Khamis, 12 Januari 2012

Umno jadikan politik negara dibayangi Anwar

Oleh Nazli Ibrahim

Tindakan kawan dan lawan terhadap Anwar hanya mewujudkan persepsi seolah-olah politik negara hanya berlegar di sekitar manusia bernama Anwar Ibrahim ini sahaja.
Tidak ragu-ragu lagi, percambahan benih gelombang kebangkitan golongan masyarakat yang menolak Barisan Nasional (BN) hari ini adalah dari hasil gelombang reformasi 1998 yang disemai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas difitnah dan dipecat.

Maka, tidaklah menghairankan apabila Anwar diangkat sebagai wira nombor satu yang berjaya mengembeleng kebangkitan rakyat dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan yang diterajui oleh Umno-BN.
Sebaliknya bagi pemimpin dan penyokong BN pula, Anwar lebih dianggap sebagai musuh dan pengkhianat nombor satu paling dibenci mereka dan riwayat politiknya harus dipadamkan segera.
Bagaimanapun semua tanggapan ini hanya menjadikan Anwar sebagai pemain yang paling dominan dalam arena politik negara.
Tindakan-tindakan politik oleh kawan mahupun di pihak lawan terhadap Anwar hanya mewujudkan persepsi seolah-olah politik negara hanya banyak berlegar-legar di sekitar manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini sahaja.
Meskipun tanggapan ini hanya menimbulkan rasa meluat dikalangan penyokong Umno-BN khususnya bagi pembenci Anwar, hakikatnya tindakan mereka sendiri sudah cukup menggambarkan senario ini.

Media Umno obses terhadap Anwar

Meskipun banyak juga publisiti yang diberikan ini bersifat negatif terhadap imej Anwar khususnya dari media kawalan kerajaan, tetapi ia hanya menampakkan sikap obsesi mereka untuk menjatuhkan Anwar.
Gara-gara terlalu banyak lambakan isu negatif terhadap Anwar, akhirnya hanya meningkatkan ‘antibodi’ Anwar yang semakin imun (lali) dengan tuduhan-tuduhan terhadapnya sekaligus menjadikan semakin kurang kepercayaan masyarakat terhadap isu yang dibawakan musuhnya itu.
Lebih teruk lagi, liputan negatif secara besar-besaran terhadap Anwar dalam beberapa isu kerap kali menenggelamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama gagasan 1Malaysianya sekali.
Mungkin menyedari senario yang merimaskan Umno-BN ini, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dalam sebuah akhbar tempatan semalam turut menggesa agar masyarakat melupakan Ketua Pembangkang itu berikutan terlalu banyak publisiti yang diberikan oleh media tempatan dan antarabangsa terhadap beliau.
Selain itu, kenyataan beliau yang menganggap sebarang keputusan perbicaraan liwat 2 yang membabitkan Anwar tidak akan menjejaskan Umno dan BN lebih dilihat sekadar satu kepura-puraan untuk menutup rasa rimas beliau.
Hakikatnya Maslan sendiri mengetahui, umpama gelagat sesetengah duda atau janda tidak dapat melupakan bekas pasangan sentiasa cuba mengintip pergerakan bekas pasangannya untuk mencari kesalahan, begitulah juga Umno-BN yang tidak akan membiarkan dan melupakan Anwar begitu sahaja.
Tindakan-tindakan mereka ini cukup untuk memberikan gambaran bahawa Anwar Ibrahim telah membayangi arena politik tempatan kita hari ini, satu kesimpulan yang amat meluatkan Umno-BN.

* Free Malaysia Today

1 ulasan:

janggut berkata...

setuju 100 persen..sape pun nuar ni..aku tabik kt dia..sebab dah sedekad lebih,nuar tetap x jatuh2 walaupun leh kata, takde walau sari pun berita tak mengutuk dia..dari hari kena pecat sampai la skrg ni..dia masih disini..long live dsai...

Paparan Halaman