Gambar hiasan diambil dari blog terkukursegamat.blogspot |
Tentu ramai yang masih ingat dengan kisah nelayan-nelayan memperolehi tangkapan ikan berlipat kali ganda beberapa hari sebelum berlakunya tsunami besar beberapa tahun lalu.
Mungkin memang benar bahawa binatang-binatang termasuk ikan terlebih dahulu telah mengesan kehadiran bencana tersebut beberapa hari sebelum terjadinya bencana sebenar.
Sebenarnya, peristiwa yang hampir sama itu telah kerap saya saksikan ketika saya masih kanak-kanak di sekitar tahun 80an di kampung saya.
Ketika itu sehari, dua sebelum berlakunya banjir besar, di kawasan yang bakal dinaiki air akan dipenuhi sejenis cacing yang saya tidaklah tahu jenisnya.
Saiz cacing yang saya sendiri pun tidak tahu namanya itu agak kecil sedikit dari jari kelingking bayi, berwarna merah dan kalau tidak silap saya di badannya terdapat jalur berbelang-belang.
Ketika itu, pemandangan di atas jalan raya sehari sebelum banjir besar itu berlaku akan dipenuhi dengan cacing-cacing tersebut yang merayap untuk naik ke tempat yang lebih tinggi dan banyak juga yang telah mati.
Bagaimanapun baru-baru ini ketika saya di kampung saya dapati cacing-cacing tersebut telah tiada lagi, kemana ianya pergi tidaklah saya ketahui.
Selain itu saya juga dapati warna air banjir pada hari ini tidak sama seperti dahulu ketika di zaman saya kanak-kanak.
Jika dahulu warna air bah adalah sama seperti air yang kita lihat di sungai-sungai sebelum banjir tetapi hari ini saya dapati airnya berwarna keruh sama seperti air di lopak tapak-tapak pembinaan atau pun air teh tarik yang biasa kita minum di restoren-restoren mamak.
Lalu saya terfikir, adakah kehilangan cacing-cacing itu dan bertukarnya warna air banjir yang saya lihat itu adalah tanda-tanda daripada kesan pembangunan yang tidak terancang dan tidak terkawal yang membawa kepada pencemaran alam semula jadi? Saya tiada jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan