
Oleh Nazli Ibrahim 
Hari Isnin kira-kira tiga minggu lalu, sedang saya bersantai di ruang  tamu sambil membaca bacaan ringan, tiba-tiba konsentrasi saya terganggu  apabila terdengar dialog dari sebuah filem di kaca TV yang tidak asing  bagi saya.
Saya pun segera menutup lembaran buku tadi dan memberikan perhatian  ke rancangan tv yang sedang menayangkan filem Nujum Pak Belalang lakonan  Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu.
Ya, memang benar seperti yang banyak dikatakan orang, menonton  filem-filem lakonan Allahyarham memang tidak menjemukan walaupun  filem-filem itu telah ditonton berkali-kali, ia masih menghiburkan.
Selain elemen hiburan, filem-filem lakonan Allahyarham memang sarat dengan kritikan-kritikan sosial yang pedas lagi tajam.
Walaupun filem-filem arahan dan lakonan beliau hanya diterbitkan pada  era 70an dan sebelumnya, namun kritikan sosial yang dilontarkannya  tetap relevan sepanjang zaman sehinggalah ke hari ini.
Lihat sahaja bagaimana Allahyarham mengadaptasi sikap pembodek untuk  mendapatkan keuntungan dan sikap seorang pemimpin bodoh dan pantang  dibodek yang ada dalam masyarakat kita hari ini di dalam filem Tiga  Abdul.
Tuan penasihat dalam Tiga Abdul 
Dalam filem itu, gara-gara terlalu mempercayai nasihat yang diberikan  ‘tuan penasihat 25 percent,’ Kassim Patalon, akhirnya Tuan Sadiq  Sigaraga yang tamak telah dijual oleh menantunya yang bijak iaitu Abdul  Wahub dan segala harta bendanya turut dirampas.
Tuan penasihat, Kassim Patalon yang dibawakan oleh Salleh Kamil,  merupakan penasihat yang bertanggungjawab sehingga mendorong Tuan Sadiq  Sigaraga membuat beberapa keputusan salah yang merugikannya.
Sebagaimana Tuan Sadiq Sigaraga yang sepatutnya lebih berhati-hati  menerima nasihat orang di sekelilingnya, para pemimpin negara hari ini  juga patut berhati-hati dengan mereka yang kononnya sentiasa memberikan  nasihat dan pandangan ke arah kebaikan.
Malangnya, ‘tuan penasihat 25 percent’ yang ada hari ini bukan sahaja  memberi nasihat yang membawa rebah, malah mereka juga bersedia  ber’kuntau’ mempertahankan tindakan salah pemimpin mereka yang akhirnya  merugikan banyak pihak termasuk masyarakat negara ini umumnya.
Berniaga ala penyamun Do, Re, Mi
Begitu juga dengan adegan Do, Re dan Mi yang berpakaian segak, siap  bertali leher dan memakai topeng ala Lone Ranger cuba menjual berus gigi  di sebuah rumah.
Dalam adegan itu, kita dapat menyaksikan bagaimana tuan rumah itu  dipaksa oleh Do, Re dan Mi agar membeli berus gigi walaupun beliau  tidaklah memerlukannya.
Tuan rumah tersebut bukan sahaja dipaksa beberapa batang berus gigi  sekaligus, bahkan harganya juga berlipat kali ganda lebih tinggi  berbanding harga sebenar yang dijual di pasaran.
Oleh kerana dipaksa oleh Do, Re dan Mi, tuan rumah tersebut terpaksa  juga membelinya walaupun beliau menyedari akan harganya yang mahal dan  beliau tentulah tidak memerlukan lebih dari sebatang berus gigi  sekaligus.
Bagaimanapun beliau bernasib baik apabila muncul anak saudara beliau  yang ketika itu berpakaian seragam anggota polis hingga menyebabkan Do,  Re dan Mi ketakutan dan lari lintang-pukang.
Ketika anak saudara tuan rumah cuba mengejar Do, Re dan Mi, tuan  rumah itu sempat menghalang dan berkata “Eh Mat, jangan tangkap mereka,  mereka tu bukannya pencuri, tetapi orang berniaga,” katanya sekaligus  mematikan langkah anak saudaranya itu.
Berniaga ala penyamun seperti yang dipraktikkan oleh Do, Re dan Mi  ini memang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini khususnya  yang  melibatkan projek-projek kontroversi apabila kegiatan menyamun mereka  ini diberikan lesen dan berselindung di atas nama perniagaan.
Pemerintah dalam Musang Berjanggut 
Demikian juga dengan kritikan Allahyarham terhadap sikap sesetengah  pemerintah yang kadang-kala bukan sahaja tidak menggambarkan tingkah  laku seorang pemimpin, malah memalukan.
Antaranya, dalam filem Musang Berjanggut, di mana Sultan Alam  Shahbana sendiri dan beberapa pembesar negara dalam diam-diam  masing-masing jatuh hati kepada Puspa Wangi iaitu menantu baginda  sendiri.
Akhirnya dalam filem itu kita dapat saksikan bagaimana gara-gara  tidak dapat mengawal nafsu melihat wanita berdahi licin, sultan dan para  pembesar telah diperbodohkan oleh Puspa Wangi yang bijak itu.
Selain filem Musang Berjanggut, filem Nujum Pak Belalang turut  menampilkan watak pemerintah dari dua negara, Sultan Shahrul Nizam dan  Sultan Masai yang sanggup mempertaruhkan kerajaan masing-masing hanya  dalam pertandingan teka-teki.
Selain dikuasai keinginan meluaskan jajahan takluk masing-masing,  Sultan Shahrul Nizam turut ditonjolkan sebagai seseorang yang sanggup  bertindak apa sahaja asalkan kemahuannya dapat dipenuhi.
Ia dapat dilihat apabila baginda sultan mengancam untuk menjatuhkan  hukuman pancung terhadap Pak Belalang dan memenjarakan Datuk Penghulu  sekiranya Pak Belalang gagal menilik lokasi persembunyian harta diraja  dan mahkotanya yang hilang dicuri penyamun.
Bukan sekali nyawa Pak Belalang berada di hujung keris Baginda  Sultan, beliau turut diancam dengan hukuman yang sama sekiranya Ahli  Nujum Negara itu gagal mengesan lokasi puterinya, Puteri Si Bujur Sireh  disembunyikan oleh dua penyamun dan Sultan Masai.
Kerana nafsu, negara tergadai
Dalam filem Musang Berjanggut dan Nujum Pak Belalang ini jelas suatu  kritikan terhadap golongan pemerintah agar menjauhi sikap tamak dan  tidak berfikir panjang.
Dua filem ini turut memaparkan kecenderungan golongan berkuasa  menggunakan kuasa untuk menurut kemahuan nafsu, kepentingan diri dan  keinginan terus berkuasa walaupun tindakan itu akhirnya mengakibatkan  negara tergadai dan ada nyawa melayang gara-gara dijadikan kambing  hitam.
Hari ini, tindakan demi kepentingan diri dan menurut kehendak nafsu  ini akhirnya menyebabkan anasir luar mudah mengambil kesempatan untuk  mengugut, memaksa kita menggadaikan maruah, prinsip, kepentingan dan  kedaulatan kepada opurtunis luar demi mengelakkan dari tembelang diri  terburai.
Kritikan sosial tajam dan pedas oleh P Ramlee melalui karya-karyanya  bukanlah setakat yang disebutkan tadi, malah beberapa karya beliau yang  lain turut sarat mengandungi pelbagai maksud yang tersirat dan kekal  relevan sepanjang zaman.
Hari ini, meskipun setelah lebih tiga dekad P Ramlee meninggalkan  kita, beliau terus ‘hidup’ menerusi karya-karyanya dan kritikan sosial  dan ‘kehadirannya’ dalam masyarakat hari ini masih tetap dirasai.
* Free Malaysia Today