Isnin, 21 November 2011

Harimau Malaya atau Harimau Malaysia?

Malam tadi suasana di sekitar kawasan kediaman saya agak berbeza dengan malam-malam sebelumnya.  Semenjak pukul 8.30 malam tadi, sorakkan mula bergema dan kadang-kala seolah-olah bersahut-sahutan di antara beberapa kedai makan yang jaraknya tidaklah berapa jauh antara satu sama lain.

Keadaan bertambah gempita apabila kapten pasukan bawah 23 tahun negara, Baddrol Bakhtiar berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir sekaligus menyaksikan pasukan negara berjaya memenangi pingat emas dalam acara bola sepak buat kali ke enam dalam sejarah Sukan Sea. Tahniah buat anak-anak muda kita  yang berjaya meletakkan nama negara sebagai kuasa bola sepak di Asia Tenggara.

Tambah meriah lagi, tidak berapa lama selepas itu lalu sekumpulan konvoi anak muda dengan lebih 20 buah motorsikal meraikan kemenangan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan membunyikan hon masing-masing bagi meraikan kemenangan ini.  Tidak ketinggalan, kedengaran laungan "Malaysia boleh" dari sekumpulan anak muda India di sebuah restoran masakan India.

Di laman sosial Face Book juga tidak ketinggalan, di 'wall' masing-masing memberikan komen terhadap kemenangan pasukan negara dengan nada bersemangat. 

Malahan ada juga pengguna laman sosial itu yang teruja dan mula berpakat-pakat untuk pergi ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan wira-wira muda negara yang dijadualkan akan tiba dari Indonesia kira-kira jam 2.00 pagi nanti.

Ini semua gara-gara perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea yang menyaksikan pertembungan pasukan tuan rumah, Indonesia menentang pasukan kita, Malaysia dengan misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.

Ketika masyarakat di semenanjung meraikan kejayaan ini, suasana serupa juga sedang berlaku di dua negeri di seberang Laut China Selatan iaitu Sabah dan Sarawak, di mana anak-anak Malaysia di sana sedang meraikan kemenangan cuma bersulam dengan ada rasa terkilan.

Mereka sama juga seperti kita, bersorak tatkala pemain kita melancarkan serangan, bertempik marah apabila pemain negara dikasari, bertepuk tangan tatkala Khairul Fahmi menyelamatkan percubaan pasukan lawan dan melompat riang ketika meraikan pemain kita berjaya menyumbat gol.

Harimau Malaysia bukan Harimau Malaya

Cuma yang membuatkan mereka terkilan jolokan 'Harimau Muda Malaya' yang digunakan untuk menggambarkan kegagahan pasukan kita dianggap tidak mencerminkan keseluruhan Malaysia khususnya  Sabah dan Sarawak.

Bagi mana-mana masyarakat di negeri Sabah dan Sarawak yang peka dengan keadaan ini rata-rata berpendapat, jolokan 'Harimau Muda Malaysia' adalah lebih tepat dan mencerminkan negara Malaysia keseluruhan.

Mereka juga menganggap perkataan Malaya seolah-olah mengetepikan Sabah dan Sarawak yang merupakan sebahagian dari Malaysia dan penglibatan mereka dalam membangunkan negara ini termasuk dalam bidang sukan negara ini.

Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam negara ini, Malaysia terlebih dahulu dikenali sebagai Malaya. Malaysia hanya ditubuhkan setelah dua negeri borneo itu bersetuju untuk menyertai Malaysia dan membentuk sebuah negara yang dinamakan Malaysia.

Walaupun mungkin bagi sesetengah pihak keluhan mereka adalah sesuatu yang remeh tetapi bagi saya jolokan Harimau Muda Malaysia adalah lebih tepat bagi memberikan gambaran keseluruhan masyarakat negara ini termasuk mereka di Sabah dan Sarawak.

Saya juga tidak nampak apa-apa yang tidak kena atau mempunyai sebarang kekurangan sekiranya jolokan Harimau Malaya ini ditukarkan kepada Harimau Malaysia.

Isu ini tidaklah wajar jika ada yang menganggapnya sebagai isu politik atau dipolitikkan kerana ia berlegar mengenai semangat kesatuan masyarakat dalam negara ini tanpa mengira negeri dan tiada bersangkutan dengan isu politik.
Bagi memberikan gambaran kesatuan antara negeri-negeri ini, maka gelaran Harimau Malaysia-lah dianggap lebih sesuai untuk mencerminkan keadaan ini.

Akhir sekali, sekali lagi ucapan tahniah buat skuad Harimau Muda Malaysia yang berjaya menggapai pingat emas dalam acara bola sepak dalam temasya Sukan Sea buat negara.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman