Rabu, 14 Disember 2011

Umno berjaya mainkan politik ketakutan terhadap Melayu

Umno terbukti berjaya memainkan politik menakutkan Melayu.  Melayu hilang kuasa, Melayu akan merempat di bumi sendiri, Melayu akan terpinggir, Melayu akan dihina, Melayu jadi boneka Dap dan bermacam lagi yang datang dari Umno dan mereka berjaya melakukannya.
Mereka berjaya mengaplikasikan politik ketakutan terhadap orang Melayu dengan berkesan.
- Beduk Canang

__________________________________________________________________

PRU-13: Pekida ikrar pangkah BN

Fazy Sahir
Presiden Jamaluddin Yusof berkata Pekida bertanggungjawab untuk memenangkan Barisan Nasional supaya orang Melayu bernafas.

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyatakan ikrar mereka untuk setia ‘pangkah’  Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU-13) akan datang.

Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof berkata tidak cukup untuk pertubuhan itu memberi sokongan moral semata-mata memandangkan kemenangan BN pada PRU-13 kelak menjadi keutamaan bersama.

“Kita bagi sokongan dengan mengajak ahli-ahli Pekida untuk memenangkan BN agar kekal memerintah negara. 

"Sokongan moral sahaja tidak cukup, maka kita mahu ahli-ahli pangkah BN pada pilihan raya nanti. 

"Kerana pada anggapan Pekida BN menjalankan pemerintahan dengan berkesan.

“Semua ahli-ahli Pekida perlu sokong BN….kita ibarat adik-beradik maka akan sama dan perlu bantu antara satu sama lain.  Pekida bertanggungjawab untuk memenangkan BN supaya orang Melayu bernafas.

“Tapi bagaimana untuk kami gerakan kepada ahli-ahli ia adalah rahsia,” katanya kepada FMT.

Pekida kini mempunyai dua juta ahli di seluruh negara dengan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah merupakan penaung bagi pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Jamaluddin mengakui bahawa sokongan orang Melayu terutama anak muda menjadi pertikaian memandangkan mereka kini lebih banyak terpengaruh dengan fahaman luar.

Sokongan anak muda terhakis

Katanya ia menjadi ancaman kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan pemerintahannya kerana secara tidak langsung menghakis sokongan anak muda kepada pemimpin nombor satu negara tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut Jamaluddin Pekida mempunyai ‘cara’ tertentu untuk menarik minat golongan anak muda ini terus menyokong BN.

Namun beliau enggan menjelaskan secara terperinci perkara itu, dan sebaliknya berkata ada perkara tertentu perlu diselesaikan Najib sebelum mengadakan PRU-13 nanti.

“Pengundi muda atau anak muda ini tidak faham tentang politik merdeka, kerana kebanyakan mereka mendapat pendidikan luar negara.  Tapi bagi pengundi veteran mereka masih menyokong BN.

“Pekida ada kunci untuk itu, bagaimana untuk yakinkan anak muda untuk menyokong BN. Anak muda sebegini telah terhakis pemahaman mereka kerana menerima pengaruh dari luar,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar Jamaluddin program pemutihan terhadap ahli Pekida turut dilakukan bagi menghakis pandangan masyarakat yang beranggapan bahawa pertubuhan berkenaan sebagai gangster.

“Program pemutihan ini agar status ahli Pekida nampak putih dan disenangi masyarakat. Ini kerana selama ini Pekida diberi andaian sehingga terheret dalam golongan samseng, gangster walhal itu bukan sikap sebenar Pekida.

“Orang guna, jual nama Pekida sehingga memburukkan reputasi pertubuhan ini. Namun kami buat satu ikrar dengan Pekida terus memberi sokongan kepada Najib dan kepimpinan BN untuk terus memerintah negara,” katanya.

Maka Jamaluddin berkata Pekida bertanggungjawab memastikan BN menang dan menjadi benteng daripada pihak-pihak tertentu yang mempunyai niat menjatuhkan negara ini.

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman