Sabtu, 7 Januari 2012

901: Azmin, PKR keras kepala?

Lazimnya faktor utama yang mendorong kepada kegagalan mencapai persetujuan dalam mana-mana rundingan adalah keengganan kedua-dua belah pihak mengendurkan tuntutan masing-masing. 

Dalam sejarah negara ini juga telah membuktikan kebenaran fakta tersebut apabila Rundingan Baling antara Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Chin Peng dengan delegasi Kerajaaan Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tunku Abd Rahman pada 1955 menemui jalan buntu setelah kedua-dua pihak enggan mengendurkan tuntutan masing-masing.

Bagaimanapun pada tahun 1989 Rundingan Haadyai telah menemui kejayaan dengan termetrainya Perjanjian Perdamaian antara pihak PKM dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaaan Thailand setelah pihak terbabit mengendurkan atau menggugurkan beberapa syarat dalam rundingan tersebut.

Dalam isu Perhimpunan 901 antara YB Azmin Ali dan pihak PDRM yang diwakili oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh, pihak PDRM akhirnya emngendurkan sekatan mereka dengan memberi kebenaran untuk perhimpunan itu diadakan.

Bagaimanapun, 10 syarat susulan yang diberikan oleh PDRM telah mengundang rasa tidak puas hati Azmin dan mengisytiharkan mereka tidak terikat dengan 10 syarat tersebut.

Meskipun tiada pihak yang berhak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Azmin selaku jururunding wajar mengkaji semula 10 syarat yang diberikan  itu sebelum menolaknya mentah-mentah.

Kerjasama pihak PDRM dengan menggugurkan larangan berhimpun itu seharusnya wajar disambut Azmin dengan memberikan kerjasama dengan menggugurkan atau mengikuti kalau tidak semua, mungkin beberapa syarat bersesuaian yang dikemukakan oleh pihak polis.

Selain itu, pihak penganjur perhimpunan kali ini berpeluang membuktikan bahawa demontrasi yang diadakan sebelum ini akan berjalan dengan aman sekiranya tiada tindakan provokasi dari pihak polis.

Lebih penting lagi, dengan mengendurkan beberapa tuntutan yang sesuai, mungkin keselamatan para demonstran lebih terjamin mengelakkan diri daripada tertangkap atau tercedera disebabkan tembakan peluru pemedih mata FRU dan sebagainya.

Sebagaimana pihak PDRM yang menunjukkan sikap sedikit  berlembut dengan mengugurkan halangan yang menjadi isu asas rundingan, Azmin juga wajar menunjukkan sikap yang sama dalam beberapa perkara.

* Beduk Canang
_____________________________________________________________________

901: PKR tak terikat dengan sekatan polis, kata Azmin
Aidila Razak

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini berkata bahawa pihak polis tidak mengenakan sebarang syarat ketika mereka bersetuju membenarkan perhimpunan diadakan Isnin ini.

Oleh itu, katanya, parti itu tidak terikat dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa selepas persetujuan tersebut dicapai.

"Saya ingin menegaskan bahawa KEADILAN menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pada pagi Jumaat 6 Januari 2012.

"Persetujuan itu tidak menyentuh beberapa sekatan yang diumumkan kemudiannya oleh pihak PDRM," katanya dalam satu kenyataan.

"Oleh yang demikian, saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman di negara ini, selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan awam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," tambah Azmin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan di laman Facebooknya semalam 10 syarat bagi perhimpunan tersebut, termasuk larangan membawa sepanduk, pembesar suara atau ucapan awam.

Syarat-syarat tersebut dikenakanoleh polis daerah Sentul, Kuala Lumpur - tempat lokasi Mahkamah Kuala Lumpur.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.

7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.

8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.

9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.

10.  Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

* Malaysiakini

Tiada ulasan:

Paparan Halaman