Rabu, 30 Jun 2010

Aziz Bari: Penasihat undang2, SUK, P. kewangan negeri PR wajar ditukar


Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Aziz Bari mencadangkan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat bukan sahaja menggantikan penasihat undang-undang dengan peguam sendiri, malahan gagasan itu turut dicadang melantik pegawai kewangan dan setiausaha kerajaan negeri pilihan mereka.

Kenyataan beliau yang dipetik oleh TV Selangor berkata ketiga-tiga jawatan berkenaan adalah lantikan kerajaan persekutuan yang disyaki berperanan sebagai tali barut kerajaan pusat untuk mengkucar-kacirkan kestabilan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Oleh kerana penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri adalah anggota kabinet negeri, jadi mereka ini mungkin membocorkan rahsia negeri kepada pusat," menurut beliau lagi.

"Gaji dibayar oleh negeri tetapi kesetiaan dan kiblat mereka kepada kerajaan persekutuan kerana kita faham mereka ini dipilih oleh peguam negara untuk mengkucar-kacirkan. Ini yang berlaku," katanya lagi.

Beliau mengulas berikutan Mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat melantik peguam luar dan bukannya dari pejabat peguam negara.

'Tali barut' kerajaan pusat

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perubahan itu perlu dilakukan kerana penasihat undang-undang sedia ada, tidak bebas dan tertakluk kepada telunjuk kerajaan pusat. "Yang disebut Anwar sebagai 'kecuaian' cukup lembut. Ia bukan kecuaian tetapi memang menjadi tali barut, menjadi gunting dalam lipatan kerana kenaikan pangkat ditentukan Peguam Negara bukan kerajaan negeri, bukan MB," katanya. Menurut beliau lagi, tidak ada sebarang perlembagaan khusus melibatkan perkara berkenaan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu kelemahan dalam struktur perlembagaan. Saya tidak faham kenapa... Kalau zaman dulu mungkin susah hendak dapatkan peguam tetapi sekarang lain.

Memperalatkan istana

Namun begitu beliau turut mengesyaki tidak mustahil hasrat kerajan negeri Pakatan Rakyat akan dihalang berikutan kepentingan politik pihak berkepentingan termasuk memperalat institusi istana. "Masalahnya, mereka (kerajaan persekutuan) akan gunakan istana untuk menghalang pelantikan ini," katanya.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan. Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melenggahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsei perjanjian air sebagai dokumen awam.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman