Oleh Nazli Ibrahim
Tok Jib Waris Telaga Keramat (bahagian 2)
'Meskipun ditegah beberapa kali oleh Tok Imam Ajis, Lebai Nuar, namun telaga keramat Tok Jib tetap dikunjungi oleh orang ramai.'
Bahagian 2
Tok Jib, Mak Temah dan orang kanan mereka Tok Pawang Kudin semakin hari menjadi bertambah gusar dengan situasi yang ada ketika ini.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari bekalan air paip ke Kampung Telaga Tunggal telah terputus selama beberapa hari.
Maka setelah sekian lama, dalam beberapa hari itu telaga yang diwarisi Tok Jib itu kembali riuh dikunjungi oleh orang-orang kampung.
Antara mereka itu, termasuklah Mahmud dan isterinya, Senah yang mula menetap di Kampung Telaga Tunggal itu semenjak 10 tahun lalu.
Walaupun Mahmud dan Senah telah berkahwin lebih 15 tahun lalu tetapi sehingga kini mereka masih lagi belum dikurniakan cahaya mata.
Kalau mengikut tilikan orang kepercayaan Tok Jib, Tok Pawang Kudin, Senah tidak boleh bunting disebabkan kepala Mahmud telah dikencing jembalang hutan ketika dia sedang kencing di banir sepohon pokok jawi yang besar.
Oleh kerana terlalu kerap memasuki hutan untuk mencari rotan, petai, madu dan lain-lain yang boleh dijual di pekan, Mahmud sendiri tidak dapat mengingati masa sebenar dia mengencing di banir pokok jawi itu berlaku.
Selepas tiga bulan peristiwa terputusnya bekalan air itu, dengan kuasa Tuhan, tiba-tiba Senah telah mengandung anak sulong mereka.
Alangkah gembiranya Mahmud dan Senah sehingga habis dicanangkannya berita gembira itu ke seluruh pelusuk kampung itu.
Buah fikiran Mak Temah selamatkan Tok Jib
Buah fikiran Mak Temah selamatkan Tok Jib
Apabila berita gembira itu sampai ke pengetahuan Mak Temah, maka timbullah ilham di otak Mak Temah bagi memulihkan pengaruh suaminya sebagai ketua Kampung Telaga Tunggal.
Kemudian Mak Temah pun tidak berlengah lagi lalu mengarahkan Tok Jib memanggil Tok Pawang Kudin datang ke rumahnya bagi merencanakan buah fikirannya itu.
Maka seperti yang telah dirancangkan, pada suatu hari di majlis kesyukuran di rumah Mahmud, Tok Pawang Kudin mulalah membuka cerita.
Menurut cerita Tok Pawang Kudin, dalam tilikannya dia mendapati Senah mengandung disebabkan Senah dan Mahmud meminum air telaga tok Jib ketika berlakunya gangguan bekalan air beberapa bulan lalu.
Keramat penunggu telaga Tok Jib
Malah Tok Pawang Kudin juga memberitahu orang kampung, dia telah mendapat ‘alamat’ bahawa telaga yang diwarisi Tok Jib itu mempunyai keramat yang boleh memakbulkan permintaan dan menyembuhkan pelbagai penyakit.
Maka, terloponglah orang-orang kampung yang mendengar cerita Tok Pawang Kudin itu disebabkan mempercayai cerita yang dibawa oleh Tok Pawang Kudin itu.
Semenjak dari hari itu, telaga Tok Jib mula terkenal di kalangan penduduk kampung itu dan juga kampung-kampung lain termasuklah di pekan-pekan berhampiran.
Semenjak itu juga telaga keramat Tok Jib itu tidak lagi sunyi dari kunjungan orang ramai yang datang berpusu-pusu samada untuk memohon hajat mahupun untuk menyembuhkan penyakit yang mereka hidapi.
Pengunjung-pengunjung telaga keramat itu bukan sahaja terdiri dari kalangan penduduk Kampung Telaga Tunggal dan penduduk kampung berdekatan sahaja, malah orang di pekan dan dari bandar yang keretanya menjalar turut datang ke situ untuk memohon hajat.
Bagi yang terhincut-hincut mahukan jalannya tegak kembali, berpenyakit mahukan penyakitnya sembuh, kaki judi mahukan ramalan nombor ekor, sedang belajar mahukan penerang hati dan yang kaya mahu bertambah kaya.
Begitu juga yang menyanyi dan berlakon, mahukan suara bak buluh perindu dan terkenal, ahli politik mahu menjadi calon, jawatan dan menang pilihan raya dan bermacam lagi hajat yang dibawa ke pengetahuan telaga keramat itu.
Meskipun perbuatan khurafat mereka itu telah ditegah beberapa kali oleh Tok Imam Ajis, Lebai Nuar dan beberapa penduduk kampung itu, namun telaga keramat Tok Jib tetap dikunjungi oleh orang ramai.
Maka dengan buah fikiran Mak Temah, penduduk Kampung Telaga Tunggal itu kembali memerlukan khidmat telaga itu dan terselamatlah kedudukan Tok Jib sebagai ketua Kampung Telaga Tunggal kali ini.
Akan datang: Tok Jib waris telaga keramat (Bhg 3) - Keluarga Tok Jib semakin mewah, Kampung Telaga Tunggal diserang wabak penyakit taun dan denggi.
* Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan