Gambar hiasan dipetik dari blog Ensiklopedia Muslim |
Baru-baru ini tiga pemegang amanah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Damansara Utama (PDU) termasuk dua yang bergelar Datuk telah dituduh pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan di baca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Oleh kerana saya tidaklah berapa arif dalam perundangan jadi saya tertanya-tanya mengapa mereka tidak didakwa di bawah akta SPRM sama seperti Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo yang hanya didakwa di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan – tuduhan rasuah yang hukumannya lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Adakah hukuman yang diperuntukkan di bawah seksyen 409 kanun keseksaan lebih ringan berbanding Akta Pencegahan Rasuah dan Akta SPRM? Mungkin ya mungkin juga tidak sebab sekali lagi saya tidak arif tentang ini semua.
Cuma yang saya tahu, lazimnya pihak pendakwa hanya meminda pendakwaan mereka ke seksyen yang lebih ringan hukumannya apabila adanya kompromi dari pihak tertuduh dengan pihak pendakwa untuk membuat pengakuan bersalah sekaligus melancarkan urusan mahkamah.
Bagaimanapun dalam kes Khir Toyo, walaupun tiada kompromi dengan pengakuan bersalah dibuat Khir Toyo, tetapi beliau 'bernasib baik' apabila di dakwa di bawah seksyen yang lebih ringan hukumannya.
Selain itu, saya juga tertanya-tanya mengapakan tuduhan pecah amanah yang didakwa berlaku sembilan tahun lalu, tetapi hanya baru hari ini didakwa di mahkamah?
Adakah siasatannya telah mengambil masa selama sembilan tahun sebelum SPRM berjaya membawa perkara ini ke mahkamah? Atau adakah, fail siasatan pecah amanah ini telah lama diperam umpama stok simpanan oleh SPRM dan hanya dikeluarkan apabila keadaan memerlukan? Sekali lagi, saya memang tidak arif tentang ini semua.
Juga jangan lupa, ada satu lagi kes yang sedang hangat diperkatakan, iaitu kes pecah amanah yang melibatkan wang zakat yang didakwa dilakukan oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bilalah agaknya SPRM hendak memulakan siasatan terhadap kes ini?
___________________________________________________________
Pemegang amanah PERKIM dituduh pecah amanah
December 27, 2011
SHAH ALAM, 27 Dis – Tiga pemegang amanah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Damansara Utama (PDU) dengan dua daripada mereka bergelar ‘Datuk’ hari ini telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam membabitkan kesalahan pecah amanah.
Tertuduh, Datuk Ariffin Suhaimi,74, Pengerusi PDU bersama dua lagi pemegang amanah Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam,60, dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan di baca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sebagai pemegang amanah kepada PERKIM Damansara Utama – yang telah diamanahkan dengan wang balasan daripada projek menaiktaraf jalan B9/FT015 dari Lapangan terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh yang berjumlah RM3,700,000, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut.
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama di antara 1 April 2002 dan 22 April 2004, di pejabat PERKIM Cawangan Damansara Utama, Petaling Jaya.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tidak mengaku salah atas tuduhan berkenaan.
Hakim, Asmadi Husin menetapkan wang jaminan RM10,000 setiap seorang dan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Kevin Morais, manakala penguambela Najah Ariffin dan Normala Lot mewakili anak guam masing-masing.
Sekiranya sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.
* The Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan