Khamis, 3 Jun 2010

10 tahun Politik Malaysia: Reformasi 1998 -Tsunami Politik 2008 (3)

Bahagian 3

Tahun-tahun malap gerakan reformasi

Faktor jarak masa, kesan gerakan reformasi mulai dilihat mengendur ketika PRU-11 pada tahun 2004. Lebih tepat lagi, gerakan ini dianggap ‘tidur.’ Imej ‘Mr Clean’ yang dibawa oleh Perdana Menteri yang baru ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi begitu menonjol apabila secara automatis rakyat akan membandingkan dengan imej PM sebelumnya, Dr Mahathir yang dianggap korup. Sekaligus imej ‘Mr Clean’ Abdullah Ahmad Badawi itu seolah-olah bertindak seperti ‘ubat tidur’ yang bersifat sementara terhadap gerakan reformasi.

Selain itu, BA sendiri juga dilihat dalam keadaan lemah apabila mereka gagal meneruskan kesepakatan mereka yang akhirnya BN telah berjaya mengambil kesempatan tersebut. Akhirnya pada PRU-11, 2004, BN telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut dan mencatat sejarah sebagai kemenangan terbesar BN semenjak pilihan raya pertama diadakan di negara ini. Tanpa kesepakatan seperti ketika menghadapi PRU-10, kekuatan parti-parti pembangkang di parlimen jauh merosot berbanding sebelumnya.

PKN sendiri ketika itu hanya mampu mempertahankan satu kerusi sahaja di peringkat Parlimen melalui Presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kejayaan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh tersebut hanyalah dengan undi majoriti 590 undi, jauh berkurangan berbanding PRU 10. Kerajaan PAS negeri Kelantan juga turut mengalami kemerosotan apabila hanya memperolehi kemenangan majoriti tipis dengan cuma kelebihan dua kerusi sahaja dalam DUN.


Tiada ulasan:

Paparan Halaman