Gambar Dari Anak Sungai Derhaka |
SHAH ALAM 17 OGOS: Laporan dan foto pengasas Pondok Geting, Abdullah
Sa’amah sedang menerima sumbangan RM2 juta dari Pengerusi Perhubungan
Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang semakin hangat
diperkatakan di ruang siber mencetuskan pelbagai tanggapan negatif
terhadap guru agama tersebut.
Malah, beliau turut menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.
Beliau yang sebelum ini mengeluarkan fatwa kontroversi, mengharamkan
pengundi Islam mengundi DAP itu baru-baru ini didapati menerima
sumbangan bagi membiayai perbelanjaan sekolah agama yang diasasnya itu.
Menurut laporan beberapa akhbar arus perdana semalam, majlis
penyerahan sumbangan itu diadakan pada Selasa, 14 Ogos iaitu kira-kira
hampir seminggu selepas beliau mengeluarkan fatwa kontroversi itu.
Menurut satu laporan Utusan Online semalam, peruntukan RM2 juta
tersebut diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan
berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.
Pondok berkenaan dikatakan hanya mempunyai seramai 25 orang pelajar sahaja pada masa ini.
Menurut pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin yang turut dikenali sebagai Chegu Bard hari ini, fatwa yang
dikeluarkan oleh Abdullah itu memberi imej buruk kepada agama Islam hari
ini.
“Mula-mula dia keluarkan fatwa haram orang Islam sokong DAP, lepas tu
umum mengetahui dia terima RM2 juta dari Umno sekali gus memberi
tanggapan bahawa guru-guru agama ini boleh digunakan dengan wang,” kata
beliau kepada TVS hari ini.
Menurut Chegu Bard, lebih memburukan keadaan apabila fatwa yang
dikeluarkan ini didapati boleh mengancam keselamatan dan
menghuru-harakan negara.
“Malah, keamanan yang ada boleh terancam kalau umat Islam di Malaysia
mengambil serius fatwa yang dikeluarkan, seolah menggambarkan Islam
menghalalkan darah ahli DAP.
“Kalau kita kaji era kejatuhan Islam di barat ketika zaman gelap di
eropah, keadaan ini juga mampu melemahkan pengaruh Islam sendiri di
negara ini,” kata Chegu Bard.
* Media Selangorku/TVSelangor