Rabu, 16 November 2011

MB dedah penyelewengan pemimpin BN Selangor

Oleh Fazy Shahir

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan mengenai pelbagai salah guna kuasa oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membabitkan kehilangan jutaan ringgit.

Ketika sesi penggulungan Belanjawan 2012 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini semalam, beliau berkata Ketua Pembangkang, Datuk Mohammad Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa Selangor ditadbir BN.

Selain itu terdapat usaha pengambilan tanah oleh bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo; isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah di kawasan elit.

“Saya mengingatkan Ketua Pembangkang tentang transaksi jualan tanah di Science Park 2 di mana tanah kerajaan negeri telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPNS) dan dijual dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

“Belum selesai syarikat Satim membuat bayaran belian kepada PKPNS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

Untung atas angin

“Inilah kejayaan Satim sebagai orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas nama Bumiputera,” sindir Khalid.

Menyentuh mengenai tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana, tanah itu telah dijual kepada Barisan Elit Sdn Bhd untuk taman perindustrian walaupun tanah masih berstatus pertanian.

Menurut Khalid, tanah itu merupakan milik kerajaan negeri yang diberikan kepada PKPNS untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

“Meskipun Barisan Elit belum dibenarkan mengusahakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta ringgit dalam bentuk bayaran premium,” katanya.

Selain itu beliau berkata ladang seluas 12,000 ekar di Sabah turut dijual oleh PKPNS pada tahun 2006 dengan harga RM8,000 seekar kepada sebuah syarikat Bumiputera.

Katanya, ladang tersebut kemudiannya dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti komponen BN.

Khalid menjelaskan kerajaan negeri akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

“Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,” ujarnya.

Beliau turut menangkis dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang Abdul Shukor Idrus bahawa rezab negeri Selangor yang ditinggalkan oleh Khir Toyo berjumlah RM1.7 bilion.

Berdasarkan laporan kewangan pada 31 Mac 2008, rezab yang ditinggalkan mantan Menteri Besar itu hanyalah sebanyak RM689.51 juta.

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman