Isnin, 19 Disember 2011

Ekonomi, bajet: Era Abdullah lwn era Najib (bhg 3)

Rencana ini adalah bahagian ke-3 dari rencana bersiri 'Perbandingan prestasi BN era Abdullah dan Najib' dan bahagian ke-2 bertajuk 'Islam Hadhari lwn 1Malaysia'.

Ekonomi era Abdullah lwn era Najib

Dalam menguruskan hal ehwal ekonomi negara, Najib dengan program transformasinya dikatakan lebih bijak menguruskan ekonomi negara berbanding Abdullah.

Sehingga kini, melalui data yang dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan dan dakwaan dari Najib sendiri memberitahu bahawa ekonomi negara berada di landasan yang betul dan berkembang  baik.

Sebaliknya data yang dikeluarkan oleh agensi berkecuali dalam negara dan agensi penyelidik ekonomi antarabangsa kerap kali menunjukkan angka-angka sebaliknya.

Malahan angka-angka pertumbuhan positif yang dipersembahkan oleh Najib dan agensi-agensi kerajaan kepada rakyat juga dianggap tidak memberi sebarang makna kepada rakyat terbanyak.

Kebanyakkan masyarakat negara ini juga kurang berminat untuk mengambil tahu tentang angka-angka ekonomi yang tidak berapa difahami, memeningkan dan mengelirukan ini.

Apatah lagi, perkembangan positif ekonomi negara yang digembar-gemburkan oleh Najib itu masih tidak menunjukkan sebarang tanda positif dalam kehidupan majoriti masyarat negara ini.

Maka, sekali lagi meskipun Najib dikatakan lebih bijak menguruskan ekonomi berbanding Abdullah tetapi dalam isu ini keadaan masih tidak menyebelahi beliau.
    
Bajet Abdullah lawan bajet Najib

Abdullah ketika memegang tampuk kuasa sebelum ini dikatakan kurang perihatin akan beban rakyat negara ini termasuk kakitangan awam apabila gagal memberikan manfaat pada tahap optima  kepada rakyat terbanyak setiap kali bajet dibentangkan.

Selain dalam bajet-bajet yang dibentangkan beliau, keputusan beliau dan kabinetnya menaikkan harga petrol lebih 70 sen dalam satu kenaikan turut mencatat sejarah sebagai kenaikan yang tertinggi harga petrol dalam sekali kenaikan.

Satu-satunya keputusan Abdullah yang diingati khususnya oleh kakitangan awam negara ini ialah mengadakan kenaikkan tangga gaji baru kakitangan awam bermula 7.5 hingga 35 peratus bermula Julai 2007.

Najib pula, kecuali Bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini, beliau turut dikatakan bersikap kurang perihatin, sama seperti Abdullah.

Malahan, meskipun tiada disebut dalam bajet tahunan, tindakan menarik subsidi dan perlaksanaan GST juga dikaitkan dengan sikap kurang perihatin terhadap golongan perpendapatan sederhana dan rendah negara ini.

Bagaimanapun dalam Bajet 2012 lalu, kerajaan di bawah Najib telah menunjukkan sikap yang berbeza dengan menghamburkan pelbagai manfaat untuk dinikmati rakyat negara ini sekali gus dikaitkan dengan bajet musim pilihan raya yang semakin hampir.

Apatah lagi peruntukan hadiah besar untuk rakyat dalam bajet tersebut telah menyaksikan belanjawan negara telah mengalami defisit atau disebut sebagai bajet hutang telah menyebabkan andaian ini semakin kuat.

Keadaan ini telah memberikan gambaran seolah-olah kerajaan terpaksa menghadiahkan sesuatu untuk rakyat sebelum pilihan raya diadakan atau dalam erti kata lain 'gula-gula' pilihan raya.

Lebih menghairankan,  sebelum ini Najib pernah mendakwa kerajaan negara ini bakal menjadi muflis sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah berjimat cermat termasuk mengambil langkah memansuhkan subsidi untuk rakyat.

Bagaimanapun, langkah terbaru Najib ini meskipun dilihat terselindung muslihat di sebaliknya, sedikit sebanyak ia mampu memberikan kesan positif terhadap sokongan pengundi terhadap BN.

Cuma mungkin jumlah sokongan itu tidaklah sebanyak yang Najib harapkan ketika beliau memutuskan untuk menganugerahkan pelbagai hadiah untuk rakyat dalam bajet 2012 tersebut.

Akan datang sambungan bahagian ke-4: Rasuah era Abdullah lawan era Najib

Tiada ulasan:

Paparan Halaman