Anwar ramal PRU-13 sejurus selepas kes liwatnya selesai
December 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil sebaik sahaja kes liwat dihadapinya sekarang berakhir, sambil menegaskan ia sebahagian daripada usaha menamatkan kerjaya politik beliau.
Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita bahawa beliau bersedia untuk yang terbaik tetapi pada masa yang sama menduga keadaan paling buruk.
“Ini bukan secara kebetulan, akhir kes ini akan secara kebetulan (selari) dengan pilihan raya (umum),” katanya di pekarangan mahkamah.
Hujah penggulungan masuk hari kedua hari ini.
Ini kes liwat kedua membabitkan beliau.
Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan pilihan raya umum akan berlangsung awal tahun depan.
Mandat semasa hanya berakhir April 2013.
Menjawab hujah penggulungan pihak pendakwa yang menyerang keputusannya memberi keterangan dari kandang tertuduh, Anwar berkata beliau menggunakan perbicaraan untuk mengetengahkan keadaan sistem perundangan yang cacat.
“Saya mengambil kedudukan menerusi saksi-saksi yang kompeten. Satu-satunya usaha mereka ialah memusnahkan doktor-doktor yang ternama di dunia,” kata beliau lagi.
Perbicaraan akan disambung Khamis ini dengan pasukan pembela akan menjawab hujah pihak pendakwa.
Kemudian Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah akan memutuskan tarikh mengumumkan keputusannya.
* The Malaysian Insider
_____________________________________________________________________
Secara umumnya, ramai di kalangan masyarakat negara ini yakin bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir pasti didapati bersalah dalam kes perbicaraan liwat 2 dan akan berhadapan dengan hukuman penjara.
Sekiranya keyakinan yang sama diambil dari penyokong pembangkang, alasannya kerana kepercayaan mereka bahawa sistem perundangan negara hari ini menjadi tunggangan kuasa politik pemerintah.
Sekiranya betul dakwaan di atas dan pemerintah hari ini memberikan fokus kepada objektif untuk menguburkan riwayat politik Anwar, jawapannya, ya, memenjarakan Anwar memang mampu menamatkan karier politik Anwar.
Malah, dengan hukuman penjara itu nanti akan menyebabkan Anwar kehilangan kelayakkan untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan tidak berapa lama sahaja lagi.
Bagaimanapun dari sudut pandangan politik, keputusan mahkamah melepaskan Anwar dari tuduhan liwat 2 akan memberikan lebih banyak keuntungan politik berbanding Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara lebih-lebih lagi di saat pilihan raya semakin hampir.
Keputusan memenjarakan Anwar sekali lagi hanya akan menambahkan satu lagi momentum penentangan terhadap Barisan Nasional (BN).
Apakah faktor yang menyebabkan keputusan memenjarakan Anwar akan memberi kesan kesan lebih buruk terhadap prestasi BN berbanding membebaskan Anwar.
Pertama, memenjarakan Anwar sekali lagi hanya akan mengesahkan persepsi umum termasuk pengundi atas pagar bahawa mahkamah dipergunakan untuk kepentingan politik BN atau sekurang-kurangnya persepsi yang sama akan bertambah.
Dalam konteks ini, persepsi penyokong Pakatan tidaklah penting bagi mereka kerana pendirian kelompok ini jelas menyokong pembangkang hampir tidak boleh diubah lagi.
Bagaimanapun, persepsi pengundi atas pagar yang dianggap sebagai kelompok penentu kemenangan dalam pilihan raya adalah penting.
Kecacatan fakta kes yang mudah difahami
Seperti dalam kes liwat 1, kes liwat 2 juga terdapat banyak kecacatan fakta kes yang mudah difahami oleh masyarakat terbanyak meskipun bagi seseorang yang bukanlah pengamal undang-undang.
Kedua, memenjarakan Anwar sekali lagi hanya akan menjadikan gelombang tsunami yang tidak pernah reda semenjak 2008 semakin bergelora dan ditambah pula menyebabkan kemunculan semula semangat gelombang reformasi 1998.
Ketiga, Membebaskan Anwar dari tuduhan liwat 2 akan memberi peluang BN menafikan mahkamah tidaklah dikongkong oleh kuasa politik seperti mana 'fitnah' pembangkang dan pada masa yang sama Anwar telah dilondehkan sepanjang perbicaraan berlangsung.
Sepanjang perbicaraan liwat 2 berlangsung, media-media kawalan kerajaan banyak melaporkan isu yang mengaibkan Anwar dalam kes ini dan mampu menghakis kepercayaan sesetengah golongan masyarakat terhadap ketua pembangkang itu.
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar atas alasan kejadian liwat itu berlaku atas dasar kerelaan lebih memanfaatkan BN.
Keputusan seumpama itu hanya akan mengesahkan Anwar memang seorang biseksual dan menjadi bahan kempen utama BN ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan