Jumaat, 2 Disember 2011

Telaga keramat Tok Jib membawa penyakit (bhg 3)

Oleh Nazli Ibrahim


Bahagian 3
  
"Telaga keramat Tok Jib yang disangka mempunyai kuasa untuk menyembuh penyakit dan menunaikan hajat rupa-rupanya menjadi penyebab wabak taun dan denggi menular di kampung itu."
 
Buah fikiran Mak Temah bukan sahaja telah menyelamatkan pengaruh dan kuasa suaminya sahaja, malah semenjak itu hasil pendapatan mereka turut bertambah berlipat kali ganda dan menjadikan kehidupan mereka sekeluarga bertambah mewah.

Orang-orang yang datang memohon hajat dan mengambil air di telaga keramat itu dikenakan pengeras yang berupa samada duit, barang kemas, beras mahupun binatang ternakan.


Mengikut kata Tok Pawang Kudin, semakin besar pengerasnya semakin cepatlah penyakit boleh sembuh atau hajat seseorang itu juga akan dimakbulkan dengan lebih cepat oleh keramat yang menunggu telaga keramat Tok Jib itu.

Bagi pengunjung telaga keramat yang datang dengan kereta yang menjalar, selalunya mereka tidak teragak-agak menghulurkan pengeras yang lumayan kepada Tok Jib dengan harapan hajat mereka dimakbulkan keramat telaga Tok Jib itu.

Maka semenjak itu, Mak Temah yang terkenal dengan sikap borosnya dan gemar menayangkan kemewahannya kepada penduduk kampung pun bertambahlah mengeletis dan bergaya sakan.

Apa sahaja yang dihajatinya pasti sepantas kilat Tok Jib akan menunaikannya termasuklah permintaannya agar dibelikan cincin berlian dan barang kemas lain yang tidak termampu dibeli oleh penduduk lain kampung itu.

Penduduk kampung jatuh sakit

Tidak berapa lama selepas itu, tiba-tiba kampung itu digemparkan dengan kejadian seorang demi seorang penduduk kampung itu jatuh sakit sehinggakan berselang beberapa minggu ada sahaja yang meninggal dunia kerana penyakit misteri itu.

Puas diikhtiarkan oleh Tok Pawang Kudin dan berbuyung-buyung jugalah air telaga keramat Tok Jib diteguk untuk menawarkan penyakit yang telah menjangkiti mereka.

Akibatnya, bukan sahaja penyakit yang mereka hidapi itu tidak juga mahu kebah malahan ada di antara mereka yang menjadi semakin parah.

Situasi yang berlaku itu amatlah memeningkan kepala Tok Imam Ajis, Lebai Nuar dan seluruh orang Kampung Telaga Tunggal itu.

Malam itu, selesai sahaja solat Isyak di surau kampung itu, Tok Imam Ajis, Lebai Nuar dan penduduk kampung yang tidak mempercayai telaga keramat Tok Jib bermesyuarat bagi mengatasi masalah yang sedang menimpa kampung mereka.

Akhirnya mereka sepakat membuat keputusan untuk meminta bantuan Doktor Lam Kwan Heng yang berkhidmat di hospital di bandar mereka.

Sama seperti Tok Imam Ajis dan Lebai Nuar, Doktor Lam yang merupakan rakan sepermainan Lebai Nuar, dia juga warga Kampung Telaga Tunggal yang dilahirkan dan dibesarkan di situ.

Ketika itu, keluarga bapa Doktor Lam merupakan satu-satunya keluarga Cina yang mendiami kampung itu.
Bagaimanapun setelah Doktor Lam menamatkan pengajian di universiti, dia mengambil keputusan untuk terus menetap di bandar berdekatan dengan hospital tempatnya bekerja.

Tambahan pula, kedua ibu bapanya telah lama meninggal dunia dan dia merupakan satu-satunya anak tunggal keluarga itu.

Peralatan perubatan

Keesokan harinya setelah diberitahu penduduk kampung, Doktor Lam dan teman rapatnya Doktor Muthu segera menuju ke kampung Telaga Tunggal dan membawa bersama peralatan perubatannya.

Bagaimanapun tindakan Imam Ajis dan orang-orang kampung yang mahukan Doktor Lam merawat orang-orang kampung telah mendapat tentangan Tok Jib, Tok Pawang Kudin, Mak Temah dan penduduk yang masih taksub dengan telaga keramat Tok Jib.

Tok Jib dan kuncu-kuncunya menghasut orang-orang kampung dengan mendakwa kepulangan Doktor Lam akan menyebabkan kampung itu bertambah porak peranda lagi.

Kata mereka lagi, Doktor Lam juga akan menghasut orang-orang kampung melupakan tradisi turun temurun masyarakat kampung itu.   Tambah pula, Doktor Lam juga bukanlah sebangsa dengan mereka.

Gara-gara tentangan hebat Tok Jib dan orang-orangnya, Doktor Lam dan Doktor Muthu hanya sempat merawat beberapa orang kampung sahaja sementara yang lain menjadi semakin tenat sakitnya.

Demam denggi, taun

Apabila Doktor Lam dan Doktor Muthu memeriksa orang-orang kampung yang terlantar sakit itu, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada yang telah dijangkiti demam denggi dan ada juga yang dijangkiti penyakit taun.

Selesai sahaja mereka diperiksa, orang-orang kampung itu telah dibawa ke hospital di bandar bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Menurut Doktor Lam, penyakit demam denggi berpunca daripada gigitan nyamuk aedes yang membiak di takungan air sekitar Kampung Telaga Tunggal.

Selain itu, penyakit taun yang menjangkiti beberapa penduduk kampung juga didapati berpunca dari meminum air yang tercemar atau pun kotor.

Doktor Lam menasihatkan orang-orang kampung agar tidak minum air yang tidak dimasak dan membersihkan persekitaran kampung, lebih-lebih lagi tempat takungan air termasuklah telaga keramat Tok Jib supaya dapat mencegah wabak penyakit.

Keadaan ini amatlah merisaukan Imam Ajis, Lebai Nuar, Doktor Lam dan orang-orang kampung yang bersama mereka.

Mereka tahu, mereka harus melakukan sesuatu bagi menghalang wabak yang sedang menular itu terus menjangkiti orang-orang kampung.

Bahagian akhir Tok Jib waris telaga keramat esok: Tok Jib dan Tok Pawang Kudin melarikan enjin jentera pembajak. 

Orang-orang  kampung pula bangkit menentang Tok Jib dan Mak Temah pula kelam-kabut menyorokkan cincin berlian kesayangannya.

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman