Sabtu, 17 Disember 2011

Perbandingan prestasi BN era Abdullah dan era Najib (bhg 1)

Adakah senario tsunami politik yang tercetus dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 2008 lalu akan sekali lagi melanda politik tanah air dalam PRU-13 yang dijangka akan diadakan tahun hadapan?

Mungkinkah kali ini 'swing' pengundi akan kembali kepada Barisan Nasional (BN), menghayun pembangkang yang pertama kali berjaya menafikan kelebihan majoriti dua pertiga BN di parlimen serta menawan empat buah negeri lain selain mempertahankan Kelantan dalam PRU-12 lalu?

Secara kasarnya, kita boleh melihat beberapa persamaan dan perbezaan corak yang boleh dianggap penyebab terbentuknya gelombang tsunami politik 2008 lalu dengan situasi pra pilihan raya yang ada pada hari ini.

Faktor peningkatan kos sara

Rata-rata penganalisa politik bersetuju, antara faktor utama yang telah menyumbang kepada berlakunya tsunami politik dalam PRU-12 lalu adalah peningkatan harga barangan keperluan pengguna yang makin meningkatkan kos sara hidup masyarakat negara ini.

Kesan berantai dari kenaikan harga bahan api seperti petrol dan takrif elektrik dikatakan penyebab peningkatan kos pengeluaran sesuatu produk dan menaikan harga barangan di pasaran.

Selain itu, langkah kerajaan menguatkuasakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan dijangka akan menyebabkan rakyat negara ini terus berhadapan dengan peningkatan kos sara melambung tinggi yang masih belum menampakkan noktahnya.

Jika diteliti peningkatan kos sara ketika sebelum berlakunya tsunami politik pada 2008 hingga ke hari ini masih lagi tidak berhenti setakat itu, malah berterusan meningkat naik secara mendadak dalam jajaran masa  yang pendek.

Keadaan ini masih tidak menunjukkan sebarang petanda kenaikan harga barangan pengguna ini telah mencapai paras statik.
Bagi kebanyakkan pengguna, sekiranya harga barangan keperluan harian tidak turun pun,  mungkin sedikit lega sekiranya ianya berada dalam kedudukan statik dalam satu jangkamasa yang panjang.

Kesimpulan dalam isu peningkatan kos sara hidup ini, jelas ianya tidak menunjukkan perbezaan antara pra PRU-12 lalu dengan pra PRU-13 hari ini.

Keadaan ini akan mendorong pengundi yang memilih calon pembangkang dalam PRU-12 lalu atas faktor ini, sekali lagi memberikan sokongan mereka kepada pihak yang sama dalam PRU-13 nanti. 

* Bahagian 2: Islam Hadari lawan 1 Malaysia

Tiada ulasan:

Paparan Halaman