Isnin, 12 Disember 2011

Kemampuan Chegu Bard patut dipertimbangkan

Tidak dinafikan, Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas boleh dikatakan sebagai salah satu pilihan terbaik yang ada untuk menduduki kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya PR berjaya memenangi negeri itu.

Selain beliau, saya juga melihat satu lagi pilihan dari PKR yang ada iaitu Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Bagaimanapun menurut beberapa sumber, walaupun beliau boleh dikatakan agak popular diperingkat akar umbi, sebaliknya di peringkat PKR pusat terdapat suara-suara sumbang yang berusaha melobi pemimpin tertinggi PKR mencicirkan nama beliau dari bertanding dalam PRU-13 nanti.

Pemimpin pusat PKR harus ingat, sokongan masyarakat di peringkat akar umbi dalam pilihan raya sahaja yang mampu memberikan kemenangan kepada calon mereka dan bukannya sokongan dua tiga kerat pemimpin peringkat pusat.  

Imej Chegu Bard sebagai ikon baru anak muda masa kini merupakan seorang yang lantang bersuara menegakkan keadilan dan berani mengatakan 'tidak' apa yang difikirkan tidak, meskipun berhadapan  pemimpin tertinggi PKR sendiri.

Pendirian beliau itu telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir pemimpin PKR pusat khasnya di kalangan 'Mr Yes Sir' atau 'anak manja' PKR apabila mendapati beliau sebagai persaingan yang kuat.

Kemampuan beliau mengerakan sesuatu jentera walaupun dalam keadaan serba kekurangan tanpa mengharapkan bantuan parti juga memperlihatkan kesungguhan beliau dalam meneruskan perjuangannya.

Mengotakan 'Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata'

Bersesuaian dengan falsafahnya, 'Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-kata' apa yang beliau rancangkan lazimnya tidak berakhir setakat di atas pentas ceramah atau di hadapan lensa kamera sahaja, sebaliknya beliau turut menterjemahkannya dengan tindakan untuk melaksanakan kata-katanya itu.

Maka memang tidaklah menghairankan apabila beliau menerima sokongan kuat dari rakan-rakan dari PAS dan DAP khususnya di peringkat Parlimen Rembau.

Malahan, terdapat desas-desus yang mengatakan, sebuah parti dalam PR bersedia menawarkan kerusi untuk Chegu Bard dalam PRU akan datang sekiranya PKR tidak mencalonkan beliau semula.

Meskipun tidak mempunyai kedudukan dalam parti dan sedikit terpinggir, kesetiaan beliau terhadap perjuangan parti memang telah pun teruji dan tidak boleh  dipertikaikan lagi. 

Bersesuaian dengan status 'anak manja' segelintir pemimpin parti itu, tidak mustahil sekiranya mereka  merajuk sekiranya tidak diberikan layanan dan kedudukan istimewa seperti mana kedudukan Chegu Bard sekarang.

Demikianlah antara faktor yang menyebabkan saya menganggap selain Kamarul Baharin, Chegu Bard juga wajar dipertimbangkan sebagai salah seorang calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, oleh kerana Chegu Bard bukanlah 'anak manja' PKR, saya amat yakin yang beliau tidak akan merengek kepada pucuk kepimpinan PKR sekiranya  tidak dicalonkan sebagai MB Negeri Sembilan.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman