Jumaat, 11 Jun 2010

10 tahun politik Malaysia: Era reformasi 1998-Tsunami politik 2008 (bhg 7)

Malaysia di tangan Najib

Malaysia di tangan Najib Razak seolah-olah membawa Malaysia berundur semula ke belakang atau lebih tepat lagi diundurkan kembali ke zaman negara berperdana menterikan Mahathir Mohammad. Beberapa tindakan beliau juga dikatakan telah mendapat nasihat dari Mahathir.

Malah beberapa tindakan mereka juga dilihat sama, antaranya membebaskan beberapa tahanan ISA ketika baru menjawat kerusi nombor satu kerajaan, mengukuhkan cengkaman terhadap media termasuk menyekat media-media pembangkang atau yang mengkritik kerajaan, mengukuhkan cengkaman terhadap badan-badan yang sepatutnya bebas dari kuasa eksekutif seperti SPRM, SPR, PDRM malah institusi kehakiman turut tidak terlepas, tiada kesungguhan untuk mengekang amalan rasuah dalam kerajaannya, melancarkan serangan kotor secara besar-besaran terhadap musuh politik khasnya Anwar Ibrahim dengan tujuan membunuh karier politiknya dan beberapa perkara lain.

Setakat ini senjata Najib yang paling berkesan untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadapnya ialah idea gagasan 1 Malaysia. Walaupun sesetengahnya menganggap slogan tersebut tidak lebih dari retorik politik tetapi ia tetap mampu memberi kesan positif kepada kerajaan yang memerintah sekarang. Namun senjata ini juga kalau disalah gunakan mampu memakan diri sendiri. Terbaru, tembelang yang telah pecah - isu APCO dan 1 Israel contohnya, mampu memberi kesan negatif kepada gagasan 1 Malaysia Najib.

Selain itu, penonjolan yang berlebihan isteri beliau Rosmah Mansor juga boleh memburukan keadaan seperti mana penonjolan Khairy Jamaluddin ketika Abdullah Badawi masih lagi PM. Sikap Rosmah semakin ketara menunjukan kecanduannya terhadap publisiti dan dilihat mampu menundukan Najib sendiri.

Ini dapat dilihat apabila dana kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk pembiyaan iklan satu muka penuh di akhbar The New York Times dengan harga RM1.5 juta bagi memberi publisiti terhadap lawatan isterinya itu ketika mengikuti rombongan lawatan PM ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sesetengah pendapat mengatakan Najib juga gagal untuk mengawal Rosmah dari melebihi had batas-batas yang sepatutnya seperti menggunakan gelaran wanita nombor satu negara yang jelas menurut Perlembagaan Negara adalah gelaran kepada DYMM Raja Permaisuri Agong. Rosmah juga kerap melakukan sesuatu dengan membelakangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab di dalam sesuatu urusan kerajaan. Antaranya ialah Senator Sharizat Jalil bagi Menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Apa pun Najib kini dilihat sedang berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN dalam menghadapi PRU akan datang melalui pelbagai program-program yang dirangkakan oleh penasihat kerajaan, APCO. Walaupun parti-parti pembangkang yang bersatu di bawah PR kini dianggap di antara pembangkang terkuat pernah wujud di Malaysia, Najib dan BN masih mempunyai kelebihan.

Kelebihan utama yang ada padanya ialah kuasa yang ada di tangan ketika ini. Dengan kuasa yang ada, menjadikan mudah untuk beliau memperkudakan jentera kerajaan dan badan-badan yang sepatutnya bebas seperti kehakiman, PDRM, SPRM, SPR dan lain-lain bagi keuntungan beliau dan BN.

Selain itu, BN juga mempunyai kelebihan dari segi dana, baik dana parti sendiri mahupun dana milik kerajaan. Walaupun menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan parti adalah tindakan tidak bermoral dan salah tetapi itu bukanlah menjadi perhitungan utama beliau.

BN juga menguasai sepenuhnya media-media perdana. Bagi pengamal media dalam arus perdana yang cuba memberi laporan di kaca tv secara neutral pasti mendapat padahnya seperti yang dialami oleh Penerbit Kanan stesyen TV NTV7, Joshua Ng Ngee Choong dan Penerbit TV2, Chou Z Lam.

Samada Najib menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula BN atau bebanan kepada tumbangnya kerajaan BN setelah lebih 52 tahun memerintah negara, cuma akan dapat diketahui PRU-13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2013 nanti.


Akan datang-bahagian akhir :
Akhirnya, Beduk Canang menujum senario politik selepas PRU-13



Tiada ulasan:

Paparan Halaman