Adakah senario tsunami politik yang tercetus dalam Pilihan Raya Umum  (PRU) ke 12 pada 2008 lalu akan sekali lagi melanda politik tanah air  dalam PRU-13 yang dijangka akan diadakan tahun hadapan?
Mungkinkah  kali ini 'swing' pengundi akan kembali kepada Barisan Nasional (BN),  menghayun pembangkang yang pertama kali berjaya menafikan kelebihan  majoriti dua pertiga BN di parlimen serta menawan empat buah negeri lain  selain mempertahankan Kelantan dalam PRU-12 lalu?
Secara  kasarnya, kita boleh melihat beberapa persamaan dan perbezaan corak  yang boleh dianggap penyebab terbentuknya gelombang tsunami politik 2008  lalu dengan situasi pra pilihan raya yang ada pada hari ini.
Faktor peningkatan kos sara
Rata-rata  penganalisa politik bersetuju, antara faktor utama yang telah  menyumbang kepada berlakunya tsunami politik dalam PRU-12 lalu adalah  peningkatan harga barangan keperluan pengguna yang makin meningkatkan  kos sara hidup masyarakat negara ini.
Kesan berantai  dari kenaikan harga bahan api seperti petrol dan takrif elektrik  dikatakan penyebab peningkatan kos pengeluaran sesuatu produk dan  menaikan harga barangan di pasaran.
Selain itu, langkah  kerajaan menguatkuasakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun  hadapan dijangka akan menyebabkan rakyat negara ini terus berhadapan  dengan peningkatan kos sara melambung tinggi yang masih belum  menampakkan noktahnya.Jika diteliti peningkatan kos  sara ketika sebelum berlakunya tsunami politik pada 2008 hingga ke hari  ini masih lagi tidak berhenti setakat itu, malah berterusan meningkat  naik secara mendadak dalam jajaran masa  yang pendek. 
Keadaan ini masih tidak menunjukkan sebarang petanda kenaikan harga barangan pengguna ini telah mencapai paras statik.
Bagi  kebanyakkan pengguna, sekiranya harga barangan keperluan harian tidak  turun pun,  mungkin sedikit lega sekiranya ianya berada dalam kedudukan  statik dalam satu jangkamasa yang panjang.
Kesimpulan  dalam isu peningkatan kos sara hidup ini, jelas ianya tidak menunjukkan  perbezaan antara pra PRU-12 lalu dengan pra PRU-13 hari ini.
Keadaan  ini akan mendorong pengundi yang memilih calon pembangkang dalam PRU-12  lalu atas faktor ini, sekali lagi memberikan sokongan mereka kepada  pihak yang sama dalam PRU-13 nanti.  
* Bahagian 2: Islam Hadari lawan 1 Malaysia

Tiada ulasan:
Catat Ulasan