Selasa, 27 Disember 2011

Penyokong pembangkang dikecualikan cukai kerajaan

Oleh Nazli Ibrahim

Seperti yang telah diketahui, manfaat pemberian RM100 bagi setiap anak-anak yang bersekolah dalam Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini telah pun diterima oleh kebanyakkan para ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Selepas ini, tentunya ramai yang tertunggu-tunggu tarikh 16 Januari pula untuk mengetahui samada mereka layak menerima RM500 untuk setiap keluarga seperti mana yang disebut dalam bajet yang sama.

Dalam pada itu, terdapat juga suara-suara sumbang yang menyindir pihak yang dilihat sebagai penyokong pembangkang apabila turut beratur dalam barisan untuk mengambil peruntukan RM100 untuk anak bersekolah dan mengambil borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu.

Sindir-sindiran di beberapa laman sosial itu hanya membuatkan saya terfikir, adakah begitu singkatnya pemikiran mereka berhujah, menjadikan alasan tidak mengundi BN sahaja sudah cukup untuk tidak melayakkan seseorang menerima bantuan tersebut.

Tidakkah mereka ini terfikir bahawa wang pemberian itu datangnya dari dana yang dikumpulkan dari cukai-cukai termasuk cukai pintu, cukai tanah, cukai eksais, cukai pendapatan dan sebagainya  yang datangnya dari semua rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik.

Seperti mana rakyat negara ini dibebankan tanggungjawab untuk membayar cukai kepada kerajaan tanpa mengira fahaman politik begitulah sebaliknya dengan peruntukan yang disalurkan kepada rakyat haruslah tanpa mengira fahaman politik.

Sekiranya hak mereka dinafikan atas sebab mereka tidak menyokong BN, maka mereka juga berhak untuk menuntut agar mereka diberikan pengecualian cukai, sesuatu yang tidak mungkin berlaku.
  
Lainlah sekiranya para pengundi parti-parti pembangkang negara ini dikecualikan dari sebarang cukai sekaligus  menjadikan mereka memang tidak layak untuk menerima apa-apa peruntukan dari kerajaan termasuklah seperti mana yang disebut dalam Bajet 2012 lalu, tetapi sekali lagi ianya adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

Maka kesimpulan mudahnya, seperti mana para penyokong pembangkang diwajibkan membayar cukai yang sama seperti penyokong BN, maka hak mereka untuk menerima apa-apa peruntukan yang disediakan oleh  kerajaan adalah sama taranya dan hak ini tidak berkurang sedikit pun berbanding penyokong BN.  Tiada dakwa-dakwi.

* Free Malaysia Today   

Tiada ulasan:

Paparan Halaman