Khamis, 5 Januari 2012

Anwar terpenjara: Husam calon pengganti popular?

Oleh Nazli Ibrahim

Ketika kita menghampiri hari keputusan perbicaraan kes liwat 2 yang bukan sahaja melibatkan masa depan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin banyak telahan siapakah pemimpin yang paling layak mengepalai Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipenjarakan nanti.

Rata-rata tentunya bersetuju, keputusan mahkamah itu nanti dianggap akan mempengaruhi masa hadapan Pakatan Rakyat termasuklah dalam isu menentukan siapakah bakal PM pertama Pakatan sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13)  nanti.


Selain isu bakal PM Pakatan, juga penting untuk dicongakkan, siapakah yang paling mampu menjana kebangkitan Pakatan sekiranya sekali lagi mereka tertewas dalam PRU-13 nanti.

Bagi pengunjung blog milik pengamal media popular, Mohd Sayuti Omar, Naib Presiden Pas, YB Dato' Husam Musa dianggap sebagai calon popular untuk menerajui Pakatan sekiranya ketua pembangkang itu didapati bersalah dan dipenjarakan.

Sekurang-kurang demikianlah menurut keputusan undian yang melibatkan 2,246 undian pengunjung blog Merah Tinta MSO sehingga hari ini.

Dalam undian tersebut, Husam memperolehi undian tertinggi dengan 796 undian atau 35 peratus meninggalkan lima calon lain di belakang beliau.

Usia beliau yang dianggap masih muda dan majoriti pengunjung blog terbabit yang dipercayai di kalangan penyokong Pas mungkin boleh dianggap sebagai faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.Hadi di belakang Husam 

Agak menarik juga untuk diperhatikan, Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang sendiri turut berada di belakang Husam dengan 521 undian atau 23 peratus.

Di percayai sikap Hadi ketika berhadapan dengan isu kerajaan perpaduan sedikit masa dahulu telah mempengaruhi keputusan undian tersebut. 

Selain itu, keputusan tersebut juga boleh dianggap sebagai ukuran akan kepercayaan pengunjung blog terbabti terhadap keupayaan Hadi untuk memimpin Pakatan.

Manakala Mursyidul Am Pas, Dato Nik Aziz Nik Mat yang mengumpul 487 undian atau 21 peratus mengekori di tempat ke tiga.

Meskipun Nik Aziz dikatakan seorang tokoh Pas yang paling berpengaruh dalam parti itu dan turut disenangi oleh rata-rata pemimpin dari parti lain dalam pakatan, faktor usia dan kesihatan beliau dipercayai mempengaruhi undian pengunjung blog tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Nurul Izzah Anwar menduduki tangga ke empat dengan 261 undi atau 11 peratus, diikuti Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali, 91 undian dan Setiausaha Agung Dap, YB Lim Guan Eng, 90 undian.

Sedikit sebanyak keputusan tersebut mampu memberikan sedikit gambaran penerimaan pengunjung blog tersebut terhadap Nurul Izzah lebih baik berbanding Azmin Ali.

Guan Eng pula, meskipun dianggap seorang pemimpin muda berkaliber dan memiliki rekod prestasi baik dalam mentadbir Negeri Pulau Pinang, masyarakat Melayu negara ini dikatakan masih kurang bersedia menerima seorang pemimpin dari kalangan bukan Melayu.

Selain itu, faktor untuk mengelakkan serangan dari parti dari Barisan Nasional khususnya Umno turut memberi kesan terhadap undian yang diterima Guan Eng.

Bagaimanapun, saya percaya, umum tentu bersetuju bahawa semua keputusan tersebut yang masih berbaki tiga hari sebelum undian ditutup tidaklah boleh dianggap sebagai gambaran keadaan sebenar dalam Pakatan Rakyat.

* Pengendali BC merupakan penulis/wartawan bebas. Selain di BC, artikel lain beliau boleh dicapai di Free Malaysia Today

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

demo jangan duduk mimpi dimalam hari! "Anwar terpenjara Husam calon penganti popular".
semale ada ore mesej kepada kawe :
"Dewan ulamak PAS Pusat telah sebulat suara dengan cara "anggok-anggok" kepala memilih HASAN ALI sebagai penganti Anwar.
Persetujuan ini telah dicapai setelah Harun Din mengemukakan cadangan. Belum lagi beliau menghabiskan hujah cadangan, dengan penuh yakin Nasaruddin Mat Isa bangun menyokong.
Ketua dewan Ulamak Harun Taib terus meminta ahli supaya mengangkat kaki, jika mereka menolak cadangan tersebut. Disebabkan tiada seorang pun ahli dewan ulamak yang mengangkat kaki, maka cadangan tersebut diterima sebulat suara".

Paparan Halaman