Pembebasan Anwar dipercayai dapat mengelakkan tercetusnya gelombang reformasi kedua yang pernah dicetuskan beliau dalam tahun 1998.
Ia hanyalah segelas teh tarik sama seperti dengan teh tarik yang saya dan pelanggan-pelanggan lain minum sebelumnya, tiada apa yang membezakannya.
Ia masih teh bancuhan dari serbuk daun teh dan susu krimer yang sama seperti sebelumnya juga, tiada apa-apa yang membezakannya.
Cuma satu perkara membezakan teh tarik yang saya minum malam tadi ialah ianya dibayar oleh seorang teman yang sebelum ini menolak mentah-mentah pandangan saya bahawa Anwar Ibrahim akan dibebaskan dalam artikel ‘Bebaskan Anwar, beri BN kelebihan’ yang diterbitkan oleh FMT sebelum ini.
Oleh kerana yakin pandangan saya akan tersasar, maka dengan yakin jugalah beliau menawarkan diri untuk belanja saya minum di mana -mana kopi thiam sekiranya jangkaan saya betul.
Maka pada tengahari semalam teman saya itu menghubungi saya untuk mengotakan janjinya untuk belanja saya ‘mengeteh’ di kedai kopi thiam.
Bagaimanapun, oleh kerana sedikit keletihan saya menolak untuk minum di kopi thiam, tetapi memadailah di kedai mamak yang berhampiran dengan rumah saya.
Seperti mana reaksi kebanyakan pihak, teman saya itu turut terkejut terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu yang membebaskan Anwar dari pertuduhan liwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun bagi saya, keputusan yang saya anggap masih belum bermakna mahkamah bebas dari tangan-tangan ghaib itu bukanlah satu kejutan memandangkan keputusan membebaskan Anwar lebih banyak memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) berbanding memenjarakan Anwar.
Meskipun dakwaan mahkamah dikongkong tersebut hanyalah sekadar sebuah persepsi sahaja yang di kongsikan banyak pihak dalam masyarakat, tetapi ia lahir berdasarkan banyak keputusan-keputusan pelik dalam beberapa perbicaraan yang mencuri tumpuan di mahkamah sebelum ini.
Pulang paku buah keras
Pulang paku buah keras
Dalam keputusan membebaskan Anwar semalam, pemimpin BN pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk memulangkan paku buah keras kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang sebelum ini amat yakin Anwar akan dipenjarakan walau dengan apa cara sekalipun.
Ianya adalah satu peluang untuk BN menafikan wujudnya konspirasi politik bagi menjatuhkan Anwar dalam politik negara.
Selain itu, keputusan mahkamah Isnin lalu juga dianggap sebagai penafian sesetengah pihak yang mendakwa campur tangan kuasa luar dalam perundangan negara.
Pembebasan Anwar dipercayai dapat mengelakkan tercetusnya gelombang reformasi kedua yang pernah dicetuskan beliau dalam tahun 1998.
Selain dapat mengelak gelombang baru reformasi dari tercetus, sedikit sebanyak ia dapat mengendurkan gelora tsunami penolakan terhadap BN di kalangan pengundi atas pagar.
Menyekat kemaraan Pakatan adalah jauh lebih penting dan menjadi keutamaan berbanding membunuh karier politik dan cita-cita Anwar untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Berjaya menafikan kemaraan Pakatan ke Putrajaya juga bermakna peluang Anwar untuk menjawat jawatan tertinggi negara berjaya dinafikan, sebaliknya berjaya membunuh karier politik Anwar belum tentu dapat menghalang kemaraan Pakatan.
Demikianlah kesimpulan yang dapat dibuat oleh saya dan teman saya pada malam itu sambil saya menghirup kenikmatan ‘teh tarik liwat 2′.
* Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan