KUALA LUMPUR, 6 Jan: “Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Katanya, kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, katanya jika beliau turun pada perhimpunan 901 kelak, bukan turun untuk Anwar dan kerana Anwar.
“Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan Umno dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah, menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya,” tulis beliau di dalam blognya.
Ini, katanya adalah satu kezaliman dan penganiayaan.
Menurutnya lagi, adalah tidak baik membiarkan pemerintahan sebegitu mengurus negara dan rakyatnya.
Sementara itu, Polis Kuala Lumpur membenarkan penganjuran perhimpunan Bebas Anwar 901 di tempat letak kereta luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin ini dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. pagi tadi.
* Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan