Isnin, 19 Disember 2011

"DR M,pusing belakang.. Alif-Lam-Lam-Ha..!"

Kalaulah betul dengan bersumpah mampu memberikan keadilan kepada manusia maka penjara di Malaysia akan menjadi hampir kosong.


Kadang-kala isu semasa hari ini ada yang menyebabkan saya terkenang-kenang memori silam semasa saya masih lagi di alam budak- budak kampung dahulu.

Ketika di zaman kanak-kanak dahulu, musim cuti sekolah memang masa paling menyeronokan, asal celik sahaja mata, dalam kepala terus teringat ingin bertemu rakan-rakan untuk bermain.

Sehinggakan kadang-kala akibat terlalu seronok bermain, emak kami pula terpaksa menuruti kami gara-gara terlajak bermain dan tidak menghiraukan untuk pulang di waktu makan tengahari.

Bagi mengelakkan dimarahi oleh emak dan didenda tidak dibenarkan keluar pada sebelah petangnya, maka pelbagailah alasan ‘separuh benar’ (alasan benar tetapi ditambah sesedap rasa) diberikan.

Bagaimanapun kadang-kala emak tidaklah mudah terus percaya bulat-bulat alasan-alasan separuh benar yang saya berikan itu.

Meskipun lazimnya kanak-kanak dikatakan tidak akan menipu tetapi bagi saya, perumpamaan ini bolehlah dianggap hanya separuh tepat kerana terdapat juga kanak-kanak yang menipu, terutama kanak-kanak di zaman edan ini.

Bagi saya, lebih tepat dengan andaian bahawa kanak-kanak tidaklah pandai menipu kerana penipuan mereka lebih mudah dikesan berbanding penipuan orang dewasa atau orang tua-tua.

Mengesan penipuan di alam kanak-kanak

Ketika saya masih di alam budak-budak kampung dahulu, ada dua kaedah yang sering saya dan rakan sepermainan gunakan di  kalangan kami untuk mengesan adakah sesuatu tuduhan atau penafian yang dibuat seseorang itu satu penipuan atau sebaliknya.

Saya percaya tentu ada diantara para pembaca Melayu yang di zaman kanak-kanaknya juga menggunakan kaedah-kaedah yang sama seperti kami di kampung saya waktu itu.

Kaedah pertama, apabila timbul rasa ragu akan sesuatu kenyataan, si pendakwa atau tertuduh yang mahu menafikan sesuatu itu disuruh berpusing dan di belakangnya kami akan menulis ‘Alif-Lam-Lam-Ha’ dengan menggunakan jari sambil menyebut satu persatu abjad jawi tersebut.

Sekiranya tertuduh atau pihak yang mendakwa merelakan belakangnya ditulis dengan kalimah tersebut, maka kami percaya bahawa dia tidaklah menipu dan begitulah sebaliknya.

Kaedah kedua, kami akan menyuruhnya bersumpah, tetapi tidaklah sehingga bersumpah laknat dengan menjunjung Al-Quran di Masjid, cuma cukuplah dengan mengangkat tangan dan berkata “sumpah!”

Sama juga seperti kaedah pertama tadi, sekiranya si tertuduh gagal bersumpah maka kami akan menganggap beliau tidak bercakap benar.

Lazimnya kedua-dua kaedah itu berkesan buat kami budak-budak kampung yang begitu takut termakan sumpah khususnya kalau sumpahan itu ‘menjadi’ semasa hendak dikhatankan oleh Tok Mudim.

Yalah, budak-budak jantan mana yang tidak takut sekiranya Tok Mudim itu nanti secara tidak sengaja terkurang potong atau lebih mengerikan lagi kalau terlebih potong!

Bagaimanapun, itu cuma kisah saya semasa masih di alam budak-budak kampung dahulu yang banyak membuatkan saya tersenyum sendiri dan sudah tentulah berbeza dengan keadaan sekarang di mana kenangan itu sudah jauh ditinggalkan.

Berbanding ketika zaman saya masih kanak-kanak dahulu, adakah kaedah yang hampir serupa dipraktikkan terhadap orang tua-tua di zaman milenium yang serba menipu ini?

Kalau saya dizaman kanak-kanak dahulu memadai dengan menulis ’Alif-Lam-Lam-Ha’ atau bersumpah untuk membuktikan kebenaran, adakah pada hari ini juga dengan hanya bersumpah akan dapat membuktikan kebenaran.

Keadilan tidak ditegakkan dengan bersumpah

Kalaulah betul dengan bersumpah mampu memberikan keadilan kepada semua manusia maka saya percaya penjara-penjara di Malaysia akan menjadi hampir kosong kerana tentu ramai pesalah yang sanggup bersumpah untuk mengelakkan dipenjara.

Apatah lagi bagi pesalah yang melibatkan kes pembunuhan atau pun mengedar dadah yang boleh dikenakan hukuman mati, lagilah saya amat pasti, ramai pesalah yang sanggup melakukan sumpah bagi mengelakkan riwayat berakhir di tali gantung.

Malah saya pasti, dengan cara itu akan menjadikan jumlah pesalah yang dihukum gantung sampai mati di negara ini adalah sifar.

Ketika itu juga, di atas kertas, indeks jenayah dalam program NKRA yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan menunjukkan statistik penurunan menjunam kadar jenayah sebab hampir tiada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah setelah rata-rata para penjenayah berani bersumpah tidak pernah melakukan jenayah.

Bagaimanapun, berbeza dari statistik di atas kertas yang menunjukkan hampir tiada kejadian jenayah berat di negara ini, keadaan sebenarnya tentulah amat berbeza kerana para penjenayah tidak lagi perlu berasa takut-takut sekiranya tertangkap ketika melakukan jenayah.

Pada zaman edan ini, dengan bersumpah untuk membuktikan sesuatu kebenaran, sudah tidak boleh dianggap laku lagi kerana ianya cuma laku ketika saya dan rakan sepermainan masih di zaman budak-budak kampung dahulu.

Tidak kiralah samada sumpah itu di buat di Masjid Amru al-As di Bandar Baru Sentul oleh tiga saudagar kaya atau sumpah si pembancuh kopi majikan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan lebih-lebih lagi sumpah manusia berdarah bangsawan di Masjid Seberang Jaya di Permatang Pauh paling tidak terpakai.

Bagaimanapun, tiba-tiba hari ini, timbul pula seorang lagi manusia yang juga tidak mahu ketinggalan untuk menyertai KSM (Kelab Sesumpah Malaysia) dengan melakukan sumpah laknat.

Tidak cukup dengan itu, manusia itu turut ‘mempelawa’ seorang lagi rakan lamanya untuk turut bersamanya mendaftarkan diri sebagai ahli KSM itu.

Bagaimanapun ‘pelawaan’ beliau itu tidaklah sesukar mana untuk dibaca kerana tentulah beliau sudah menjangkakan bahawa rakan lamanya itu pasti menolak ‘pelawaan’ melakukan sumpah laknat.

Jadi selepas itu, manusia itu sudah mula berkira-kira, mudahlah untuknya menghentam kembali rakan lamanya dengan dakwaan menipu disebabkan adanya ‘bukti paling kukuh’ iaitu keengganan rakan lamanya untuk bersumpah laknat!

Mujurlah isu sumpah menyumpah yang berlaku hari ini berlaku pada zaman yang bukan lagi sama dengan zaman saya masih budak- budak kampung dahulu.

Kalaulah isu ini terjadi pada waktu seperti mana saya di zaman budak-budak dahulu, nescaya saya akan usahakan untuk bertemu manusia itu dan kemudian saya akan berkata, “Tun M, sila pusing belakang, ‘Alif-Lam-Lam-Ha.”

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman