sekaligus ia dilihat sebagai amat tidak berbaloi kepada rakyat. Kumpulan sasar yang layak menerima rebat yang hanya terdiri dari pemilik motokar di bawah 1,000cc juga turut tidak terkesan apa-apa dari rebat RM126 tersebut berbanding peningkatan beban tanggungan lain. Malah pengguna motokar 1,000cc hingga 1,600cc yang dipinggirkan dari kelayakan menerima rebat juga kebanyakan terdiri dari mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Barangan dan perkhidmatan lain yang turut tersenarai ialah diesel, dinaikan 10sen seliter setiap enam bulan selama lima tahun, gula (20sen–1kg), tepung gandum (25sen-1kg), minyak masak (15 peratus-1liter bagi dua tahun, diikuti 5 peratus hingga 2014), tol lebuh raya, perubatan dan elektrik.

Akibat dari pemansuhan subsidi tersebut bukan sahaja bakal menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bersubsidi yang terlibat sahaja tetapi akan menaikan hampir kesemua barangan keperluan dan perkhidmatan lain termasuklah tmbang pengangkutan awam yang berada di pasaran sekaligus bakal membuatkan kos sara hidup rakyat akan naik berlipat kali ganda. Keadaan ini akan diburukkan lagi apabila langkah kerajaan untuk melaksanakan GST dilaksanakan yang bermakna masyarakat negara ini akan menghadapi dua pertambahan kenaikan bebanan kos sara.

Poket rakyat akan menjadi lebih koyak lagi apabila tidak cukup dengan tekanan dari dasar GST dan rasionalisasi subsidi bahkan setelah hampir dua tahun Kerajaan Pusat BN yang dipimpini oleh Najib Razak yang terkenal dengan slogan 1 Malaysia - rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan itu, masih tidak menampakan usaha bersungguh-sungguh lagi realistik untuk meningkatkan pendapatan perkapita rakyatnya melainkan retorik-retorik yang enak didengar dan dibaca di atas kertas semata-mata.

Ekoran kenyataan Idris Jala itu, kemungkinan besar akan mendapat reaksi bantahan keras dari masyarakat umumnya dan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah khususnya. Terdapat desas-desus mengatakan bahawa masyarakat dari pelbagai lapisan dan golongan telah bersedia untuk membentuk sebuah gerakan bagi membantah cadangan yang tidak menguntungkan rakyat itu. Bantahan tersebut bakal disalurkan samada melalui saluran rasmi mahupun terpaksa sekali lagi turun berdemontrasi di jalan raya.

Tinjauan rambang mendapati, rata-rata berpendapat kerajaan seharusnya mengutamakan memerangi secara menyeluruh gejala rasuah, ketirisan dan pembaziran kerajaan dalam berbelanja terlebih dahulu bagi menyelamatkan wang negara sekaligus mengelakan negara dari muflis. Bukannya menjadikan rakyat sebagai korban untuk membayar harga kecuaian dan ketamakan mereka.

Namun begitu timbul pula persoalan bolehkan rakyat negara ini mengharapkan kepada sebuah kerajaan yang pemimpin-pemimpinnya yang juga korup untuk membasmi gejala-gejala yang disebutkan tadi? Jesteru itu, tanggungjawab tersebut kembali kepada rakyat Malaysia untuk menukar kerajaan korup yang ada. Selamatkan Malaysia!

Khamis, 27 Mei 2010

Air mata pejuang kiri di ambang merdeka

Hakikat tiada yang indah gemerlapan di dalam sesebuah perjuangan memang benar. Bahkan dalam mana-mana perjuangan, pengorbananlah menjadi intipati utama. Nikmat kejayaan sesebuah perjuangan pula, adakalanya langsung tidak dinikmati oleh para pejuang itu sendiri. Namun kerana maruah diri dan demi menegakan sebuah negara bebas untuk generasi mendatang, perjuangan perlu diteruskan. Biarpun ia menuntut seribu pengorbanan.

Pengiktirafan kepada pejuang, tidak harus bersandar kepada idelogi fahaman politik seseorang pejuang itu sendiri. Apatah lagi anutan ugama atau bangsanya. Juga tidak wajar pengiktirafan hanya disandarkan kepada haluan kiri atau kanannya. Sewajarnya pengiktirafan harus diberikan kepada sesiapa sahaja yang telah telah memainkan peranan demi membebaskan negara dari cengkaman penjajah British.

Antaranya, termasuklah gerakan-gerakan kiri dalam perjuangan kemerdekaan. Malang sekali, apabila British meletakan label pengganas kepada mereka, kita turut sama menuruti penjajah dengan menuturkan gelaran yang sama kepada mereka. Sedangkan pada masa itu kita amat memahami British menamakan pejuang kiri tersebut sebagai pengganas disebabkan sikap tegar enggan berkompromi serta penentangan mereka terhadap British.

Hari ini, dalam dokumen rasmi sejarah negara masih lagi memberitahu generasi hari ini akan keganasan ‘pengganas’ tersebut. Walaupun pengorbanan mereka untuk mencapai kemerdekaan jauh lebih dahsyat berbanding kita, kita masih enggan mengiktiraf mereka juga adalah warga negara yang berjuang untuk merdeka disebabkan fahaman idealogi politik mereka yang tidak sama dengan kita.

Dokumen sejarah adalah sesuatu yang boleh diolah-olah dan disesuaikan mengikut kehendak mana-mana pihak, menggelapkan yang terang dan menerangkan yang gelap. Berbeza dengan erti sejarah itu sendiri, sejarah adalah sesuatu peristiwa lalu yang tidak boleh diubah-ubah.

Walaupun peristiwa yang cuma baru sedetik tadi berlalu, ia tetap telah berlaku dan tidak boleh diundurkan semula sedetik itu. Lantas, peristiwa yang sedetik lalu itu dinamakan sejarah sekaligus tidak boleh diubah lagi. Cuma kita boleh sahaja menulis (mendokumenkan) cerita peristiwa sedetik lalu itu mengikut selera atau kemahuan kita sendiri.

Dalam perjuangan haluan kanan, mereka berkorban apabila terpaksa terbang jauh meninggalkan anak-anak, isteri dan menginap di hotel mewah serta layanan VIP di Kota London demi rundingan mencapai kemerdekaan. Pada masa yang sama di tanah air ini, rata-rata pejuang-pejuang kiri pula, tidak kurang juga berkorban menginap di sel sempit bertirai besi British atau menginap di hutan belukar dan sentiasa pula diburu peluru-peluru raifel British.

Tanggal 31 Ogos 1957, ribuan umat berhimpun meraikan kegembiraan di Stadium Merdeka dengan melaungkan merdeka! merdeka! merdeka! Pesta meraikan kemerdekaan diadakan di merata-rata tempat dengan penuh meriah dan bergermelapan sekali. Alangkah indahnya apabila bumi yang dipijak kembali menjadi milik sendiri.

Pada masa yang sama ketika laungan merdeka! merdeka! merdeka! sedang bergema, di celah-celah hutan belantara, di sudut sel kecil bertirai besi warisan British, susuk-susuk tubuh pejuang kiri tersenggut-senggut, air matanya mengalir, tangannya diangkat tinggi, memanjatkan kesyukurannya. Kegembiraan mereka juga adalah kegembiran yang sama seperti mana kegembiraan kita semua iaitu kerana bebas dari penjajahan. Malahan, mereka lebih memahami erti perjuangan dan menjiwai erti sebuah kemerdekaan berbanding kebanyakan kita semua.

Rabu, 26 Mei 2010

Tabloid nafi tiada permit





Ketua pengarang tabloid politik Kabar hari ini menyangkal kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebut tabloid tersebut diterbitkan tanpa permit penerbitan.

Mat Zahari Ali (kiri) berkata permit bagi akhbar terbitan Damak Media itu diperolehi atas nama nama 'Kabar' bagi tempoh satu tahun bermula 28 Disember 2009.

Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa nama tabloid itu bukannya Kabar Era Pakatan seperti yang dilaporkan.

Sebaliknya, Mat Zahari berkata, "Era Pakatan" hanya merupakan motto bagi penerbitan tersebut dan perkara itu telah dimaklumkan kepada KDN melalui sepucuk surat bertarikh 29 April lalu.

"Kami sudah maklumkan kepada KDN bahawa 'Era Pakatan' itu hanyalah motto bagi akhbar kami. Kami tidak pula terima apa-apa surat daripada mereka, mengatakan perkara ini salah.

"Jadi, bagi kami, tidak ada masalah lagi. Tapi kami sangat dukacitalah apabila mereka bertindak merampas akhbar tersebut," katanya lagi ketika dihubungi.

KDN bagaimanapun bertindak merampas sebanyak 6,108 naskah akhbar tersebut, berdasarkan aduan awam dan laporan polis.

Mat Zahari bagaimanapun tidak yakin dengan alasan tersebut dan mendakwa tindakan rampasan itu dibuat atas "arahan pihak atasan."

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Mat Zahari berkata rampasan dan penyitaan yang dibuat tanpa sebarang notis itu sebagai "tindakan yang tidak profesional."

"(Ia juga) menimbulkan pelbagai keraguan serta menjejaskan kredibiliti kementerian tersebut.

"Kalau ada laporan polis atau aduan awam, KDN seharusnya datang menyiasat atau mengambil keterangan dari Kabar," katanya lagi.

"Sekiranya KDN tidak berpuas hati atau menyarankan supaya diubah saiz atau mana-mana yang tidak (memenuhi) kehendak KDN maka kementerian tersebut sepatutnya menghubungi pihak Kabar bagi memaklumkannya atau memberi surat peringatan atau amaran," katanya lagi.

Menyentuh soal motto Kabar, Mat Zahari berkata, KDN sepatutnya menyedari permit akhbar itu diperoleh untuk akhbar bernama Kabar, bukan 'Kabar Era Pakatan' yang sememangnya tidak dikeluarkan oleh kementerian itu.

"Lagipun motto sesebuah akhbar boleh dinamakan apa sahaja atau ditukar dengan apa nama sekalipun pada bila-bila masa kerana ia tidak terikat dengan penerbitan permit," katanya lagi.

* Dipetik dari Malaysia Kini


Selasa, 25 Mei 2010

KDN: Antara lesen judi dan permit akhbar

Setelah beberapa hari menunggu keluaran terbaru akhbar Kabar Era Pakatan (KEP), akhirnya pagi ini terjawablah persoalan mengapa KEP tidak kunjung tiba di pasaran. Rupa-rupanya akhbar ini telah ditahan penerbitannya dan sejumlah lebih 6 ribu naskah telah dirampas oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Setelah meneliti kolum kecil di sebuah akhbar pagi ini, saya mula meneka-neka kemungkinankah tindakan KDN tersebut ada bersangkut paut dengan pertukaran nama akhbar ini?

Petang ini apabila membaca keluaran terbaru Suara Keadilan, terjawablah persoalan tadi. Tekaan saya sedikit mengena. Tetapi pada keseluruhan seperti mana yang dinyatakan oleh Saudara Mat Zahari Ali, alasan yang diberikan oleh KDN tersebut memang kabur walaupun pihak penerbit telah memenuhi syarat yang ditetapkan. Cuma yang jelas (tidak kabur) dalam negara ini, memohon lesen perjudian untuk kroni dan tahi judi daripada KDN lebih mudah dari memohon permit penerbitan akhbar untuk maklumat kepada rakyat!

Sabtu, 22 Mei 2010

Seksyen 29(4) Akta SPRM: Kickdefella wajar di dakwa

Setelah empat bulan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohammed mengambil alih jawatan nombor satu dalam badan suruhanjaya tersebut, SPRM masih tidak menampakan berjaya keluar dari cengkaman pengaruh kepentingan politik Umno-BN dengan melakukan sebarang perubahan drastik terhadap suruhanjaya tersebut. Tindakan-tindakan SPRM hingga ke hari ini masih berterusan menampakan tindakan yang double standard.

Terbaru, penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali dengan nama Kickdefella telah membuat beberapa kenyataan terbuka kepada media mengenai laporan dan kenyataan beliau kepada SPRM berhubung peruntukan sebanyak RM4 juta untuk operasi gerak saraf bagi memburukan pentadbiran kerajaan pusat ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi masih memerintah.

Walaupun hakikatnya BN sendiri telah turut membazirkan berbilion ringgit dana kerajaan dari hasil cukai yang dikutip daripada rakyat untuk membiayai kos perang saraf terhadap Pakatan Rakyat (PR) termasuklah mengupah askar upahan agen Yahudi-APCO, namun perbuatan BN ini dihalalkan pula oleh SPRM.

Sedangkan tuduhan yang dibuat oleh Kickdefella pula tidak menunjukan kepada sebarang penyalahangunaan dana Kerajaan Negeri Kelantan tetapi sebaliknya lebih merupakan sumbangan dari individu atau pun dana parti. Tuduhan Kickdefella yang masih diragui kebenarannya itu juga dipercayai didalangi oleh Umno-BN dengan motif yang mudah dibaca.

Kenyataan berterusan beliau kepada media yang sepatutnya membolehkan beliau didakwa di bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM kerana mendedahkan laporan atau butiran kenyataan beliau kepada SPRM kepada umum tidak menampakan sebarang tanda beliau akan didakwa.

Tindakan memilih bulu SPRM ini sekaligus membuktikan pengumuman SPRM beberapa bulan lalu untuk mengambil tindakan tegas dengan mendakwa sesiapa yang membocorkan rahsia laporan kepada umum hanyalah terpakai terhadap laporan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Umno dan BN sahaja.

Tindakan tidak mendakwa Kickdefella di bawah seksyen tersebut hanya menyebabkan masyarakat membuat andaian beliau memperolehi imuniti dari sebarang dakwaan kerana isu tersebut memberi kredit kepada Umno dan BN. Selain itu, tindakan tidak mendakwa Kickdefella juga menyebabkan imej SPRM di mata rakyat semakin merudum. Dalam isu ini, Abu Kassim terpaksa menelan kata-kata beliau sendiri yang kononnya akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang melanggar akta ini.

Malahan sebelum ini, tiada sebarang langkah-langkah konkrit yang dilakukan oleh SPRM bagi memulihkan imej negara setelah kedudukan negara dalam Laporan Indeks Persepsi Rasuah saban tahun semakin menjunam dari tangga ke 47 pada tahun 2008, ke tangga 56 pada tahun 2009.

Terdahulu, dalam satu program bual bicara terbitan sebuah stesen televisyen swasta tempatan pada awal tahun ini, Abu Kassim Mohammed ada menegaskan akan kepentingan elemen kerahsian dan surprise (kejutan) dalam sesuatu siasatan SPRM. Beliau turut membidas sesetengah pihak yang tidak dinamakan apabila mengadakan sidang media setelah membuat laporan rasuah kepada SPRM sepertimana yang dilakukan oleh Kickdefella.

Rentetan dari temubual tersebut akhirnya membawa kepada pengumuman oleh SPRM, bahawa SPRM akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM kepada sesiapa mahupun pengadu sendiri yang membocorkan aduan mereka kepada media dan seterusnya masyarakat umum.

Namun ketegasan SPRM tersebut hanya mengundang kesangsian masyarakat umum apabila pada 21 Januari lalu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull sendiri turut bertindak tidak senada dengan amaran ketuanya apabila membuat kenyataan akhbar tentang penahanan 34 individu untuk siasatan kes rasuah wang dan seks berhubungan kesalahan mencuri dan seludup pasir di lima negeri. Tambah mencurigakan dari seramai 34 individu tersebut, hanya individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh PR sahaja yang didedahkan manakala yang lainnya dirahsiakan.

SPRM harus lebih peka dan bertindak adil dengan mendakwa Kickdefella yang begitu jelas melanggar Seksyen 29(4) Akta SPRM ini. Sekurang-kurangnya dengan pendakwaan terhadap Kickdefella ini sedikit sebanyak mampu memulihkan sedikit imej SPRM dari berterusan dilabel sebagai budak suruhan Umno-BN di mata rakyat dalam memerangi rasuah yang semakin membarah di negara ini.

Selasa, 18 Mei 2010

Hendak ke Masjid? Baca ini dahulu…

Saya sebagai penduduk Negeri Selangor merasa bertanggung jawab untuk mengingatkan kepada sesiapa yang ingin bersolat di surau-surau atau masjid-masjid di negeri ini, baik yang menetap di negeri ini mahupun pengunjung dari negei lain agar menjaga tata tertib apabila melangkah masuk ke dalam surau atau masjid di dalam negeri ini.

Anda diwajibkan untuk menjauhi dari menuturkan kata-kata atau melakukan perbuatan seperti berikut ketika di dalam surau atau pun masjid di negeri ini:

1 - Dilarang berkata memberi dan menerima rasuah itu berdosa.

2 - Dilarang berkata memilih pemimpin yang telah diketahui rasuah itu berdosa

3 - Dilarang berkata meluluskan lesen pertaruhan bola sepak piala dunia adalah tindakan bertentangan dengan ajaran Islam.

4 - Dilarang berkata perbuatan memfitnah termasuk fitnah liwat itu berdosa besar.

5 - Dilarang berkata mengaibkan maruah orang lain walaupun pihak musuh adalah berdosa.

6 - Dilarang berkata perbuatan mengungkit kembali kisah silam orang-orang yang telah insaf dengan bertujuan untuk mengaibkan dan menjatuhkan seseorang juga berdosa.

7 - Dilarang berkata perbuatan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu adalah berdosa.

8 - Dilarang berkata perbuatan menyalahgunakan harta milik rakyat untuk kepentingan sesebuah kumpulan tertentu apatah lagi untuk tujuan peribadi adalah berdosa

9 - Dilarang berkata perbuatan membunuh dan melindungi pembunuh adalah berdosa.

10 - Dilarang berkata menjalin hubungan sulit tanpa nikah

11 - Dilarang berkata menyekat hak terhadap yang berhak adalah berdosa.

12 - Dilarang berkata bermewah-mewah dengan gaji buta melalui keringat rakyat marhaen adalah berdosa.

13 - Jika anda sendiri adalah seorang ahli politik, perbuatan bergaul dan bersalaman dengan jemaah lain ketika di dalam Masjid khususnya di Negeri Selangor boleh ditakrifkan sebagai perbuatan menggunakan Masjid untuk mempromosikan diri sendiri untuk meraih sokongan politik (menggunakan Masjid untuk politik).

Jika ada di antara anda yang pernah mengungkapkan kata-kata atau melakukan perkata di seperti di atas di dalam surau dan masjid di negeri Selangor maka anda dianggap telah mencemarkan kemuliaan rumah ibadat ugama Islam kerana berpolitik di dalamnya.

Barang siapa yang engkar, diingatkan anda tidak dialu-alukan untuk mengunjungi negeri ini lagi. Manakala kepada rakyat negeri lain yang bermastautin di negeri ini hendaklah segera pulang ke kampung asal di negeri masing-masing. Kepada anak-anak watan kelahiran Selangor pula, berhijrahlah ke negeri-negeri lain yang dibenarkan untuk berkata-kata atau melakukan perkara-perkara di atas di dalam Surau dan Masjidnya.


Isnin, 10 Mei 2010

Mohamed Aziz samakan Melayu dan Utusan, tindakan biadap

Ucapan Ahli Parlimen Sri Gading, YB Mohamed Aziz dari BN ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini hanya membuatkan saya termenung panjang. Ucapan tersebut yang benar-benar ‘tulus’ hanyalah menampakan kedangkalan beliau berhujah dan memandang rendah mentaliti masyarakat Melayu di negara ini.

Umumnya masyarakat Melayu khususnya bagi generasi baru negara ini, bukan sahaja tidak menerima sama sekali perbuatan menyamakan Utusan Malaysia adalah Melayu dan Melayu adalah Utusan Malaysia, bahkan rasa terhina dengan ucapan YB tersebut. Lebih-lebih lagi akhbar Utusan Malaysia bukanlah sahaja melaporkan propaganda, putar belit politik perkauman sempit Umno dan BN, malah turut menyiarkan gambar-gambar separuh bogel dan tidak ketinggalan keputusan ‘judi halal 1 Malaysia’ iaitu keputusan nombor ekor.

Dalam ucapan YB Mohamed Aziz, akhbar yang ditubuhkan pada 1939 itu telah memainkan peranan amat penting iaitu bertindak sebagai suara orang Melayu dalam proses menuntut kemerdekaan selain menjadi organ perubahan kaum itu. Beliau juga menyifatkan tindakan orang Melayu membakar Utusan Malaysia baru-baru ini sebagai perbuatan paling biadab terhadap bangsanya sendiri.

Kenyataan tersebut amat jelas datang dari seorang YB yang buta sejarah atau memang sengaja membelakangkan sejarah. Hakikatnya, Utusan Malaysia yang ada pada hari ini bukanlah akhbar yang sama ketika di zaman ketua pengarangnya Yusoff Ishak, Said Zahari, A. Samad Ismail dan lainnya ketika sebelum campur tangan Tunku Abd Rahman di dalam Utusan Melayu.

Sejarah telah tersimpul, suara orang-orang Melayu melalui akhbar tersebut mulai berubah apabila berlakunya campur tangan Umno dan Kerajaan Perikatan yang diketuai Tunku Abd Rahman hingga membawa kepada peristiwa mogok Utusan Melayu pada tahun 1961. Akibat mempertahankan kebebasan akhbar dari campur tangan kuasa politik, ketua pengarang ketika itu Said Zahari akhirnya terbuang ke Singapura.

Kemudian pada tahun 1963 beliau ditahan di bawah Akta ISA selama 17 tahun. Said Zahari bukanlah satu-satunya individu yang ditahan kerana mempertahankan kebebasan media. A. Samad Ismail turut menjadi mangsa kerakusan Akta ISA dalam memperjuangkan kebebasan akhbar. Kesan campur tangan kerajaan yang mengakibatkan pencabulan kebebasan media tersebut telah mengubah akhbar tersebut tidak lagi menjadi suara rakyat dan Melayu khususnya tetapi telah menjadi lidah rasmi kepada Umno.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Umno mula memiliki saham terbesar akhbar itu menjadikan akhbar tersebut secara sahih menjadi lidah rasmi Umno-BN. Kritikan-kritikan lantang Utusan terhadap pemerintah sebelum dicabuli campur tangan Umno dan Perikatan akhirnya menjadi semakin lunak dan memanjakan pemerintah.

Lebih-lebih lagi apabila setiap kali pemerintah berada di dalam situasi getir. Seperti mana selepas Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu contohnya, akhbar tersebut menjadi agen Umno dan BN untuk memulihkan imej dengan sentiasa menyiarkan berita-berita yang sedap didengar bagi Umno dan BN dan konsisten menyerang Pakatan Rakyat (PR) sekali gus membelakangkan kebenaran.

Berita-berita yang dilaporkan oleh akhbar tersebut tidak lagi bebas selepas berlakunya Mogok Utusan dan kemudiannya pemilikan saham Utusan Malaysia oleh Umno. Malahan banyak laporan berita yang sengaja ditulis untuk memutar belitkan atau memanipulasi fikiran rakyat bagi memberikan gambaran yang bersih lagi suci adalah Umno dan yang jelek lagi kotor adalah parti-parti pembakang semata-mata. Lalu, tindak balas dengan membakar Utusan Malaysia yang telah berlaku adalah manesfestasi kepada protes terhadap Utusan Malaysia yang ada hari ini.

Maka tidak hairanlah generasi baru kini beralih kepada akhbar-akhbar kiri yang lebih keras kritikannya dan bukannya akhbar-akhbar atau media arus perdana lain yang mendodoikan kerajaan. Malah kerajaan sama sekali tidak boleh menyalahkan generasi ini apabila mereka lebih mudah mempercayai berita-berita yang tersebar di internet berbanding lidah rasmi mereka itu.

Kenyataan Mohamed Aziz yang menghina Melayu dengan meletakan orang-orang Melayu setaraf dengan Utusan Malaysia jelas menunjukan ianya bukanlah berpaksi kepada sejarah perjuangan pejuang-pejuang Melayu terdahulu dan jauh sekali berpaksikan kemurnian sosial negara berbilang kaum.

Kenyataan beliau tersebut tidaklah lain dari hanya kenyataan yang bersifat perniagaan untung dan rugi akhbar tersebut dan juga Umno. Bahkan, isu berkaitan Utusan Malaysia tidak layak diperdebatkan di dalam Persidangan Dewan Rakyat yang mulia tersebut memandangkan ia hanya melibatkan tidak lebih dari kepentingan Umno dan untung rugi perniagaannya dan bukan kepentingan mana-mana bangsa mahupun kepentingan agenda negara.

Jesteru itu, tidak sukar untuk difahami ucapan YB dari Umno tersebut yang meluahkan perasaan marah terhadap tindakan orang-orang Melayu sendiri yang membakar Utusan Malaysia. Ucapan beliau tentunya berdasarkan tidak bersedia melihat akhbar yang majoriti sahamnya dimiliki oleh partinya tersungkur sekaligus merugikan Umno sendiri sebagai pemegang sahamnya.

Sabtu, 1 Mei 2010

Sarapan Pagi Seorang Menteri

Di bawah ini adalah dari catatan seorang hamba Allah semasa beliau mengunjungi Negeri Kelantan baru-baru ini yang aku kutip dari kiriman ke e-mail aku...

Sewaktu kami sekeluarga berkunjung ke Kota Bharu Kelantan pada cuti sekolah bulan lepas, kami sekeluarga sarapan pagi di gerai berhampiran hotel penginapan.. Kami sekeluarga terkejut dan rasa terharu bila kami dapati MB Kelantan tengah sarapan pagi di gerai tersebut berseorangan tanpa pengawal peribadi dan pegawai kerajaan Kelantan..

Malah beliau terlebih dahulu menegur dan menberi salam kepada kami sekeluarga serta mengajak kami sekeluarga makan bersama-sama di meja beliau sambil berborak menanyakan dari mana, bagaimana perasaan kami bila berada di Kelantan dan banyak lagi.. Ketika berborak, beliau tiada sedikit pun menyentuh soal politik atau cerita perkembangan terkini di Negeri kami (Negeri 9). Malah beliau berterima kasih kepada kami kerana sudi datang dan lihat sendiri keadaan di Kelantan daripada membaca di akhbar atau melihat di TV.. Malah kami sekeluarga rasa lebih terharu bila beliau membayar harga makanan dan minumnan kami sekeluarga pada pagi itu..

* MB Negeri saya sendiri pun susah nak jumpa.. kecuali di majlis rasmi yang ada publisiti sahaja..


[tgna008.jpg]

Paparan Halaman