PETALING JAYA: Tidak semena-mena nama seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Adam Adli menjadi sebutan gara-gara tindakan beliau menurunkan bendera bergambar Najib di hadapan PWTC Ahad lalu.
Tindakan yang dilakukannya dalam demontrasi sekumpulan kira-kira 100 mahasiswa bagi mendesak Auku dimansuhkan itu akhirnya telah mengakibatkan tindakan balas keras oleh penyokong-penyokong Umno.
Selain hampir ditumbuk oleh seorang lelaki yang marah dengan tindakan itu, Ketua Wira Perkasa yang juga ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara Armand Azha Abu Hanifah, turut mengancam untuk menampar dan meludah ke muka Adam Adli sekiranya beliau berpeluang bertemu mahasiswa terbabit.
Bagaimanapun, tindakan menurunkan bendera Najib tidaklah dapat menandingi perbuatan tiga penyokong BN yang kencing pada gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu kempen pilihan raya kecil tidak berapa lama dahulu.
Apatah lagi, ketika menurunkan bendera itu Adam dikatakan melakukannya dengan tertib serta hormat dan hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja sebelum dinaikan semula.
Umumnya, selain dianggap sebagai ahli politik dalam PAS, Nik Aziz dan Hadi juga dianggap sebagai golongan ulama.
Penglima Ludah Umno
Penglima Ludah Umno
Semalam, mengulas dua kejadian tersebut, dalam satu entri blog amenoworld.blogspot telah mencabar Armand yang lebih popular di alam siber dengan gelaran Panglima Ludah Umno itu agar menjelaskan pendirian beliau mengenai isu ini.
Malah pengendali blog tersebut turut melontarkan cabarannya kepada blogger pro Umno, menteri-menteri Umno-BN termasuklah Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican.
“Benda yang sama ditujukan kepada blog BN dan Umno, menteri-menteri Umno dan BN termasuklah Reezal yang pong-pang dalam Utusan kelmarin, aku ingin sangat melihat apa pendirian kamu dalam isu ini,” tulisnya.
Tindakan Adam menurunkan bendera pemimpin Umno di bangunan ibu pejabat mereka dianggap sebagai satu penghinaan terhadap parti itu.
Dalam peperangan, menurunkan bendera lawan dan menggantikan dengan bendera lain memberi maksud kawasan tersebut telah berjaya ditawan oleh lawan.
Dalam pilihan raya di negara ini, BN juga dikatakan sering memberi upah yang tinggi kepada pihak yang sanggup menaikkan poster BN di kawasan bilik gerakan parti lawan dalam memberikan mesej kekuatan BN sekaligus satu penghinaan kepada lawan mereka.
* Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan