Selasa, 6 Disember 2011

TG Nik Aziz tanding di Pekan sebelum bersara (kemaskini)

Antara topik yang paling hangat diperkatakan oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat khususnya bagi ahli-ahli Pas dan rakyat negeri Kelantan khasnya, wajarkah Menteri Besar negeri itu, Dato' Nik Aziz Nik Mat terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan datang.

Meskipun, beliau telah pun mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Dun Chempaka dan kemungkinan besar turut mengekalkan kedudukan beliau sebagai MB Kelantan yang disandangnya semenjak 1990 lagi, masih terdapat suara yang meraguinya.

Ketika usia beliau telah pun menjangkau 80 tahun, sehingga kini kekuatan karisma dan ketokohan Tok Guru Nik Aziz itu masih lagi dianggap mampu memberi impak positif sokongan pengundi terhadap Pas tidak kira samada di kalangan orang Melayu Islam mahupun sebaliknya dan ianya tidak boleh dinafikan.

Karisma dan ketokohan yang ada padanya bukan sahaja menyebabkan beliau dikasihi oleh penyokong-penyokong setia Pas dan PR, malah turut disegani oleh kebanyakkan pemimpin politik dari parti lawan.

Tidaklah sukar untuk menyirat maksud desakan yang datang dari dewan Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang mendesak beliau tidak bertanding dalam PRU-13 kali ini apabila Umno melihat pengaruh TG Nik Aziz di Kelantan sebagai halangan utama untuk mereka berkuasa di Kelantan.

Namun di sebalik semua itu, faktor kesihatan dan usia haruslah turut diambil kira kerana ia bukahlah sekadar berkisar tentang kemampuan beliau untuk berfungsi sebagai MB yang baik tetapi disebabkan perasaan kasih kepada beliau.

Kalaulah saya merupakan anak atau cucu kepada TG Nik Aziz, nescaya saya akan cuba memujuknya agar menghentikan niat beliau untuk terus bertanding supaya saya dapat memperolehi lebih banyak masa bersamanya.

Lebih dari itu ianya juga didorong oleh perasaan kasih seorang anak atau cucu kepada beliau yang ingin melihat beliau berehat panjang dari mengharungi ombak politik masa kini yang semakin memenatkan untuk ahli politik seusia beliau.

Bagaimanapun jika beliau masih mahu meneruskan niatnya yang mungkin bagi penggal terakhir, maka tiada apa yang boleh saya katakan lagi melainkan memberikan sokongan berterusan kepada beliau.

Kalau TG Nik Aziz lwn Najib di Pekan

Cuma kadang-kadang ketika berangan kosong, terdetik juga di hati saya, kalaulah penggal ini merupakan penggal terakhir beliau memegang tampuk kepimpinan Kelantan sebelum bersara, bagus juga kalau beliau bertanding di Parlimen Pekan.

Kalau kalah pun dalam pertembungan dengan pemimpin nombor satu BN di Pekan itu, tidaklah ralat memandangkan beliau sendiri memang sudah berhasrat untuk bersara dan juga bukan sesuatu yang  memalukan apabila tewas di kawasan kubu kuat Perdana Menteri sendiri.

Najib menang tipis PRU-10

Sekalipun Najib mampu mempertahankan kerusinya itu, kemungkinan besar majoriti yang diperolehinya akan jauh merosot dan sudah cukup memberikan reputasi buruk untuknya.

Sekiranya TG Nik Aziz pula yang menang, ianya merupakan satu kejayaan besar bagi Pas dan PR umumnya sekaligus harus melupakan hasratnya untuk bersara bagi meneruskan khidmat sebagai YB di Pekan pula untuk sepenggal lagi.

Untuk rekod, dalam PRU-10 pada tahun 1999, Najib Razak telah memenangi kerusi Pekan dengan majoriti hanya 241 undi sahaja sekaligus memberi petanda tidak mustahil pengundi BN pada PRU-12 lalu sekali lagi berpaling tadah kepada PR.

Kalaulah tiba-tiba dengan kuasa Allah, angan-angan kosong saya menjadi kenyataan, pada masa itu, Najib betul-betul terpaksa bertemu buku dengan ruas!

Silap-silap haribulan, Najib sangkakan dia adalah calon 'winable' seperti syarat yang dimahukannya sendiri, rupa-rupanya 'wa kena beb!!' dan terjelepok di halaman sendiri.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman