Sabtu, 12 Jun 2010

Akhirnya, Beduk Canang menujum senario politik selepas PRU-13 (Bhg 8)



10 tahun politik Malaysia: Era reformasi 1998-Tsunami politik 2008 (bhg akhir)


Walau apa pun yang sedang diusahakan baik oleh BN mahupun Pakatan Rakyat sekarang dalam menghadapi PRU-13 nanti, keputusannya nanti pasti sengit. Tentunya BN tidak akan menemui jalan mudah serta kemenangan selesa dan begitu juga dengan Pakatan Rakyat.

Siapa pun bakal memerintah negara ini selepas PRU-13 nanti, bukanlah kemenangan dengan majoriti dua pertiga dan pastinya terpaksa menghadapi blok pembangkang yang kuat. Malah lebih kuat dari blok pembangkang yang ada sekarang. Pada masa itu, sekali lagi kita akan menyaksikan aksi lompat melompat. Bukan sahaja secara individu malah melompat dengan parti-partinya sekali.

Apa akan jadi jika PR berjaya membentuk kerajaan?

Cabaran utama bagi PR apabila berjaya membentuk kerajaan ialah untuk meneutralkan semula pentadbiran kerajaan daripada berkiblatkan parti politik. Walaupun BN tidak lagi berkuasa masa itu, BN masih meninggalkan pengaruh yang kuat di dalam pentadbiran kerajaan khususnya di kalangan penjawat pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan ke atas.

Lazimnya mereka yang ada sekarang bukan sahaja berkhidmat kepada kerajaan tetapi juga berkhidmat untuk parti BN. Pendirian mereka yang tidak neutral ketika berkhidmat kepada kerajaan di dalam organisasi pentadbiran kerajaan akan menyukarkan urusan pentadbiran. Bahkan mereka ini juga mampu bertindak sebagai pengintip untuk BN dan perosak kepada dasar-dasar baru yang cuba diperkenalkan. Oleh kerana mereka ini terdiri daripada kakitangan awam mereka tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya.

Parti politik melompat

Aksi melompat dengan parti-partinya sekali adalah lebih tinggi kemungkinan untuk berlaku seandainya PR berjaya memenangi PRU-13 nanti. Parti-parti yang dilihat tidak mustahil untuk melompat sedemikian datangnya dari seluruh Malaysia samada yang berpusat di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Tindakan mereka ini didorong demi survive kaum yang diwakili parti itu dan survive parti itu sendiri serta adanya persamaan idealogi antara parti yang melompat dengan parti naungan PR yang memerintah.

MCA dan Gerakan bakal melompat?

Antara parti-parti yang berpusat di Semenanjung yang tidak mustahil untuk membeloti BN ialah MCA dan lebih-lebih lagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Kedua-dua parti ini dilihat lebih berpandangan terbuka demi masa depan mereka berbanding Umno. Walaupun MCA sama seperti Umno sebuah parti berdasarkan kaum, namun demi survival kaum Cina yang diwakilinya menjadikan ia tidak mustahil.

Manakala bagi Parti Gerakan pula, ia bukanlah sebuah parti berasaskan sesuatu kaum walaupun kebanyakan jawatan pentingnya dimonopoli oleh orang-orang Cina. Parti Gerakan juga mempunyai beberapa ciri-ciri persamaan dengan PKR dan DAP terutamanya. Malah, pada masa ini juga telah wujud suara-suara pemimpin yang lebih liberal dari dalam Parti Gerakan sendiri yang mahukan kedudukan parti mereka dalam BN dikaji semula.

MIC hilang pengaruh masyarakat India di bawah BN

Walaupun MIC tidak disebutkan, ia juga tidak mustahil boleh berlaku walaupun kebarangkaliannya agak kecil. Lebih-lebih lagi seandainya Samy Vellu berjaya disingkirkan melalui Gerakan Anti Samy (GAS) yang sedang giat digerakkan sekarang ini. Seandainya parti ini tidak melompat ke PR, dengan kedudukan mereka di luar kerajaan maka ia dilihat tidak mampu membela nasib masyarakat India di negara ini dan parti ini akan terus hanyut daripada sokongan masyarakat India sendiri.

Jika BN berjaya pertahankan kuasa

Berbeza pula dengan senario jika PR menang dalam PRU-13 tadi, sebaliknya jika BN masih berjaya mengekalkan kerajaan yang sedia ada sekarang, berlakunya sesebuah parti dalam PR melompat ke dalam BN adalah amat tipis sekali. Kemungkinan ia memang tidak akan berlaku. Cuma mungkin hanya beberapa Ahli Parlimen PR yang berjaya dipancing melompat secara individu seperti yang berlaku sekarang. Pendek kata, jika BN berjaya memepertahkan kerajaan yang ada sekarang, lanskap politik Malaysia tidak banyak berubah dari yang ada sekarang.

Parti mana sekali pun yang bakal memerintah nanti pastinya tidak memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen. Tidak dapat lama meraikan kemenangan dan tidak mampu duduk senang seperti mana Abdullah Badawi ketika meraikan kemenangan PRU-11 tahun 2004 lalu.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman