Saya masih ingat, pada musim PRU-10 tahun 1999, ketika saya masih aktif dalam Parti Keadilan Nasional, saya telah terlibat secara langsung dengan jentera pilihan raya Barisan Alternatif (BA) bagi Parlimen Batu.
Saya tidaklah pasti adakah masih sama seperti sekarang, ketika itu petugas-petugas pilihan raya BA dari Parti Keadilan Nasional memang tidak dibayar dengan imbuhan wang tunai sebaliknya kami hanyalah disediakan makan dan minum sepanjang kempen berlangsung.
Lebih-lebih lagi bagi petugas Pas yang memang cukup saya kagum dengan semangat mereka yang telah lama bertungkus lumus menumbangkan Umno-BN.
Ada di antara mereka ini memang sudah cukup lama dalam politik dan saya percaya sekiranya mereka ini memilih Umno pada awal penglibatan mereka dahulu, pasti ketika itu mereka telah berjaya mengumpul sedikit sebanyak harta yang bersesuaian dengan kedudukannya.
Tetapi disebabkan penglibatan mereka dalam politik tidak berkiblatkan keduniaan, maka rata-rata kehidupan mereka berada di tahap sederhana sahaja dan hanya mampu mendiami rumah kos rendah atau sederhana rendah.
Pernah pada suatu malam ketika kami sedang memasang poster dan bendera di satu lokasi dalam kawasan parlimen itu, telah berlaku pertembungan dengan petugas pilihan raya dari BN.
Berbanding kami yang seingat saya lebih dari 10 orang, petugas jentera pilihan raya BN itu hanyalah seramai tiga orang sahaja.
Saya masih ingat lagi perbandingan antara kami yang 10 orang dengan tiga orang jentera BN ketika itu, walaupun mereka cuma bertiga tetapi kelengkapan mereka memang mencukupi sedangkan kami ketika itu berkerja dalam keadaan serba kekurangan.
Pernah sampai satu ketika, oleh kerana tangga yang kami bawa tidak cukup tinggi, kami terpaksa meminjam dari petugas pilihan raya BN tersebut yang kebetulan juga merupakan jiran dan rakan kepada beberapa orang dari kami di situ.
Perbezaan cukup ketara, mereka cuma bertiga tetapi dilengkapkan peralatan yang canggih, sedangkan kami petugas sukarela yang lebih ramai ini pula berada dalam serba kekurangan.
Bagaimanapun, walaupun serba kekurangan dan tidak mendapat apa-apa bayaran, semangat kami tidak pernah pula pudar.
Selesai sahaja kerja-kerja menaikkan poster dikawasan itu, sebelum kami beredar ke kawasan lain, sempat jugalah kami bersembang sebentar dengan tiga petuga jentera pilihan raya tersebut.
Saya juga masih ingat antara lain petugas jentera pilihan raya BN tersebut memberitahu kami, kalaulah bukan kerana kerja yang mereka lakukan itu mendapat bayaran dari BN, mereka pun tidak sudi menjadi petugas jentera pilihan raya BN.
Begitulah beberapa perbezaan antara petugas jentera pilihan raya BA dengan BN, kami memang ramai tetapi bertugas secara sukarela dan dalam serba kekurangan.
Sebaliknya mereka pula tidaklah seramai kami tetapi menerima bayaran dan mempunyai kelengkapan yang sempurna.
Hari ini, Pilihan Raya Umum yang ke 13 bakal tiba tidak berapa lama sahaja lagi. Saya tidaklah tahu samada apa yang kami lalui kira-kira hampir 13 tahun yang lalu masih sama lagi kadaannya.
Adakah petugas jentera dari PR pada hari ini masih sanggup berkerja sukarela tanpa mengharapkan sebarang bayaran seperti dahulu?
Secara jujurnya, saya tidak meragui semangat petugas jentera Pilihan Raya dari Pas, tetapi bagaimana pula dengan petugas pilihan dari PKR hari ini.
Selain itu, saya juga yakin jentera pilihan raya Pas hari ini, sudah jauh lebih dewasa dan kuat meninggalkan rakan-rakan mereka dalam PR.
Pada hemat saya yang tidaklah berapa arif ini, budaya perjuangan dengan mengharapkan imbuhan tidak akan membawa perjuangan kita ke mana-mana.
Sokongan berkiblatkan wang ringgit bukan sahaja boleh dianggap sebagai sokongan 'palsu', malah ia juga merupakan sokongan yang akan membawa rebah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan